Wednesday 24 October 2012

IPT MENYEDIAKAN PEKERJA MAHIR






BINCANG...Menteri DiJabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir (duduk dua kanan) memerhatikan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Haji Sairin Karno (kanan) berbincang sesuatu dengan Adun Pantai Manis, Datuk Haji Abd.Rahim Ismail (tengah) semasa waktu rehat di lobi DUN Sabah.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

KERAJAAN Negeri Sabah telah menubuhkan institusi pengajian tinggi di negeri ini sebagai satu langkah proaktif bagi menampung  dan memenuhi keperluan pekerja mahir yang semakin bertambah.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir Tun (Dr.) Sakaran, memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang mula bersidang dalam sesi soal jawab berhubung Hub Pendidikan Sandakan.

Menjawab soalan dewan Adun Elopura, Au Kam Wah, Dato Sri Nasir menjelaskan, Hub Pendidikan Sandakan (HPS)  terletak di Batu 10, Jalan Sungai Batang, Sandakan berkapasiti menampung sejumlah 5,000 orang pelajar.

Katanya, HPS mempunyai pelajar seramai 497 orang dan kini sedang belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Cawangan Sandakan dan Politeknik Sandakan.

Nasir berkata, UMS Cawangan Sandakan (UMSCS) mula beroperasi pada 12 September 2011 memfokuskan bidang pertanian moden.

Beliau menambah, sejak penubuhan UMSCS jumlah pelajar telah meningkat kepada seramai 371 orang bagi tahun 2012 berbanding 253 orng pada tahun 2011.

Sehubungan itu sebanyak tiga buah program telah ditawarkan di Sekolah Pertanian Mapan (SPM) iaitu Pengeluaran Tanaman Hortikultur  & Lanskap dan Pengeluaran Ternakan.

Sementara Politeknik Sandakan mempunyai 126 orang pelajar dan dijangka akan meningkat selepas pengambilan pelajar-pelajar baru pada bulan Disember depan.

Selain itu kata Nasir, kursus latihan yang ditawarkan Politeknik Sandakan tertumpu kepada latihan kemahiran dalam bidang pertanian dan akuakultur di peringkat diploma.

Nasir juga memberitahu persidangan dewan bahawa bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berkapasiti menampung 1,050 pelajar sudah siap dilaksanakan serta sedang menunggu pengeluaran Sijil Kebenaran Pendiaman dan MRSM dijangka akan beroperasi pada 2013.

“Disamping itu, beberapa institusi berhasrat dan merancang menubuhkan cawangan di HPS,” kata Nasir.

Menurut Dato Sri Nasir, terdapat dua buah institusi telah memohon peruntukan kewangan dan sedang menunggu keputusan daripada pihak berkenaan bagi menubuhkan cawangan HPS termasuk Kolej Yayasan Sabah (KKYS) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR).

Selain itu katanya, lima buah institusi juga sedang dalam peringkat perbincangan menubuhkan cawangan di HPS dan institusi-institusi itu terdiri daripada Kolej Residential; Kolej Aminudin Baki; Kolej Asian Tourism Institute; Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan serta Kolej Matrikulasi Sandakan.

“Kerajaan negeri sentiasa member penekanan kepada pembangunan professional yang berkualiti dan sumber manusia kelas pertama untuk membangunkan negeri kita justru itu penglibatan pihak swasta sangat dialu-alukan pihak kerajaan terutama dalam membantu membangunkan Hub Pendidikan Sandakan” kata Nasir.

No comments:

Post a Comment