Oleh : M RAMLI
TANPA mengambil kira
keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 tahun 2008 dan juga
wakil rakyat katak yang lompat sini sana, dalam simpanan deposit BN ada 140
kerusi Parlimen dan 305 DUN.
Kemenangan 63% di Parlimen
memberi hak BN untuk membentuk kerajaan, tetapi kehilangan majoriti 2/3 di
Parlimen meletakkan BN dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali Parlimen
bersidang.
Angka-angka tersebut juga
membentuk paras pencapaian minimum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam mengharungi PRU akan datang.
Istilah minimum digunapakai
kerana Najib sedang pening kepala menguruskan senarai calon yang panjang lebar
di kawasan-kawasan yang banyak kod warna sehingga ada calon yang putih pada
bulan April, tiba-tiba jadi kelabu pada bulan Jun, masuk bulan Ogos entah silap
siapa, nama yang sama jadi hitam.
Biar apapun yang dibicarakan
mengenai calon atau kod warna kawasan, untuk memperoleh majoriti 2/3, BN
perlukan tidak kurang daripada 148 kerusi Parlimen, dengan harapan kerahan
tenaga mengejar majoriti 2/3 turut membawa kepada rampasan kembali tampuk kuasa
di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor serta memberi legitimasi kepada 'kemenangan'
BN di Negeri Perak.
Mungkin para pembesar di
Putrajaya dan PWTC semakin merasai kepanasan rungutan penyokong BN di peringkat
akar umbi mengenai permasalahan yang melanda kerajaan, sampai Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memberi amaran bahawa mereka yang
didapati cuba sabotaj calon parti dalam PRU akan disingkir.
Persoalannya, kenapa hanya
beri amaran sekarang bila PRU 13 sudah hampir? Bukankah amaran sebegini akan
menyukarkan lagi proses perpaduan di peringkat akar umbi atau amaran ini
terpaksa diberi kerana para pembesar di Putrajaya dan PWTC sudah mengambil
keputusan untuk menurunkan calon 'payung terjun' di kawasan-kawasan panas?
Untuk dicalonkan, seseorang
itu mestilah mempunyai kualiti 'Winnable', maka meriahlah sembang di kedai kopi
dan warung mengenai siapa 'WC' atau 'Winnable Candidate' yang berjaya memikat
hati para pembesar parti, atau isteri-isteri pembesar tertentu. Definisi WC ini
berbagai-bagai, tahap penerimaan mereka juga berbeza mengikut kawasan.
Oleh yang demikian, bagi
member justifikasi kepada keputasan mengetengahkan bidan terjun, pujukan halus
seperti “kepentingan parti mendahului kepentingan individu” dan “pengorbanan
demi perjuangan parti” kini menanti giliran untuk dipaparkan menerusi media
masa dan ucapan-ucapan pemimpin parti.
Bagaimanapun, para pembesar
parti yang selama ini lantang berhujah mengenai perjuangan parti dan sokongan
tidak berbelah bahagi kepada agenda parti perlu sedar akan tanggungjawab lebih
besar yang menanti mereka.
Sekiranya pengorbanan demi
parti dituntut untuk memastikan parti terus gah dan bertakhta, kenapa
pengorbanan itu hanya daripada satu pihak sahaja dan bukannya diteladani oleh
para pembesar yang sudah lama berkuasa hasil sokongan kuat orang-orang di
bawah?
Dalam erti kata yang lebih
mudah, beranikah para pemimpin kanan parti dalam mempertaruhkan kekuatan
politik dan populariti mereka di kawasan-kawasan hitam/kelabu hitam pada PRU
akan datang demi menyelamatkan kawasan tersebut daripada terus dijajah oleh
pihak pembangkang?
Beranikah mereka, atau
pemimpin anak jantan sebegini sudah pupus dalam UMNO?
Pada PRU ke-6 yang
berlangsung pada tahun 1982, President MCA pada masa tu, Datuk Seri Lee San
Choon, memimpin parti beliau menentang serangan hebat daripada DAP.
Pada waktu itu, MCA berhadapan dengan krisis keyakinan
daripada para pengundi Cina yang pada umumnya menganggap calon MCA hanya boleh
menang dengan undi Melayu.
Lim Kit Siang, Setiausaha
Agung DAP pada masa itu, sering mengejek MCA dan memperkecilkan keupayaan MCA
dalam meraih sokongan pengundi Cina. Malah, Kit Siang turut mencabar Lee San
Choon untuk bertandingan di mana-mana satu daripada 12 kawasan majoriti
pengundi Cina bagi membuktikan bahawa MCA bukan hanya mengharap ehsan pengundi
Melayu.
