Saturday 13 October 2012

KEMBALIKAN KOYAH A KEPADA YANG BERHAK





TUNTUTAN HAK…..150 pemilik tanah tersebut  kami mahu kembalikan hak milik tanah mereka.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

EKORAN urusan tanah yang diluluskan kepada mereka telah diselewengkan oleh seorang Pemaju Mukim DUN Sukau, Abdullah Japar, maka 400 orang pemilik tanah di Sungei Koyah A Fasa I, II dan III di bawah Skim Pekebun Kecil di Kinabatangan menuntut hak ke atas pemilikan tersebut kerana sehingga ke hari ini mereka masih belum memperoleh geran hak milik mereka.

Dalam satu sidang akhbar di sini, baru-baru ini, pemilik tanah termasuk pewarisnya sebulat suara mahu hak pemilikan terhadap tanah yang berkeluasan 6,000 ekar itu dikembalikan kepada mereka; jika gagal, mereka akan merujuk kepada suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes tuntutan mereka.

Ini kerana, masalah tuntutan tanah ini telah berlarutan terlalu lama seolah-olah pihak kerajaan tidak mengambil sebarang keputusan, tetapi menyarankan penyelesaian yang bukan satu bentuk penyelesaian seperti tuntutan para pekebun kecil Koyah A.

"Harapan para ahli ialah kembalikan hak mereka sebagai pemilik tanah berkenaan dan bukan mengalihkan tumpuan kepada soal lain. Ini soal hak rakyat dan mereka yang ada di sini, bukanlah di kalangan berpendapatan tinggi; tetapi apa yang penting hak mereka sebagai pemilik tanah dikembalikan secepat mungkin," kata Penasihat Undang-Undang, Aisah Ahmad yang dilantik bagi mengendalikan kes tersebut.

Beliau mendakwa, berlaku penipuan mengenai pemilikan tanah tersebut tetapi Jabatan Tanah dan Ukur enggan membantu pekebun kecil yang tertipu dan menyebelahi pihak yang berkepentingan; malah membenarkan penggunaan surat kuasa palsu.

Beliau berharap pihak yang terlibat dalam penipuan ini mendapat hukuman setimpal di sisi undang-undang sedia ada demi keadilan dan kepentingan semua pekebun kecil terlibat.

"Pemilikan tanah ini mesti dipertahankan dan tidak ada unsur-unsur politik dalam perkara ini. Saya bekerja di Semenanjung Malaysia tetapi sebagai anak watan Sabah, saya terpanggil untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia melibatkan hak asasi rakyat," tegasnya.





BUKTI…. Aisah menunjukkan beberapa dokumen yang berkaitan penjualan tanah. Gambar sisipan, Abdullah Jaafar


Dalam pada itu, Aisah memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan tanah bagi 400 pemilik yang mana secara purata minimum seorang pemilik mendapat keluasan tanah 15 ekar dan maksimum 17 ekar.

Menurutnya, geran-geran telah dikeluarkan pada tahun 1998 tetapi Jabatan Tanah dan Ukur, Kinabatangan tidak memaklumkan pemilik mengikut SOP dan peraturan yang sedia ada.

Tambahnya, sehinggalah pada tahun 1999 pihak-pihak tertentu (bukan Jabatan Tanah) telah memaklumkan kepada hampir semua pemilik untuk berkumpul bagi menerima wang berjumlah RM1,500 dengan memberi pelbagai alasan tujuan penerimaan wang tersebut.

"Pada masa itu, sebahagian pemilik-pemilik yang hadir diminta menandatangani kertas kosong dan kertas yang telah siap bertaip dengan isi kandungan yang tidak difahami kerana ayat-ayat adalah dalam Bahasa Inggeris.

"Pemilik-pemilik tidak diberi penerangan oleh pihak terbabit yang ada pada ketika itu dan tidak diberi ruang untuk bertanya, malah meminta pemilik-pemilik jangan banyak bertanya memandangkan ramai lagi pemilik lain yang menunggu giliran," katanya.

Dalam itu Tetuan Aisah Ahmad and Company yang dilantik oleh 400 orang pemilik tanah tersebut mendesak supaya polis dan SPRM yang sudah menerima laporan  rasmi mengenai kes penipunan berkenaan bertindak segera.

Kata Aisah, penjualan tanah-tanah tersebut yang didalangi oleh Abdullah Japar dan kuncu-kuncunya melalui modus operandi surat kuasa (Power of Attorney) palsu kepada pihak tertentu, terutama syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah perbuatan jenayah komersil yang perlu ditangani segera bagi menjamin keadilan terlaksana.

No comments:

Post a Comment