Tuesday, 30 October 2012

KES KOYAH KAYU BAKAR BUAT BN?




WAWANCARA…. Jamaludin Sinyor meluahkan segala yang terbuku di hatinya setelah dikhianati pemimpin BN.

Oleh : SHAIMON S JUMADI          Foto : SITI MELUR

DALAM wawancara eksklusif hampir sejam antara Sabahkini.Net dengan salah seorang pemilik Tanah Koyah A Fasa 1, Jamal @ Jamaludin Sinyor petang kelmarin telah mendedahkan penyelewengan yang dilakukan pihak tertentu sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan mahkamah.

Menurut Jamal, para pemilik asal tanah Koyah A Fasa I, II & III di bawah Skim Pekebun Kecil Kinabatangan ini menjadi mangsa permainan wayang politik malah terpaksa berhadapan dengan penipuan, pemalsuan dan pemerdayaan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga hak pemilikan tanah mereka terlucut tanpa pengetahuan dan kerelaan para pemilik.

Jamal menambah, tanah di Sg. Koyah A, B & C adalah antara kawasan yang telah diluluskan di bawah Skim Pekebun kecil di seluruh Sabah bertujuan mengagehkan lebih kurang 1.5 juta ekar kepada 11,000 keluarga yang tidak bertanah sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Surat-surat tawaran pemilik asal tanah Koyah A Fasa I, II & III, Kinabatangan telah dikeluarkan pada tahun 1984 dan disusuli dengan geran-geran deraf pada tahun 1998. Malah pelan pengukuran tanah tersebut telah diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Ukur pada tahun 1982,” terang Jamal lagi.

“Nampaknya ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mengganggu tuntutan pemilik yang sah melalui dakwaan palsu bahawa mereka adalah kumpulan A iaitu orang yang terawal memohon tanah tersebut. Timbul pelbagai persoalan siapakah kumpulan A ini?

"Bagaimana seorang Cina yang dikenali sebagai Billy Chong menjadi tempat mengadu nasib bagi Kumpulan A ini? Adakah kumpulan A ini merupakan orang tempatan atau PATI kerana ada desas desus penduduk menyatakan bahawa mereka ini dibawa masuk dan diberi kad pengenalan ekspress untuk mengekalkan kemenangan Parti kerajaan," ujarnya.

Malah kata Jamal, Kumpulan A ini mendakwa telah mendapat kebenaran untuk memasuki kawasan tanah Kg Sungai Koyah oleh Zaki Bin Gusmiah dan JKKK semasa era PBS. Mengikut rekod, Zaki Bin Gusmiah ialah seorang wakil rakyat pada masa itu.

Persoalannya, apakah wakil rakyat mempunyai bidangkuasa untuk memberi kebenaran kepada orang luar menduduki tanah tersebut? Selepas menduduki tanah tersebut, kononnya kumpulan A ini juga telah memasukkan permohonan tanah mereka di Jabatan Tanah Dan Ukur, Kinabatangan.

Jamal berkata Kumpulan A turut mendakwa bahawa Ketua Daerah Kinabatangan yang bertugas sekitar tahun 1995 telah memberitahu mereka akan diberi geran sekiranya membuka hutan, menanam dan membangunkan tanah yang mereka duduki tersebut.

Timbul persoalan, benarkah Ketua Daerah berkenaan menyatakan sedemikian dan adakah Ketua Daerah itu telah mengeluarkan surat rasmi sebagai pemberitahuan atau arahan seperti yang didakwa? Sekiranya ada, tidakkah Ketua Daerah telah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan status tanah tersebut?

“Dengan senario ini, apakah Wakil Rakyat, JKKK dan Ketua Daerah pada masa itu telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan memberi kebenaran dan harapan kepada kumpulan A bagi memiliki tanah tersebut tanpa mengetahui status tanah Sg. Koyah A ini sebenarnya merupakan projek aspirasi rakyat yang dinamakan sebagai Skim Pekebun Kecil oleh Datuk Harris Salleh terdahulu," kata Jamal.

Melalui dakwaan Kumpulan A, ini amat menghairankan kerana bagaimana mereka kononnya telah membuka tanah seluas 6,000 ekar dengan sendirinya sedangkan tanah yang menjadi pertikaian ini telah dibuka oleh Bagusmaju Berhad iaitu salah sebuah anak syarikat Kwantas Corporation Berhad. 

Versi syarikat pula mendakwa kononnya mendapat kelulusan pada tahun 1998 daripada Datuk William Shim selaku Setiausaha Hasil Bumi pada masa itu untuk membuka tanah terebut sebagai ladang kelapa sawit. Adakah ini menunjukkan pencerobohan ke atas tanah terhadap pemilik asal telah berlaku sejak tahun 1993 dan diambil alih pula oleh syarikat?

Sekiranya wujud pertindihan permohonan ke atas kawasan yang sama, maka dipercayai Kumpulan A ini adalah mangsa politik dan penyelewengan pihak-pihak yang berkepentingan pada masa itu dan amat jelas mereka ini merupakan pemohon terkemudian daripada pemilik-pemilik asal yang telah lama mendapat kelulusan memiliki tanah tersebut.

Sekiranya Kumpulan A ini benar-benar wujud, kata Jamal, maka pihak yang patut  bertanggungjawab ialah Zaki Bin Gusmiah dan Ketua Daerah, Kinabatangan pada masa itu.

