Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM) mendakwa wujud penghinaan kepada umat Islam di
Malaysia ekoran penayangan filem 'My Name is Khan' lakonan Datuk Shah Rukh Khan
oleh stesen TV3 semalam tatkala sambutan Aidiladha berlangsung.
ABIM sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) mendakwa penayangan filem pada hari kedua raya Aidiladha
tersebut tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia
kerana cuba mengetengahkan fahaman Islam Liberal dan pluralisme agama yang
mengelirukan.
“Penayangan filem tersebut
membawa mesej yang mengelirukan,” kata ABIM dalam satu kenyataan dikirm kepada
The Malaysian Insider hari ini.
ABIM turut menegaskan filem
tersebut tidak mencerminkan imej agama Islam yang sebenar serta bertentangan
dengan syariat sambil menyelar pihak TV3 yang tidak terlebih dahulu membuat
kajian sebelum menayangkannya.
“Watak utamanya dibawa oleh
Shah Rukh Khan jelas menjengkelkan. Aksi beliau dalam cerita itu membayangkan
tahap kefahaman pengarah, penulis skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu
memalukan.
“Sebagai contoh,adegan hero
yang berkahwin dengan heroin (dalam filem ini) yang beragama Hindu jelas
bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampuraduk cara penyembahan
agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan
prinsip Islam,” kata ABIM lagi.
NGO tersebut turut mendakwa,
filem tersebut akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat Islam di Malaysia
kerana pendekatan yang digunakan dalam filem tersebut mewujudkan satu lagi
kekeliruan menerusi konsep ‘Islam
Liberal’.
“Fahaman Islam Liberal ini
pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan mengenepikan
pandangan ulama muktabar. Begitu juga dengan nilai yang cuba disejajarkan
dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran Islam itu sendiri.”
Dalam isu berasingan,
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini dalam satu kenyataan menyeru umat
Islam di seluruh negara agar memboikot penyanyi popular Jaclyn Victor kerana
menyanyikan lagu “Harapan Bangsa”, sebuah lagu Kristian dalam bahasa Melayu
yang mana kumpulan garis keras hak Melayu itu mendakwa merupakan satu
penghinaan kepada Islam — dalam ribut antara agama terbaru di negara mempunyai
penduduk berbilang kaum dan agama.
Serangan Perkasa timbul
sebagai ketegangan agama yang terus dicetuskan di Malaysia menjelang pilihan
raya umum ke-13, dengan perdebatan daripada parti politik mengenai kedudukan
Islam di negara ini.
Perlembagaan Malaysia
menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan akan tetapi rakyat yang
beriman dengan agama lain mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama
mereka secara bebas.
Victor, seorang penganut
agama Kristian baru-baru ini terperangkap dalam kecelaruan antara agama yang
muncul diantara Islam dan agama lain. Kumpulan garis keras Islam telah mendakwa
penganut Kristian Malaysia bersubahat dengan parti politik pembangkang tertentu
untuk melantik seorang perdana menteri Kristian serta menjadikan Malaysia
sebagai negara Kristian tanpa mengeluarkan sebarang bukti menyokong tuntutan
mereka.
Penyanyi berusia 33 tahun
itu berkata lagu “Harapan Bangsa” bukan untuk tujuan komersial dengan mendakwa
ia telahpun direkodkan bertahun-tahun lalu.
“Lagu itu saya rakam sekitar
2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja.
Ia dicipta oleh seorang paderi dengan mesej keamanan Malaysia. Sebagai seorang
penganut kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian
menyanyikan lagu itu.
“Lagipun, ia bukan untuk
tujuan komersial. Jadi mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama
dirakamkan itu?”
“Saya sedar, mungkin
disebabkan lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Melayu membuatkan ramai yang
melihat perkara ini sebagai tidak sensitif dan menganggap saya cuba menyebarkan
fahaman Kristian. Saya menyanyi dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan penganut
Kristian di Sabah dan Sarawak bertutur dalam Bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment