Tuesday 30 October 2012

GANGGUAN ELEKTRIK DI KKIA AMAT BERHARGA





KOTA KINABALU : Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Malaysia Datuk Roselan Johar Mohamed berkata gangguan bekalan elektrik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis lepas adalah pengajaran berharga untuk semua.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak beliau berharap insiden itu tidak akan berulang memandangkan 'Sabah menyasarkan untuk menjadi hab pengangkutan udara di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Bagaimanapun, Roselan, yang memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan keperluan meningkatkan hubungan udara di rantau ini, berkata pihak yang berkenaan harus ikhlas menerima kritikan dengan hati yang terbuka, memandangkan insiden gangguan elektrik di landasan KKIA adalah serius, untuk kebaikan rakyat, kerajaan negeri dan negara.

"Gangguan elektrik ini adalah sesuatu yang tidak harus berlaku, jika pemeriksaan dan penyelenggaraan dilakukan secara berjadual.

"Walaupun mereka tidak melihat sebarang kerosakan, ia masih perlu diperiksa dan diselia secara berterusan iaitu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan rutin," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Roselan berkata masalah besar yang dihadapi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ialah 'mereka sering ambil mudah dan semuanya akan berjalan baik'.

Beliau berkata: "Jika mereka beranggapan perkhidmatan penyelenggaraan adalah mahal, tetapi jika berlaku sesuatu insiden kos yang ditanggung lebih mahal. Gangguan elektrik ini adalah insiden bencana yang tidak dijangka, apatah lagi terpaksa menanggung malu atau membabitkan reputasi negara.

"Mereka harus melakukan sesuatu. Kita tidak boleh biarkan perkara ini senyap begitu sahaja. Seseorang mesti bertanggungjawab. KKIA harus dikendalikan oleh profesional dan kali ini mereka telah melakukan kesilapan," katanya.

Jelas insiden itu telah membangkitkan kemarahan banyak pihak di Sabah, bukan sahaja penumpang yang terjejas tetapi juga pemimpin negeri.

Antaranya anggota Parlimen Putatan Datuk Dr Marcus Mojigoh yang mencadangkan Datuk Seri Kong Cho Ha gagal sebagai Menteri Pengangkutan dan harus meletakkan jawatan berhubung masalah lampu tidak berfungsi di landasan KKIA di sini pada Khamis dan Jumaat.

Mojigoh dipetik dalam akhbar tempatan semalam, menggesa Kong supaya turun padang dan melihat sendiri masalah berkenaan yang menyebabkan gangguan elektrik di sepanjang landasan KKIA, yang merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini.

Pada Sabtu, Kong mengarahkan siasatan dijalankan berhubung punca bekalan elektrik terputus di landasan KKIA dan menambah beliau merasa amat dukacita atas kejadian itu yang menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan orang ramai yang bakal meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Malaysia Airports Berhad (MAB) pada Sabtu dipetik sebagai berkata masalah lampu tidak berfungsi di landasan KKIA telah mengakibatkan 51 penerbangan, sama ada terpaksa dilencongkan, ditunda dan dibatalkan selama dua malam, menjejaskan sejumlah 6,000 penumpang.

Bagaimanapun, ia disahkan selamat untuk operasi penerbangan komersil pada sebelah malam pada 9.30 malam Jumaat, berikutan pemasangan kabel baharu dan pencahayaan serta sistem sokongan bekalan elektrik mudah alih. (Bernama)
                           

No comments:

Post a Comment