Sunday, 28 October 2012

GEJALA FITNAH DALAM DUNIA POLITIK





By : AKADEMI TARBIYAH DPPM

BERIKUT adalah antara yang disebut oleh Ustaz Nasrudin Hassan At Tantawi dalam wacana itu, "Fitnah ini kesannya lebih dahsyat dari membunuh dan menimbulkan masalah besar kepada tamadun manusia. Mewujudkan persengketaan, pertelagahan dan sampai ke peringkat boleh membawa kepada pembunuhan. Fitnah senjata paling tua di muka bumi untuk membinasakan pihak lain".

"Saya mempunyai satu tekad, apabila diberi amanah sebagai Ketua Pemuda PAS, saya ingin memastikan setiap anggota khasnya Pemuda mengamalkan dasar dan sistem politik berakhlak, bermaruah, berhemah dan bukannya bertunjangkan fitnah. Kita tidak mahu politik berlandaskan kepada menjatuhkan maruah orang lain, politik keji dan jijik".

"Dalam Dewan Pemuda. Kita diberi amanah untuk memastikan anak-anak muda dapat dibimbing. Saya mulakan langkah iaitu pertamanya untuk membetulkan akidah, kedua membina fitrah dan ketiga memastikan sahsiah atau akhlak seorang pemuda itu menepati ajaran Islam".

"Saya ingin memastikan Pemuda yang saya pimpin mestilah berkualiti, bukan hanya mempunyai suara politik kuat, tetapi dalamannya kosong".

Tanpa mengira kaum, individu mahupun jemaah, yang soleh mahupun yang fasad pasti akan terpalit dengan bahaman fitnah. Maka, di kala fitnah berpencak di ruang langit terbuka, kita sama sekali tidak boleh alpa untuk merujuk kembali khazanah agung rahsia kemenangan. Iaitu rahsia bagaimana sirah Baginda Rasulullah S.A.W mendepani ancaman ini yang dinamakan fitnah.

Bahaya fitnah, kerana saiz ukuran petakanya lebih luas, kesannya berabad-abad, atau mungkin tidak akan pernah dilupakan. Itulah fitnah yang memiliki lebih dari satu erti di dalam Al Quran, termasuklah apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W berdasarkan butiran sabdanya.

Kalimah fitnah lebih umum, ia sejenis virus yang membuatkan lingkungan kita tidak selesa, gawat, boleh jadi ia memaksa seseorang untuk kembali kufur, merosak sendi kesatuan dan mencelakakan manusia sehingga sampai ke tahap pembunuhan.

Itulah dia fitnah, cengkamannya lebih parah, sekiranya tidak dirawat, ia akan menjadi lebih membarah. Wal hasil posisi fitnah ini bukan sahaja datang dari orang yang memusuhi kita, bahkan orang yang paling dekat dengan kita, harta, isteri, anak-anak, mahupun teman seaqidah.

"Dan takutlah kalian daripada (berlakunya) fitnah (iaitu dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum)..." – Surah Al Anfal:25

Menurut Imam Al Alusi R.A, dikatakan di dalam ayat, "takutlah kalian..." menunjukkan bahawa fitnah itu buta, tuli, tidak pandang bulu, serta dapat menimpa sesiapa saja. Oleh kerana itu Allah Taala berfirman, "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian (fitnah), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar" – Surah Al Anfal:28 . Hatta harta yang melingkar di sekeliling kita-pun bakal menjadi bahan fitnah.

Rasulullah S.A.W pernah menegur Muaz R.A yang telah memanjang-manjangkan bacaan solatnya ketika menjadi imam solat jemaah, sehingga ramai para makmum yang jengkel dengan perbuatan Muaz R.A. Lalu Baginda S.A.W bersabda kepada Muaz, "Wahai Muaz adakah engkau mahu menyebabkan (fitnah) apabila manusia lari dari ajaran agama?" – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Untuk membincangkan soal fitnah secara umum dalam maqalah ini, saya kira ruang ini cukup terbatas, banyak halaman yang perlu diperuntukan. Maka, topik yang ingin dikupas hanya sekitar fitnah yang berlaku dalam lapangan politik (siasah). Apatah lagi, hari ini fitnah dalam lapangan politik semakin mengganas, melepasi had pahala dan dosa. Dan lebih teruk apabila manusia sudah tidak lagi berakal untuk memikirkan perbezaan dari dua perkara yang saling bertentangan, iaitu kebenaran dan kebatilan.

Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya, "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ruwaibidhoh".