Yang menghairankan, kata Jamal, mangsa utama ialah pemilik asal tanah Koyah A Fasa I, II & III di bawah Skim Pekebun Kecil, Kinabatangan dan mereka ini adalah pemilik yang sah tetapi akibat penipuan terancang pihak-pihak tertentu sehingga kini mereka masih tertindas malah tidak dapat menikmati sebarang hasil terhadap tanah tersebut. 

Jamal memaklumkan bahawa kesemua pemilik menegaskan bahawa mereka tidak pernah mendapat sebarang makluman atau menerima sebarang notis atau surat bahawa surat tawaran serta geran-geran mereka telahpun diluluskan dan dikeluarkan oleh Jabatan Tanah Dan Ukur.




Tegas Jamal lagi, Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman menyatakan bahawa penyelesaian tanah Koyah A ini adalah dengan menubuhkan koperasi, namun setelah mendapat pandangan dari pihak Suhakam dan Penasihat Undang-Undang, ia adalah satu tindakan yang tidak sah di sisi undang-undang.

"Apa yang perlu dilakukan ialah dengan mengembalikan hak pemilikan tanah tersebut terlebih dahulu, kemudian barulah kami sebagai pemilik-pemilik tanah Koyah A ini mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa urusan terhadap tanah tersebut," kata Jamal.

Sebagai makluman, kata Jamal, wakil Bagusmaju Berhad juga menyatakan semasa perjumpaan dengan pihak Suhakam pada 16/6/2012, bahawa mereka sudah membeli tanah tersebut daripada pemilik yang telah dinafikan sebelum ini.

"Pemberian wang RM1,500 kepada beberapa pemilik adalah atas tipu daya Bagusmaju Berhad bertujuan untuk membatalkan dan menyerah semula geran kepada Kerajaan Negeri untuk diserahkan kepada syarikat, apabila pihak Suhakam meminta wakil syarikat mengesahkan kenyataan tersebut, wakil syarikat bersetuju bahawa mereka membuat pemberian wang tersebut hanyalah sebagai 'Ang Pau' sahaja,” tegas Jamal dengan panjang lebar.

Kenyataan Datuk Saddi di Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini yang mencadangkan pemilikan tanah dikembalikan kepada para pemilik dan memasukkan kawasan tanah tersebut ke dalam Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah tidak wajar sama sekali dan merupakan penderhakaan terhadap Anak Negeri.

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik yang teraniaya, Muhksin Bin Jurup menegaskan mereka berjuang untuk mendapatkan hak mereka bagi meneruskan kehidupan mereka yang semakin sukar akibat rampasan tanah berkenaan.

"Kami perlukan tanah kami dan bukannya 'penjara untuk rakyat termiskin' (PPRT) yang dicadangkan Saddi," kata Muhksin yang mengingatkan agar Saddi tidak terpesong daripada usaha murni membantu mereka mendapatkan hak yang dirampas selama ini.

Dalam pada itu, Penasihat Undang-Undang kepada pemilik-pemilik Koyah A ini, Aisah Ahmad yang dihubungi oleh Sabahkini.Net di Kuala Lumpur malam tadi menyambut baik  usaha wakil rakyat atau NGO bagi membantu menyelesaikan isu penipuan ini.

Beliau berharap semua pihak dapat menjalankan tugas masing-masing sehingga hak pemilikan tanah dikembalikan kepada para pemilik Koyah A tersebut tanpa karenah birokrasi.

“Kami memahami antara tugas utama seorang wakil rakyat adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi perlu diingat bahawa wakil rakyat tidak boleh dikecam sebagai pesalah yang ingin melepaskan diri dalam menggesa wakil rakyat tersebut mencari penyelesaian.

"Namun situasinya berbeza sekiranya wakil rakyat itu sememangnya terbukti terlibat dalam isu atau jenayah yang dipersoalkan. Oleh itu, semua pihak hendaklah memainkan peranan dan menjalankan tugas seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri “Rakyat Didahulukan, Janji Dikotakan”.

Kata Aisah, inilah harapan sebenar  para pemilik Koyah A Fasa I, II & III di bawah Skim Pekebun Kecil Kinabatangan terhadap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bagi membantu menyelesaikan kes mereka dengan segera.

"Isu ini amat serius dan menjadi kebimbangan bagi setiap penduduk Sabah kerana bukan sahaja rampasan tanah adat berlaku secara berleluasa; tetapi perampasan, pencerobohan dan penipuan pindahmilik atau lain-lain transaksi juga boleh berlaku ke atas tanah bergeran," kata Aisah.

Tanya Aisah, adakah hak pemilikan tanah kita benar-benar terjamin dengan kewujudan geran? Oleh itu, Kerajaan wajar meningkatkan dan membaikpulih atau menggantikan sistem pentadbiran tanah yang sedia ada agar rakyat berasa tenteram dan selamat terhadap hak pemilikan hartanah mereka.

Aisah turut menggesa Saddi membantu menyelesaikan kes tanah tersebut kerana 400 orang itu adalah pengundi tegar BN Sukau dan Kinabatangan.

"Jangan salahkan saya jika 400 orang pemilik tanah ini tidak mengundi Saddi pada PRU-13 dan menjadi punca kekalahan beliau kerana undi mereka dianggap kayu bakar buat BN," tegas Aisah yang mengakui tidak mampu menampan kemarahan pemilik tanah terhadap BN.

No comments:

Post a Comment