KOTA KINABALU : Pengerusi
Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Malaysia Datuk Roselan Johar Mohamed berkata
gangguan bekalan elektrik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu (KKIA) pada Khamis lepas adalah pengajaran berharga untuk semua.
Tanpa menuding jari kepada
mana-mana pihak beliau berharap insiden itu tidak akan berulang memandangkan
'Sabah menyasarkan untuk menjadi hab pengangkutan udara di Kawasan Pertumbuhan
Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Bagaimanapun, Roselan, yang
memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan keperluan
meningkatkan hubungan udara di rantau ini, berkata pihak yang berkenaan harus
ikhlas menerima kritikan dengan hati yang terbuka, memandangkan insiden
gangguan elektrik di landasan KKIA adalah serius, untuk kebaikan rakyat,
kerajaan negeri dan negara.
"Gangguan elektrik ini
adalah sesuatu yang tidak harus berlaku, jika pemeriksaan dan penyelenggaraan
dilakukan secara berjadual.
"Walaupun mereka tidak
melihat sebarang kerosakan, ia masih perlu diperiksa dan diselia secara
berterusan iaitu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan rutin," katanya
kepada Bernama di sini Isnin.
Roselan berkata masalah
besar yang dihadapi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ialah 'mereka
sering ambil mudah dan semuanya akan berjalan baik'.
Beliau berkata: "Jika
mereka beranggapan perkhidmatan penyelenggaraan adalah mahal, tetapi jika
berlaku sesuatu insiden kos yang ditanggung lebih mahal. Gangguan elektrik ini
adalah insiden bencana yang tidak dijangka, apatah lagi terpaksa menanggung
malu atau membabitkan reputasi negara.
"Mereka harus melakukan
sesuatu. Kita tidak boleh biarkan perkara ini senyap begitu sahaja. Seseorang
mesti bertanggungjawab. KKIA harus dikendalikan oleh profesional dan kali ini
mereka telah melakukan kesilapan," katanya.
Jelas insiden itu telah
membangkitkan kemarahan banyak pihak di Sabah, bukan sahaja penumpang yang
terjejas tetapi juga pemimpin negeri.
Antaranya anggota Parlimen
Putatan Datuk Dr Marcus Mojigoh yang mencadangkan Datuk Seri Kong Cho Ha gagal
sebagai Menteri Pengangkutan dan harus meletakkan jawatan berhubung masalah
lampu tidak berfungsi di landasan KKIA di sini pada Khamis dan Jumaat.
Mojigoh dipetik dalam akhbar
tempatan semalam, menggesa Kong supaya turun padang dan melihat sendiri masalah
berkenaan yang menyebabkan gangguan elektrik di sepanjang landasan KKIA, yang
merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini.
Pada Sabtu, Kong mengarahkan
siasatan dijalankan berhubung punca bekalan elektrik terputus di landasan KKIA
dan menambah beliau merasa amat dukacita atas kejadian itu yang menimbulkan
keresahan dan kemarahan dalam kalangan orang ramai yang bakal meraikan Hari
Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.
Malaysia Airports Berhad
(MAB) pada Sabtu dipetik sebagai berkata masalah lampu tidak berfungsi di
landasan KKIA telah mengakibatkan 51 penerbangan, sama ada terpaksa
dilencongkan, ditunda dan dibatalkan selama dua malam, menjejaskan sejumlah
6,000 penumpang.
Bagaimanapun, ia disahkan
selamat untuk operasi penerbangan komersil pada sebelah malam pada 9.30 malam
Jumaat, berikutan pemasangan kabel baharu dan pencahayaan serta sistem sokongan
bekalan elektrik mudah alih. (Bernama)
No comments:
Post a Comment