Oleh itu, analisis ini dikupas mengikut tiga sub-tajuk, pertama : Cara Rasulullah S.A.W Menangani Fitnah Era Politik Makkiyah; Kedua : Para Salafussoleh Menangani Fitnah Era Politik Madaniyyah, dan; Ketiga : Fitnah Pada Zaman Khulafa' Ar Rasyidin Sehinggalah Ke Era Kosmopolitan.

1| Rasulullah S.A.W Menangani Fitnah Era Politik Makkiyah

Marilah kita meninjau, bagaimana Baginda S.A.W menangani politik fitnah ketika zaman Makkiyah lagi. Apabila kaum Kafir Quraish menyedari bahawa penentangannya terhadap Nabi yang berupa penyeksaan, penganiayaan tidak berhasil, mereka beralih kepada senjata propaganda. Propaganda digunakan untuk menyerang akidah Islam, merendah-rendahkan substansinya dan menghina esensinya di khalayak umum.

Salah seorang musuh Baginda S.A.W bernama Aswad bin Abdi Yaghuts, seorang yang suka melakukan propaganda, suka melakukan provokasi ketika bertemu Nabi. Kata Aswad, "Apa khabar Muhammad? Mengapa engkau tidak menceritakan wahyu-wahyu dari langit? Apakah hari ini engkau tidak menerima suatu khabar-pun dari langit? Khabar dari pemilik jagat raya di atas? Semalam ada berita apa dari langit?".

Apa yang dikatakan oleh Aswad itu semata-mata untuk menyakiti dan mentertawakan Nabi. Apabila bertemu Para Sahabat RasuliLlah pula, dia akan berkata, "Inilah calon-calon pemerintah! Inilah dia orang-orang yang hendak memegang Kerajaan Rom dan Farsi, mereka juga akan menjadi ketua kita di Tanah Arab nanti".

Saat itu, Para Sahabat Nabi kebanyakannya di kalangan mustadha'fin. Pakaian mereka koyak rabak, serba kekurangan, tubuh mereka kurus, wajah mereka lesu kerana tidak menjamah sebarang makanan. Mereka yang tidak tahan dengan cubaan ini, pasti akan kembali kepada agama berhala. Oleh kerana itu, di mana-mana mereka selalu dihina dan dijadikan bahan ketawa Musyrikin Quraish.

Begitupun semua celaan, cercaan, hinaan, ditangani oleh Rasulullah S.A.W dengan sabar, penuh maaf. Baginda tidak membalas tindakan yang serupa kepada mereka yang mengejeknya. Hal ini bukanlah kerana Baginda S.A.W tidak memiliki kemampuan terhadap mereka. Rasulullah S.A.W berasal dari Kabilah yang paling berpengaruh di Makkah. Jika Rasulullah S.A.W mahu, nescaya Baginda mampu menghimpun kekuatan yang dimiliki Bani Hasyim dan Bani Muttalib.
Begitu juga Rasulullah S.A.W pernah ditawarkan Malaikat untuk menghancurkan kaum yang mengingkarinya, Baginda dengan penuh sabar menjawab, "Jangan. Bahkan aku berharap mudah-mudahan Allah memberikan kepada mereka keturunan yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun" – Sahih Bukhari dan Muslim

Kesabaran Rasulullah S.A.W bersama Para Sahabat mengundang kewaspadaan dan cara berfikir kaum Quraish untuk menelaah kebenaran ajaran yang dibawa oleh Muhammad S.A.W. Ini disebabkan, jika bukan kerana kebenaran risalah yang dianuti oleh pendokong-pendokong Nabi, pasti tidak ada siapapun yang mampu bersikap teguh menghadapi cubaan, serangan dan konfrontasi yang dilakukan kaum kafir Quraish.

Suasana ini menumbuhkan empati kepada sebahagian kaum musyrikin Quraish, di mana secara fitrah dan manusiawi mereka sendiri tidak suka dengan kezaliman yang dilakukan terhadap orang Islam. Hal ini dibuktikan melalui tindakan lima orang pemuda musyrikin Quraish iaitu Zuhair bin Abi Umayyah Al Makhzumi, Hisham bin 'Amru, Muth'im bin 'Adi, Abu Al Bukhturi bin Hisham, dan Zama'ah bin Al Aswad.

Lima orang pemuda Quraish ini cukup menyampah dengan cara bertindak kaumnya yang memboikot segala hubungan dengan umat Islam terutamanya di kalangan Kabilah Bani Hashim. Mereka marah dan mempertikaikan naskhah pemboikotan di hadapan Ka'abah. Lalu Zuhair dengan semangat kepemudaannya berteriak, "Wahai penduduk Makkah! Mengapa kita makan minum dengan mewah dan berpakaian rapi, sedangkan Bani Hashim mengalami kebinasaan. Mereka dilarang berdagang dan berjual beli. Demi Tuhan, aku tidak akan berhenti sehingga naskhah pemboikotan yang zalim ini dilupuskan!".

