Wednesday, 31 October 2012

200 PELABUR EMAS BERKAMPUNG DI PEJABAT PM




           
Oleh :  ZULAIKHA ZULKIFLI

             
KIRA-KIRA 200 orang pelabur skim pelaburan emas, Bestino 'berkampung' di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini untuk meminta Datuk Seri Najib Abdul Razak campur tangan bagi menyelesaikan masalah pengeluaran wang mereka.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Pelabur Bestino, K Kunasekaran berkata, tindakan itu diambil setelah masalah masih tidak dapat diselesaikan walaupun tiga perjumpaan diadakan bersama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Isu ini sudah tiga tahun. Tiga kali kita jumpa dengan Menteri Kewangan Kedua bersama peguam dan ahli jawatankuasa kami. Dan ini juga merupakan kali ketiga kami datang ke Pejabat Perdana Menteri.

"Kita tak ada pilihan. Jadi kita nak jumpa Perdana Menteri dan mahu minta dia campur tangan. Dia kata rakyat didahulukan. Kita akan tunggu di sini sampai dapat berjumpa Perdana Menteri," katanya.

Pada Februari lalu, empat pengarah Bestino dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas 322 tuduhan pengubahan wang haram RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Bank Negara pula merampas aset syarikat itu di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2011 (AMLATFA) berjumlah RM24.2 juta sebagai bahan bukti.

Sebanyak RM411 juta wang dilaburkan oleh 6,764 pelabur dalam Skim Bestino.

Sementara itu, seorang pelabur A Kupusamy, 68, dari Ipoh Perak berkata, beliau melabur dalam skim pelaburan emas itu sebanyak RM50,000.

Kupusamy yang mula melabur pada Oktober 2008 berkata, beliau mula melabur apabila ada rakannya yang mengajak untuk membuat pelaburan di Bestino.

"Saya melabur RM50,000. Itu semua duit simpanan saya. Dulu saya seorang mekanik. Sekarang saya dah tak ada apa-apa," katanya.

Selain itu, menurut seorang bekas pekerja kilang, S Kamalavalli, 58, beliau bersama suami melabur sebanyak RM95,000 tiga tahun lalu selepas seorang agen Bestino datang ke rumahnya di Sungai Siput, Perak.

Kamalavalli yang kini tidak mempunyai pekerjaan berkata, beliau telah melaburkan semua wang pencennya ke dalam skim pelaburan itu.

"Saya sangat susah hati. Sekarang duit langsung tidak ada. Semua duit KWSP saya masuk dalam skim pelaburan itu. Agen itu datang rumah dan paksa saya melabur. Dia tau masa itu saya sudah mahu pencen.

"Sekarang ini suami saya pun sakit dan anak-anak pun marah saya sebab masukkan semua duit simpanan. Saya minta perdana menteri dapat tolong kita," katanya yang mempunyai tiga orang anak yang juga bekerja di kilang.

No comments:

Post a Comment