Berhadapan dengan serangan
politik bertubi-tubi daripada pembangkang dan demi mengembalikan semangat
ahli-ahli parti dalam berhadapan dengan para pengundi Cina, Lee San Choon
menjawab cabaran Kit Siang dengan mengambil keputusan berani untuk bertanding
di Parlimen Seremban, iaitu salah satu kubu kuat DAP pada waktu itu yang
menjadi 'jajahan' Pengerusi DAP, Dr Chan Mon Hin.
Ironinya, Kit Siang yang
kuat mencabar orang memilih untuk tidak menyahut cabaran San Choon dengan
alasan Seremban kawasan Mon Hin. Lantaran dengan itu, pertandingan di kawasan
Parlimen menemukan dua gergasi politik Cina dalam satu pertarungan yang bakal
menentukan hidup-mati parti masing-masing.
Semangat anak jantan Lee San
Choon memilih untuk berhadapan dengan musuh kuat di kawasan paling hitam
membuahkan hasil lumayan kerana bukan sahaja beliau menewaskan Pengerusi DAP di
Seremban, strategi beliau bertanding di kawasan hitam juga menaikkan semangat
ahli-ahli parti di setiap peringkat untuk berjuang habis-habisan bagi
memenangkan parti di seluruh Negara.
Pada PRU tersebut, MCA di
bawah pimpinan Lee San Choon memenangi 27 kerusi Parlimen, menjadi kemenangan
di Seremban satu bonus yang cukup bersejarah dan dihormati para pengundi Cina.
Melihat pada konteks masa
kini di mana perang saraf dan kempen PRU sudah jauh berbeza berbanding tahun
80-an, semangat dan keberanian Lee San Choon sudah tidak banyak kelihatan dalam
diri pemimpin sekarang.
Rata-ratanya pemimpin besar
UMNO cukup selesa dengan jawatan besar masing-masing dan undi pos yang memberi
jaminan kemenangan, bolehlah mereka berceramah besar mengenai betapa pentingnya
ahli parti melakukan pengorbanan demi kelangsungan perjuangan parti.
Persoalannya, kenapa
ahli-ahli parti yang menaikkan pemimpin-pemimpin besar ini kerap dikorbankan,
pemimpin besar pula selamba rumah besar isteri dua dan bercuti sakan di London?
Mengapa setiap kali
dibicarakan mengenai isu perjuangan parti dan memenangkan kawasan hitam/kelabu
hitam, tidak pernah biar pun sekali ada pemimpin besar yang merelakan diri
untuk bertanding di kawasan-kawasan tersebut bagi memberi nafas baru kepada
ahli-ahli parti dan jentera parti?
Kawasan-kawasan putih
mengelit yang selama ini dipegang para pembesar kerajaan seperti Pekan, Pagoh,
Bagan Datoh, Sembrong dan Sungai Sibuga sudah gagah dan kuat dengan jentera
yang mantap dan sokongan pengundi yang kukuh. Kemenangan di situ sudah menjadi
satu perkara yang lazim dan hanya faktor majoriti kemenangan sahaja yang
menjadi topik perbualan.
Tetapi dari segi matematik
politik, para pembesar kerajaan tidak sedar akan peranan mereka dalam membantu
memenangkan lebih banyak kerusi untuk parti. Seharusnya dengan populariti
mereka yang tinggi dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan mereka yang begitu
kuat seperti mana laporan berita media masa, mereka boleh menang di mana-mana sahaja
kawasan yang mereka tandingi kerana mereka cukup popular dan diterima rakyat.
Oleh yang demikian, sudah
sampai masanya para pemimpin yang popular tersebut mengambil pendekatan yang
lebih strategik dalam menambah kerusi kemenangan UMNO, iaitu dengan bertanding
di kawasan hitam/kelabu hitam.
Strategi sebegini bukan baru
kerana pada tahun 80-an, Lee San Choon telah melakukan perkara yang sama dan
menang. Yang berbeza sekarang ialah Lee San Choon tidak begitu popular pada
waktu itu seperti mana Najib, Muhyiddin dan Ketua-Ketua Menteri, malahan Menteri
Dalam Negeri yang cukup popular (bukan persepsi dan tiada kompromi) kerana
mempunyai pengikut Tweeter dekat 200 ribu dan cukup diminati artis-artis jejaka
termasuk Aaron Aziz dan Anuar Zain.
Maka sudah tentu aura
populariti mereka di kalangan masyarakat akan memperkuatkan lagi semangat
jentera di kawasan-kawasan hitam/kelabu hitam, reputasi nasional mereka juga
akan menambat hati dan minda para pengundi dengan mudah sejajar dengan prestasi
mereka mentadbir negara/negeri.
