Monday, 29 October 2012

KANDAS MALAM RAYA DI KKIA MEMALUKAN





PENJELASAN Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berhubung insiden bekalan elektrik terputus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disifatkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Oleh kerana ia memalukan imej negara, Ketua Penyelaras JINGGA 13 Fariz Musa berkata, tindakan tegas perlu diambil, lebih-lebih apabila penumpang terkandas di malam Hari Raya Aidiladha.

Beliau yang turut terkandas 13 jam berkata, syarikat penerbangan juga tidak mempedulikan mereka apabila tiada setitik air pun diagihkan walaupun semua kafe dan restoran ditutup sempena hari raya.

Menceritakan keadaan pada malam itu, Fariz berkata, penumpang yang membawa bayi dan kanak terpaksa menunggu dan beratur berjam-jam, malah terpaksa mengeluarkan wang tambahan untuk teksi dan hotel.

"Malah pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri Sabah sedikit pun menunjukkan keprihatinan dan kebertanggungjawaban sewaktu kejadian tersebut yang berlaku bukan satu hari tetapi memakan masa dua hari.

"Selaku Menteri Pengangkutan, beliau (Kong) wajar bertanggungjawab kerana insiden tersebut benar-benar memalukan dan menyedihkan ratusan para penumpang dalam dan luar negara," kata Fariz.

Kong semalam dilaporkan mahu siasatan dijalankan berhubung punca bekalan elektrik terputus di KKIA Khamis lepas yang menyebabkan penerbangan dibatalkan dan ramai penumpang terkandas.

Beliau berkata kementerian tidak akan melindungi sesiapapun dalam siasatan itu dan memberi amaran tindakan tegas terhadap 'pihak yang cuai' tanpa mengira sama ada ia merupakan individu, pihak berkuasa tempatan atau pengendali lapangan terbang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, Kong berkata, jika hasil siasatan menunjukkan ada unsur sabotaj, laporan polis akan dibuat untuk tindakan undang-undang selanjutnya

KKIA dilaporkan ditutup pada malam Khamis selepas lampu landasan tidak berfungsi sehingga memaksa beberapa penerbangan masuk dan keluar dibatalkan atau dijadual semula menyebabkan ramai penumpang terkandas.

Dalam pada itu Bernama melaporkan bahawa Kabinet Sabah sedang menunggu laporan penuh daripada Malaysia Airports Berhad (MAB) mengenai gangguan bekalan elektrik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis yang menyebabkan pembatalan penerbangan dan ribuan penumpang terkandas.

Semasa menggesa bagi laporan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata MAB juga perlu menggariskan langkah yang perlu diambil untuk memastikan gangguan bekalan elektrik tidak berulang.

"Insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan masalah itu tidak sepatutnya mengambil masa yang lama untuk diatasi. Ini telah menjejaskan ribuan penumpang dan mungkin mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan," kata Musa yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, dalam kenyataan.

MAB, semalam dipetik sebagai berkata masalah lampu tidak berfungsi di landasan KKIA telah mengakibatkan 51 penerbangan, sama ada terpaksa dilencongkan, ditunda dan dibatalkan selama dua malam, menjejaskan sejumlah 6,000 penumpang.

Bagaimanapun, ia disahkan selamat untuk operasi penerbangan komersil pada sebelah malam pada 9.30 malam pada Jumaat, berikutan pemasangan kabel baharu dan pencahayaan serta sistem sokongan bekalan elektrik mudah alih.

No comments:

Post a Comment