Wednesday 31 October 2012

KG BONGOL MUNGKIN TINGGAL SEJARAH





Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Bongol, Tamparuli membuat laporan polis berhubung isu tanah adat berkeluasan 145 ekar di situ kerana bimbang kampung mereka hanya akan menjadi sebahagian daripada sejarah setelah diceroboh oleh pihak luar.

Pengerusi JKKK Bongol, Masly Dangku, 37, yang berkunjung ke Utusan Borneo kelmarin berkata terdapat permohonan daripada individu diragui ke atas tanah adat terbabit meskipun penduduk setempat telah membuat permohonan sejak tahun 70-an lagi.

Menurutnya, hasil daripada mesyuarat khas bantahan pada Sabtu lepas, penduduk kampong bersetuju untuk melaporkan isu itu kepada pihak polis kerana bimbang tanah adat yang telah diduduki mereka sejak 1870 akan diceroboh oleh pihak asing.

Masly berkata, perkara itu bakal menjejaskan kehidupan seramai 600 penduduk di situ selain terkilan dengan Jabatan Tanah dan Ukur yang tidak mengendahkan permohonan mereka terhadap tanah adat itu dengan menberikan alasan ia kononnya ‘bertindih’.

“Penduduk kampung, amat tidak bersetuju dengan permohonan terbabit dan membantah permohonan orang luar yang dinotiskan dan tamat tempoh pada 23 November ini.

"Oleh demikian, kami berharap agar ada pihak bertanggungjawab sudi melihat perkara ini secara serius bagi menangani ketidaktelusan yang berlaku. Ini kerana setiap tanah adat di kampung Bongol ini menpunyai pemiliknya sendiri semenjak dari dulu lagi yang diwarisi nenek moyang kami,” katanya.

Selain laporan polis, pihaknya telah membangkitkan perkara itu kepada pemimpin setempat seperti Datuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Louis Rampas untuk mencari jalan penyelesaian yang wajar.

“Kami juga akan mengusulkan isu ini kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM) yang dinaungi oleh Presiden Datuk Peter Anthony.

“Penduduk kampung amat berharap perkara ini dapat diselesaikan dan kami juga mahu kejadian seumpama inin tidak berlaku di lain-lain tempat di masa akan datang,” katanya.

Kampung Bongol yang terletak kira-kira 64 kilometer daripada Bandaraya Kota Kinabalu dan 17 kilometer dari pekan Tamparuli inin merupakan penempatan KDM yang rata-ratanya bekerja sebagai petani. (UB)

No comments:

Post a Comment