Para pembesar-pembesar
kerajaan selama ini tidak sedar bahawa mereka mampu melakukan sumbangan yang
jauh lebih besar daripada mempertahakan kerusi-kerusi putih mereka.
Pada hakikatnya sekiranya
mereka dapat menjana sokongan rakyat di kawasan hitam/kelabu hitam menerusi
populariti mereka di peringkat nasional, setiap kerusi yang mereka menangi
adalah bonus besar kepada UMNO/BN bukan sahaja dari segi menaikkan moral ahli
parti, tetapi sekali gus menambah kerusi yang dimenangi dan membantu UMNO/BN
kembali memeluk majoriti 2/3.
Harus diingat, strategi itu
telah membuahkan hasil bukan sahaja kepada Lee San Choon dan MCA pada tahun
80-an, tetapi juga kepada parti pembangkang seperti DAP.
Walaupun bergerak sebagai
pembangkang dengan masalah kekurangan sumber dan organisasi jentera yang mantap
seperti UMNO/BN, para pemimpin kanan DAP berperang secara 'Gorilla' iaitu
menawan kubu lawan satu per satu.
Jenderal perang mereka akan
sentiasa berada di barisan hadapan dan meninggalkan kawasan yang telah mereka
tawan supaya mereka dapat meneruskan misi perang di kawasan lawan yang lain.
Rekod PRU ke-12 jelas
mencerminkan keberhasilan tinggi strategi pihak pembangkang. Lim Guan Eng
mengambil risiko bergerak dari Melaka ke Pulau Pinang dan DAP menempah kejayaan
paling besar dalam sejarah parti di utara Semenanjung. Pada masa yang sama, DAP
tetap gagah di Melaka dengan memenangi 1
daripada 2 kerusi Parlimen yang ditandingi dan 5 kerusi DUN daripada 8 kerusi
yang ditandingi.
Jelas bahawa Lim Guan Eng
mewarisi DNA bapa dia, Lim Kit Siang. Kit Siang masyur dengan sejarah
bertanding di beberapa negeri bermula daripada Melaka, lalu ke Selangor,
kemudiannya ke Pulau Pinang dan terbaru di negeri Perak di mana Kit Siang
menang besar di Parlimen Ipoh Timur dengan majoriti 21ribu undi.
Hulubalang-hulubalang
seperti Kit Siang dan Guan Eng tidak mempunyai rekod tanpa kalah. Dalam sejarah
penglibatan PRU mereka, ada juga peristiwa di mana mereka kalah teruk kepada
calon daripada BN.
Tetapi mereka terus berjuang
dan yang paling penting, pendekatan berani mereka merempuh kubu kuat BN telah
berjaya memperkuatkan parti dan membuka ruang kepada generasi baru kepimpinan
parti untuk bertapak di kawasan-kawasan tradisi UMNO/BN.
Kepada para
pembesar-pembesar UMNO, mungkin sudah tibanya masa untuk menilai kembali
tanggungjawab masing-masing terhadap survival parti dan bukan hanya
mengorbankan ahli-ahli parti untuk selamat diri sendiri. Mungkin benar bahawa
di jentera peringkat akar umbi masih tenat dengan isu-isu dalaman. Tetapi
sekadar memberi ucapan mengenai survival parti dan kepentingan parti sudah
tidak berkesan lagi.
Kepimpinan itu bukan satu
retorik tetapi satu kewajipan dan satu amanah yang perlu diterjemahkan kepada
tindakan. Pada masa dan ketika survival parti berada di persimpangan, para
pembesar parti harus melakukan lebih daripada menuntut pengorbanan daripada
ahli-ahli akar umbi.
Sudah sampai masanya para
pembesar parti mengepalai serangan barisan hadapan dan bukannya duduk mengarah
jentera kempen di kawasan putih yang UMNO/BN boleh menang biarpun 'diletakkan
songkok sahaja'.
Demi survival parti, demi
menaikkan semangat jentera dan demi tujuan keramat menawan kembali kerusi yang
pernah menjadi kubu kuat parti, para pembesar Putrajaya perlu meninggalkan
kawasan putih masing-masing dan bertanding di kawasan hitam/kelabu hitam di PRU
akan datang.
Sebagai contoh, Najib selaku
Pengerusi Perhubungan BN Selangor merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat
yang rajin turun padang, kuat bekerja dan jauh lebih popular daripada mana-mana
pemimpin pembangkang. Sekiranya Najib bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak,
PKR sudah pasti akan kehilangan seorang 'heavyweight' di situ kerana tidak
mungkin MB Selangor yang tidak mampu urus air dalam negeri dan ada masalah
dengan Timbalan Presiden parti sendiri mampu menandingi aura dan rekod khidmat
cemerlang Najib.
