Oleh : NANI RAHAYU YUSOF
NEW YORK : Pertembungan dua
lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan Kotaraya
New York dan Sandy adalah taufan yang paling digeruni dalam sejarah Amerika
Syarikat.
Sandy yang mulai membadai
telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir
sehingga menyebabkan bandaraya itu terputus bekalan elektrik.
Kira-kira 400,000 rumah
terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu
dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.
Seorang rakyat Malaysia yang
menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah
pulau itu dan bersebelahan dengan East River, memaklumkan air hujan memasuki
kediamannya sekitar pukul 2 petang, Isnin, akibat hujan lebat dan tiupan angin
yang sangat kuat.
"Air hujan masuk
melalui celah-celah tingkap rumah, walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang
sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka
dengan sendirinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika
dihubungi Bernama lewat malam Isnin.
Beliau, yang menetap di
tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu, berkata
air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi
bilik dan ruang tamu rumahnya.
Beliau yang tinggal seorang
diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan
sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.
"Selepas tidak ada
elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan
sekerja, yang turut tinggal di kompleks yang sama," katanya.
Katanya, sekitar pukul 2 dan
3 petang, langit menjadi sangat gelap dan aliran air sungai East River
bergelombang sangat kuat.
Kebanyakan mereka yang
tinggal di bangunan kompleks itu bekerja dengan jabatan dan agensi kerajaan
Malaysia yang berpejabat di New York. Kawasan tengah pulau Manhattan itu tidak
berada dalam zon yang terjejas teruk dan wajib pindah.
Beberapa rakyat Malaysia
yang menetap di Brooklyn pula, antara lain, menggunakan laman sosial Facebook
memaklumkan mengenai kejadian angin kencang serta merasai bangunan pangsapuri
mereka seakan bergegar.
Beberapa rakyat Malaysia di
Connecticut melaporkan turut mengalami putus bekalan elektrik dan seorang
daripada mereka pernah berpengalaman terputus bekalan elektrik sehingga sepuluh
hari semasa berlakunya taufan Irene pada tahun lepas.
Dalam komunikasi menerusi
laman Facebook, beliau melahirkan kebimbangan memandangkan stok makanan
sejuknya terutamanya daging halal akan rosak sekiranya gangguan bekalan
elektrik berpanjangan.
Kebanyakan rakyat Malaysia
yang tinggal di negeri-negeri yang terlibat dengan taufan Sandy seperti di
Maryland, Virgina, Delaware, New Jersey, New York, Connecticut, memaklumkan
mengenai keadaan mereka pada status laman Facebook mereka.
Antaranya memaklumkan
mengenai angin yang sangat kencang dan maklumat terkini mengenai kawasan
mereka.
Sementara itu, penulis sendiri
menerima beberapa amaran kecemasan melalui telefon bimbit daripada Pengurusan
Kecemasan sejak petang semalam sehingga malam Isnin.
Antara amaran yang
dikeluarkan ialah "Emergency Alert in this area until 8 am, Take Shelter
Now,NYC-OEM".
Bagaimanapun, penulis dan
keluarga tidak terjejas teruk dengan taufan Sandy, kerana kedudukan kediaman
penulis di kompleks apartmen yang berbentuk U selain unit rumah yang terletak
di tingkat paling bawah.
Kawasan tempat tinggal yang
berada di kawasan tinggi dan dikelilingi bangunan-bangunan kompleks apartmen
yang lain, turut menyelamatkan keadaan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment