Tuesday 16 October 2012

AGROPOLITAN BANGGI GAGAL KERANA GETAH STRESS DAN IKAN MATI





GEMBIRA......Menteri KKLW tetap gembira sekalipun Projek Agropolitan Banggi gagal mencapai matlamat.



Oleh : MUTALIB M.D

LAPORAN Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen kelmarin mendedahkan bahawa Projek Agropolitan Banggi yang dijalankan Agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) iaitu FELCRA gagal mencapai matlamat setelah getah yang ditanam mengalami stress dan mortaliti ikan yang rendah (mati).

Sasaran KKLW untuk meningkatkan purata pendapatan peserta Projek Agropolitan dari RM300 kepada RM1,800 sebulan melalui pengagihan dividen hasil daripada pegangan saham dan penerimaan gaji/upah daripada projek kecil yang dijalankan tidak berjaya.

Semakan Audit terhadap Projek Agropolitan Pulau Banggi Ladang Sejahtera (Getah) seluas 1,877 hektar yang telah dibangunkan oleh FELCRA Berhad dengan perbelanjaan berjumlah RM33.45 juta daripada peruntukan yang disalurkan berjumlah RM27.60 juta.

Lawatan Audit pada bulan November 2011 mendapati tanaman getah yang berusia antara 2 hingga 4 tahun mengalami masalah pertumbuhan yang disebabkan oleh tanah ladang yang menakung air dan berbatu-batan.

Menurut laporan itu lagi, antara kesannya telah mengakibatkan pokok getah berbanir/berbuah pada usia muda, condong disebabkan akar yang tidak mencengkam tanah dan daun mengalami lecuran.

Maklum balas KKLW yang diterima pada 20 Jun 2012, tanaman getah di Pulau Banggi, Sabah menghadapi 'stress' kesan daripada sifat tanah di kawasan ladang yang menakung air dan berbatu-batan.

Selain itu, kedudukan geografi pulau yang terdedah kepada tiupan angin kencang yang mengandungi garam laut turut menjadi punca kepada masalah lecuran daun pokok getah.

Kesannya, pertumbuhan tanaman getah di pulau ini adalah lebih perlahan berbanding kawasan yang lain di Semenanjung dan tindakan penyelenggaraan dan pemuliharaan ladang yang rapi perlu dilakukan bagi memastikan ladang mengeluarkan hasil seperti yang dirancang.

Tambah laporan itu lagi, antara tindakan penyelenggaraan dan pemuliharaan yang dilaksanakan adalah dengan menggantikan anak pokok getah yang telah mati, penanaman pokok pemecah angin/tanaman penutup bumi, pemasangan tiang sokongan terhadap pokok getah yang condong, penggunaan baja organik dan pemuliharaan teres.

Proses penyelenggaraan dan pemuliharaan tersebut adalah di luar daripada kos perladangan yang dianggarkan dan ini telah mengakibatkan FELCRA Berhad membelanjakan jumlah yang melebihi peruntukan yang disalurkan.

Pada pendapat Audit, projek Ladang Sejahtera (Getah) di Pulau Banggi, dapat mencapai matlamatnya dari segi memberi peluang pekerjaan kepada peserta Projek Agropolitan.

Bagaimanapun, projek ini kurang berdaya maju di mana kos penyelenggaraan yang tinggi diperlukan untuk memastikan ladang mengeluarkan hasil bagi memastikan pengagihan dividen kepada peserta dapat dibuat seperti yang dirancang.

Manakala Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar di Pulau Banggi, KKLW telah menyalurkan peruntukan daripada Program Kesejahteraan Rakyat berjumlah RM11 juta kepada FELCRA Berhad untuk melaksanakan projek ini di perairan antara Pulau Banggi dan Pulau Balak pada tahun 2009.

Sasaran pengeluaran yang ditetapkan adalah sebanyak 336,000 kilogram ikan daripada 400 sangkar ikan kerapu harimau/jenahak emas untuk pasaran eksport ke Hong Kong dan China.

Seramai 200 peserta Projek Agropolitan akan menerima 2 buah sangkar ikan setiap seorang sebagai pegangan saham dan diberi keutamaan untuk mengisi 20 peluang pekerjaan yang diwujudkan daripada projek tersebut.

