KOTA KINABALU: Bekas
Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan yang
sangat kuat bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurutnya, daripada
keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara, beliau menjangkakan 118
kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 kali ini dan 104 kerusi sahaja
akan diperoleh BN.
Beliau yang telah keluar BN
dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini berkata, asas pengiraannya adalah
dengan formula (82 + 20 + 16 = 118)
82 katanya adalah jumlah
kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan PAS, PKR dan DAP pada PRU12, 2008
yang lalu dan dijangka jumlah itu akan kekal pada PRU akan datang.
20 pula adalah jumlah kerusi
parlimen yang majoritinya adalah pengundi Cina dan India yang dimenangi BN
dalam PRU12 yang sudah tentu pada jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan
datang.
Asas kekalahan BN itu juga
jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan bahawa lebih separuh kerusi parlimen
Sabah - selama ini menjadi 'tempat berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk
pada PRU12 lalu - akan 'swing' kepada Pakatan Rakyat.
Kata Yahya,
sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah bakal dimenangi Pakatan
Rakyat pada PRU13 akan datang.
Kawasan itu masing-masing
adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan
Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam.
Tiga kawasan campuran KDM-C
dengan pengundi Islam adalah di Beaufort, Papar dan Kota Belud.
Di Papar dan Kota Belud
katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-C adalah 40 peratus dan hanya memerlukan
sekurang-kurangnya 15 peratus sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi
memenangi kedua-dua parlimen tersebut.
Bagi Beaufort pula, parlimen
itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi
Umno yang juga bekas Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin
disebut-sebut bertanding di situ.
Jika benar jangkaan Yahya
ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah boleh menguasai Putrajaya dengan 118
kerusi tidak termasuk kerusi parlimen dari Sarawak.
"Pakatan hanya
memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Justeru, Pakatan
Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan sokongan rakyat Semenanjung dan
Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak adalah Bonus," katanya. (Harakahdaily)
No comments:
Post a Comment