Sebagai satu pendekatan
tambahan bagi memantapkan lagi jentera UMNO/BN Selangor dan memberi impak 'Double-Punch'
pada PRU akan datang, Hishamuddin Hussien dilihat sebagai rakan setia Najib
yang paling berkaliber dalam membantu misi Najib menawan semula Selangor.
Dengan sokongan dan
rangkaian maklumat daripada agensi-agensi utama seperti PDRM, RELA, JPAM, Skuad
Muda KDN dan pengikut Tweeter hampir 200 ribu dan dibantu rakan-rakan artis
tampan molek, Hishamuddin yang cukup masak dengan situasi semasa di Selangor
dan berdekad menjadi pemegang 'Permit Masuk' di Ampang, dilihat mampu
meneruskan sokongan kuat beliau kepada Najib dengan bertanding di Parlimen
Ampang yang dimenangi calon PKR pada PRU yang lepas.
Parlimen Ampang dilihat
cukup ideal bagi Hishamuddin kerana komposisi pengundi mengikut kaum di Ampang
(56% Melayu, 34% Cina, 8% India) menyerupai komposisi pengundi di Parlimen
Sembrong (54% Melayu, 36 Cina, 9% India).
KDN selama ini telah
melakukan banyak inisiatif mengurangkan jenayah di negeri Selangor dan berjaya
mencatat penurunan dari segi kadar jenayah (bukan persepsi). Kelebihan ini
merupakan satu prestasi tinggi yang meletakkan Hishamuddin di satu kedudukan
yang amat selesa dan sangat sangat popular di Ampang.
Bertanding di Parlimen
Ampang juga akan membantu Hishamuddin menyukarkan kempen PKR di DUN Bukit
Antarabangsa yang dimenangi Azmin Ali pada PRU yang lepas. Berasaskan kepada
tahap populariti yang tinggi dan pengalaman hidup Hishamuddin di Ampang, beliau
bukan sahaja mampu memberi sumbangan besar kepada misi Najib dalam menawan
semula Selangor, memenangi satu lagi kerusi bonus untuk UMNO/BN tetapi juga
membantu dalam melemaskan jentera politik PKR di Selangor.
Melihat kepada isu
ketandusan pemimpin berkaliber dalam Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur pula, seharusnya Muhyiddin mempertimbangkan cadangan untuk
bertanding di salah satu kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur selama ini
dianggap sebagai kubu kuat parti pembangkang dan ketiadaan heavyweight UMNO
untuk menentang pembangkang di Kuala Lumpur secara konsisten telah menjadikan
jentera UMNO di Kuala Lumpur lebih bersifat jentera berniaga daripada jentera
politik.
Sekiranya Muhyiddin sudi
memimpin misi serang UMNO di Titiwangsa atau di Wangsamaju, sudah tentu
pembangkang akan hilang arah dan dikorbankan jentera kempen Muhyiddin yang
turut diperkuatkan dengan sokongan kuat para guru.
Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk
Seri Musa Aman, mungkin sudah sampai masa untuk tidak menggelabah dengan
keputusan kajiselidik Merdeka Centre. Tidak usahlah mahu bergantung kepada
kenyataan Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk melepaskan diri daripada situasi
politik Sabah yang sudah cukup tenat dan mencabar.
Hakikatnya, kalau sudah
dibuktikan tidak popular, maka terimalah hakikat dan carilah jalan untuk
memperbetulkan keadaan. Tiada lagi alasan untuk terus berselindung di sebalik
persabahatan dengan para pembesar di Putrajaya. Segala permasalahan kepimpinan
di Sabah yang tidak putus-putus sehingga makin ramai meninggalkan UMNO/BN tidak
berlaku secara spontan.
Ahli-ahli parti di akar umbi
faham benar bahawa sudah tiba masanya Musa tampil berhadapan dengan masalah
yang beliau cetuskan sebelum UMNO/BN tenggelam di PRU akan datang.
Demi memastikan UMNO/BN
terus selamat dan berkuasa di Sabah, Musa yang merupakan anak kelahiran
Beaufort perlu kembali ke kampung kelahiran beliau untuk memastikan kerusi
Parlimen Beaufort tidak jatuh ke pangkuan pembangkang di PRU akan datang.
Sekiranya Lajim Ukim bukan
satu faktor yang boleh melemahkan UMNO Sabah seperti yang diwar-warkan oleh
Ahli Parlimen Kota Belud, maka Musa harus yakin dan percaya bahawa beliau juga
akan menang besar walaupun bertanding di Beaufort.
No comments:
Post a Comment