Sunday, 28 October 2012

SABAH DIGESA TEROKA MINAT PELABUR





Oleh : NEWMOND TIBIN

KOTA KINABALU  : Sabah digesa menyusun semula kedudukannya supaya dapat menarik minat pelabur yang semakin meningkat di Asia Tenggara, kawasan yang mempunyai bilangan penduduk seramai 600 juta orang serta keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak kira-kira USD$1.5 trilion.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Dr Mohd Yaakub Johari berkata langkah itu bersesuaian dan tepat pada masanya memandangkan Malaysia telah muncul antara destinasi pelaburan langsung asing terkemuka di rantau ini.

"Berdasarkan kepentingan ini, Sabah perlu meletakkan dirinya pada kedudukan dari segi apakah bidang yang menjadi kelebihannya supaya kita dapat menarik minat pelabur dan dengan itu menyertai kami dalam memajukan pelaburan mereka di Asia Tenggara.

"(Namun) ekonomi lain juga mengejar dengan pantas, sebagai contoh Indonesia dan Vietnam yang berjaya menarik pelabur asing," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Yaakub yang mempengerusikan rundingan meja bulat pelabur di sini semalam anjuran SEDIA dengan kerjasama International Investor, organisasi risikan perniagaan dan penerbitan yang berpangkalan di UK, berkata Sabah perlu memanfaatkan apa yang boleh ditawarkannya dengan lebih baik kepada pelabur berbanding dua negara terbabit.

"Jika anda bercakap mengenai usaha menarik pelabur ke Sabah disebabkan tenaga kerja yang murah, sudah pasti kita tidak dapat penuhi, mereka perlu pergi ke Vietnam dan Indonesia.

"Oleh itu, kita perlu menyusun semula kedudukan. Jika hanya bercakap mengenai sumber, mungkin kita mempunyai elemen persaingan dalam bidang minyak sawit serta minyak dan gas, yang secara relatifnya baharu.

"Dalam jangka masa yang lebih panjang, kita tidak mempunyai pilihan dan perlu menggunakan pekerja yang ada memandangkan modal insan mampu memacu inovasi dan persaingan dalam ekonomi global semasa," katanya yang menambah Sabah boleh memanfaatkan bidang seperti pelancongan.

"Kami sangat berjaya dalam pelancongan berdasarkan kedudukan kita yang hampir dengan segi tiga emas selain lokasi di tengah-tengah Borneo yang dianggap sebagai antara hutan hujan paling tua di dunia dan kami menjadi tuan rumah kepada banyak spesies terancam seperti Orang Hutan, dan penduduk pelbagai budaya.

"Kami mempunyai sektor pelancongan yang cergas dan kaya dari segi sumber, dan kami muncul dengan slogan nama ia merupakan destinasi pilihan untuk perniagaan, budaya dan alam semula jadi," katanya.

Mohd Yaakub berkata jumlah pelaburan di Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 'agak besar'.

"Namun, kami perlu menerima hakikat bahawa bagi pelabur untuk bergerak ke depan dalam peringkat pelaksanaan, mereka perlukan banyak benda lain, mereka mahu berunding untuk memperoleh insentif, dan inilah perkara yang di luar kawalan kita," katanya.

SEDIA ialah pihak berkuasa sehenti yang dipertanggungjawabkan untuk memacu koridor itu.

Ditanya mengenai cabaran dalam menarik pelaburan asing, Mohd Yaakub berkata komuniti pelaburan sudah mula bimbangkan mengenai tenaga kerja.

"Ini agak menghairankan. Ada pihak yang mengatakan terdapat 5.3 peratus pengangguran dan ini sangat serius, dan secara perbandingan dengan kadar nasional, angka kami agak tinggi.

"Ia merupakan tahap yang boleh diurus dan kami mempunyai peluang untuk melatih semula mereka supaya dapat beralih ke bidang lain yang wujud kekosongan. Ini bermakna kita perlu lebih agresif dalam mengenal pasti siapa yang menganggur dan melihat sama ada mereka boleh menempatkan mereka, terutama penduduk tempatan," katanya.

Mohd Yaakub berkata pada masa lepas, Sabah yang terlalu bergantung kepada pekerja asing, terutama dalam sektor perladangan, dan masa sudah sampai untuk semua pihak termasuk kerajaan negeri menangani masalah ini untuk manfaat penduduk tempatan dan negeri. (Bernama)

No comments:

Post a Comment