Kekuatan lima orang pemuda ini menyebabkan majoriti masyarakat Arab ketika itu bersepakat dan setuju agar pemboikotan terhadap umat Islam dihapuskan.

Ketika era dakwah Makkiyah, Rasulullah S.A.W bersikap lembut terhadap fitnah dan penindasan kaum musyrik untuk membendung berkembangnya sikap permusuhan. Ini kerana, jika permusuhan semakin meningkat, ia akan mengakibatkan konfrontasi bersenjata, kemudian sebahagian kaum musyrikin yang sepatutnya mampu bersikap objektif terhadap Islam menjadi keras tidak keruan, manakala kaum Muslimin pasti menghadapi ancaman pemulauan habis-habisan.

Darihal itu, Baginda menanganinya secara bijak penuh hikmah, maka ramai orang-orang yang dahulunya Kafir, memeluk agama Islam. Malah ada di antara mereka yang begitu memusuhi Rasulullah, namun di akhir hayatnya mereka dipuji oleh Baginda S.A.W. Sebagai contoh Urwah bin Mas'ud At Thaqafi, pembesar Bani Thaif, kematiannya mendapat jolokan sebagai 'syahid surah Yaasin' oleh Rasulullah.

2| Para Salafussoleh Menangani Fitnah Era Politik Madaniyyah

Kaum Yahudi telah lama intim dengan masyarakat Madinah sejak perpecahan Aus dan Khazraj, iaitu sebelum Baginda S.A.W sampai ke sana. Maka mereka adalah masalah yang paling awal muncul ketika negara Islam Madinah baru berdiri. Keintiman mereka semakin menjadi-jadi apabila Islam menjadi aturan pemerintahan di Madinah.

Keintiman tersebut berlaku disebabkan iri hati, dengki dan benci. Lazimnya sifat manusia apabila benci dengan seseorang menyebabkannya semakin menjauh, tetapi kebencian Yahudi terhadap Islam menyebabkan mereka menjadi semakin mendekat dengan umatnya, di atas matlamat merosakkan keluhuran Islam.

Dari riwayat Ibnu Abbas R.A bahawa Abu Bakar As Siddiq R.A pernah melewati kawasan pengajian orang-orang Yahudi di Madinah. Ketika itu seorang rahib Yahudi bernama Fanhash berada di tengah-tengah kumpulan bangsanya sambil duduk berteleku, di tengah-tengah perut Madinah Al Munawwarah membahaskan sesuatu. Lalu dengan tegas Abu Bakar mengherdik Fanhash, "Celaka engkau, bertaqwalah kepada Allah. Masuklah kepada Islam! Sesungguhnya engkau tahu kebenaran Muhammad bahawa dia utusan Allah, dia-lah membawa kebenaran dari Tuhan-nya. Perkhabaran ini, telah kamu tahu dari lintas helaian yang terkandung dalam Taurat dan Injil!".

Kemudian semakin lantang Fanhash merendah-rendahkan Islam di hadapan Abu Bakr As Siddiq dengan mengatakan, "Demi Tuhan wahai Abu Bakar. Kami tidak memerlukan Allah wahai Aba Bakr. Kami tidak fakir di sisi Allah. Dia-lah yang sebenarnya faqir di sisi kami. Kami tidak tunduk kepadanya sebagaimana Dia tunduk kepada kami. Sesungguhnya kami tidak memerlukanNya, bahkan Dia-lah yang memerlukan kami...".

Fanhash berkata seperti ini merujuk kepada kefahaman fatal-nya terhadap Surah Al Baqarah ayat 245.

Lantas dengan kemarahan yang disandarkan kerana cintanya kepada Allah, Abu Bakar memukul wajah Fanhash dengan keras dan berkata, "Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, seandainya tidak ada perjanjian antara kami dengan kamu, pasti aku penggal kepalamu wahai musuh Allah!".

Hal itu menyebabkan Fanhash tidak puas hati lalu mengadukan hal ini kepada Rasulullah S.A.W bahawa Abu Bakar telah memukulnya. Sengaja Fanhash adu-kan untuk menempelak tarbiyah Baginda S.A.W kepada Para Sahabat tentang beginikah cara kamu mengajar Abu Bakar berdakwah? Beginikah akhlak orang Islam?

Inilah kaedah lazim yang digunakan oleh 'orang jahat' untuk memanipulasi-kan isu.