Semakan Audit terhadap prestasi projek ini mendapati projek yang dilaksanakan oleh anak syarikat FELCRA Berhad iaitu FELCRA Agro Industry Sdn. Bhd. (FAISB) pada bulan Julai 2009 dengan nilai kontrak berjumlah RM7.49 juta kurang berjaya.

Sejumlah RM3.96 juta telah dibelanjakan pada tahun 2009 bagi tujuan pembinaan sangkar ikan, pejabat, pusat asuhan ikan dan rumah pekerja serta perolehan peralatan seperti pam air dan set jana kuasa.

Bagaimanapun, KKLW telah mengarahkan supaya projek ini dihentikan kerana peratusan anak ikan kerapu harimau yang hidup setakat bulan Ogos 2010 adalah sangat rendah iaitu hanya 6,160 (8.2%) daripada 75,119 ekor yang dimasukkan ke dalam sangkar.

Berdasarkan rekod KKLW yang disemak, analisis menunjukkan projek ini gagal kerana FAISB kurang pengetahuan/kemahiran untuk menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar di mana syarikat tersebut tidak dapat mengesan/mengetahui punca/jenis penyakit dan kaedah rawatan/kawalan penyakit ikan pada peringkat awal.

Selain itu, kegagalan projek juga disebabkan oleh masalah bekalan elektrik yang tidak berterusan selama 24 jam sehari di kolam asuhan anak ikan, masalah bekalan minyak diesel untuk kegunaan set jana kuasa serta kesukaran mendapatkan bekalan makanan ikan yang segar.

Sebagai langkah pembetulan, KKLW memutuskan agar projek ini diserahkan kepada 21 peserta Projek Agropolitan yang terpilih di mana setiap peserta akan menerima maksimum 5 buah sangkar untuk diusahakan sendiri pada bulan Oktober 2011.

Selain itu, KKLW akan memberikan bantuan seperti penggunaan bot nelayan, pukat, bubu, benih ikan serta menyediakan kursus asas nelayan dan ternakan ikan dalam sangkar.

Manakala bagi bangunan pejabat dan stor/rumah pekerja pula, KKLW mencadangkan untuk mengubah suai bangunan tersebut kepada rumah burung walit. Sehubungan itu, baki wang yang tidak dibelanjakan berjumlah RM7.04 juta akan digunakan untuk pelaksanaan.

Semakan Audit juga mendapati Kementerian telah melupuskan aset/peralatan yang diperoleh antaranya sangkar ikan, pam air dan set jana kuasa pada bulan Jun 2011. Bagaimanapun, tawaran penjualan aset/peralatan lupus yang dilaksanakan pada bulan November 2011 tidak mendapat sambutan.

Lawatan Audit pada bulan November 2011 bagi meninjau keadaan aset yang dilupuskan tersebut mendapati ia tidak disenggarakan atau rosak/terbiar.

Pada pendapat Audit, Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar, Pulau Banggi, Sabah gagal mencapai matlamatnya dari segi pengagihan dividen kepada 200 orang peserta dan memberi peluang pekerjaan untuk 20 orang peserta Projek Agropolitan Pulau Banggi.

Pada pendapat Audit, kelemahan pemantauan oleh agensi pelaksana terhadap pelaksanaan komponen fizikal Projek Agropolitan telah mengakibatkan kerja yang tidak berkualiti dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Begitu juga dengan kerja membekal, memasang dan menyiapkan tangki dan rumah pam bagi kegunaan PPMS (Fasa I) Projek Agropolitan Pulau Banggi telah siap dilaksanakan pada 12 Januari 2010 dengan harga kontrak bernilai RM1.85 juta.

Bagaimanapun setakat tarikh pengauditan, tangki air ini tidak dapat diuji sama ada berfungsi dengan baik atau tidak disebabkan kuasa bekalan elektrik yang dijana di Pulau Banggi tidak dapat menampung kuasa mesin pam air tersebut. Setakat tarikh pengauditan, bekalan air ke rumah PPMS (Fasa I) disalurkan secara terus daripada paip utama.

Maklum balas yang diterima daripada KKLW pada 20 Jun 2012 menjelaskan bahawa tangki air tersebut telah diuji pada bulan Februari 2012 dengan menggunakan bekalan elektrik yang dijana dari set jana kuasa. Hasil daripada ujian tersebut mendapati tangki air berfungsi dengan baik dan pengurusannya akan diserahkan kepada Jabatan Air Daerah Kudat, Sabah.

No comments:

Post a Comment