Akhirnya perbuatan Abu Bakar As Siddiq dibela oleh Allah Taala dengan firmanNya, "Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan; Bahawa Allah miskin dan kami kaya. (Allah) menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Para Nabi dengan tiada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka; Rasalah kamu azab seksa yang membakar" – Surah Ali Imran:181

Allah turut menurunkan ayat lain mengenai hal ini, "...Kamu akan mendengar orang-orang yang telah diberikan Al Kitab, banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka itulah yang paling utama" – Surah Ali Imran:186

Begitulah hebatnya fitnah (cubaan) dari kaum Yahudi terhadap umat Islam sewaktu generasi soleh yang terawal. Ia memakan waktu yang cukup panjang sehingga berlakunya pengusiran Bani Qainuqa', pengusiran Bani Nadhir, hukuman terhadap Bani Quraizah, Perang Khaibar dan termasuklah pertelingkahan Para Sahabat yang dibarisi Ali bin Abi Talib dan Muawiyyah bin Abi Sufyan – Allah merahmati mereka semua.

3 | Fitnah Pada Zaman Khulafa' Ar Rasyidin Sehinggalah Ke Era Kosmopolitan

Pernah Amirul Mukminin, Umar Al Khattab memberikan pesanan kepada Jeneral Tentera Muslimin, Saad bin Abi Waqqas sewaktu peperangan Qadisiyyah, "Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-samamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh islam. Sesungguhnya orang islam telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi bagi orang islam kekuatan.

"Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka, kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka. Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada kurniaan Allah ke atas musuh-musuh ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak dapat mengalahkan mereka.

Hari ini pesanan seorang yang pernah mendapat gelaran Al Faruq daripada Rasulullah, dianggap sepi.

Kita menentang musuh Islam, kita benci kepada orang yang memusuhi Islam, malangnya fitnah pada agama itu ada pada peribadi kita sendiri. Sikap dan peribadi kita lebih kurang sama sahaja dengan mereka, mengikut nafsu, melakukan maksiat kepada Allah.

Tidak hairanlah mengapa sehingga kini kita terus dikuasai musuh Islam dalam segala bentuk penjajahan kerana kitalah yang telah mencipta fitnah tersebut pada diri kita sendiri. Kita kalah dengan musuh zahir kerana terlebih dahulu kita kalah dengan musuh batin iaitu nafsu, kita kalah kepada pembangunan musuh kerana binaan akhlak yang buruk telah kita bina sendiri.

Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyerahkan urusan agamaNya pada diri seseorang, maka baik-buruk agama itu dilihat melainkan dengan ketinggian dan kemulusan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? " – Riwayat At Tabrani

Kerana itu Saidina Ali pernah menegur hal ini kepada kita mengenai jatidiri dan akhlak umat Islam yang pertama menjadi punca kepada pergolakan fitnah politik pada zamannya. Saidina Ali pernah dikritik oleh sebahagian ahl al halli wa al 'aqdi, "Mengapa pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar tidak pernah ada huru-hara fitnah seperti ini?

Lantas Saidina Ali menjawab, "Ketika Abu Bakar dan Umar menjadi khalifah, aku menjadi pengikut (rakyatnya). Sedangkan sewaktu saya menggalas amanah ini (menjadi khalifah), pengikutku seperti kamu".

Begitulah fitnah membadai dunia politik Khalifah Ali Abi Talib sehinggalah di akhir zaman ini, ia berlaku kerana dicipta oleh tangan rakus mereka yang bergelar umat Islam. Malang bukan? Amat mengecewakan apabila fitnah sebenarnya dijenterai oleh umat Islam sendiri. Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah bukannya menyuruh orang lain bermuhasabah, ber-istighfar tetapi diri kita sendiri melupakan tanggungjawab tersebut.

Kesimpulan

Fitnah. Sehingga ke hari ini tidak akan pernah pupus. Senjata kuno ini sentiasa evergreen menjadi bencana kepada umat manusia. Senjata ini sering di-upgrade sehingga akhirnya menjadi fitnah dajjal, fitnah di akhir zaman. Maka solusi menangani fitnah ini mesti digali dengan jalan sejarah yang sahih agar kita tidak tertipu, diterokai dengan jalan tarbiyah agar kita tidak kalah, dikuatkan dengan aplikasi akhlak yang mantap agar kita tidak diperbudakkan nafsu, dan disambut dengan panduan alim ulama' serta nasihat mereka yang rabbani agar kita sentiasa segar dipandu menuju hakikat dan kebenaran yang dikehendaki Allah Taala. Kerana Gerakan Islam itu dimenangkan bukan hanya dengan segala kelengkapan yang padu, dana yang melimpah ruah, tetapi ia mestilah digerakkan oleh insan-insan rabbani di dalamnya. WAllahua'alam. - TARBAWI

No comments:

Post a Comment