SHAH
ALAM : Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun
dan denda RM400,000 terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman
Bakri dan pembantunya Rosli Busro yang didapati bersalah atas lapan pertuduhan
melakukan tuntutan palsu melibatkan RM80,000, empat tahun lepas.
Hakim
Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk
mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di
sini, Azhaniz Teh Azman Teh, pada 1 Mac lepas.
Akhtar
turut menolak permohonan Abdul Rahman dan Rosli untuk penangguhan pelaksanaan
hukuman sebaliknya memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula hari
ini.
Dalam
penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman (foto fail) menghadapi lapan
pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Sungai Air Tawar sementara Rosli didakwa bersubahat dengannya melakukan
kesemua kesalahan itu.
Beliau
berkata peguam perayu berhujah bahawa keterangan dua saksi terpenting dalam kes
itu iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan Rizam Ismail tidak sepatutnya diterima
oleh mahkamah atas alasan kedua-dua mereka merupakan rakan sejenayah.
“Saya
telah baca keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap bahawa mereka
rakan sejenayah. Mereka lebih merupakan pak turut atau menurut apa-apa yang
diminta oleh tertuduh pertama (Abdul Rahman) dan tertuduh kedua (Rosli).
“Kalaupun
kedua-dua saksi ini dikatakan sebagai rakan sejenayah tetapi keterangan mereka
telah disokong oleh keterangan saksi bebas lain.
“Justeru
saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan apabila
menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada keterangan mereka
bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk membuat tuntutan palsu,”
katanya.
Akhtar
berkata perkara itu terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan untuk
program atau aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada untuk kegunaan
sendiri.
“Peguam
tertuduh juga berhujah bahawa tuntutan berkenaan bukan palsu kerana program
berikut telah diadakan tetapi bukan di tempat yang dinyatakan seperti dalam
tuntutan itu. Bagaimanapun saya lebih cenderung menyatakan ia adalah tuntutan
palsu.
“Dalam
rayuan ini saya puas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang
kesilapan bila mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas semua tuduhan dan
hukuman juga adalah setimpal dengan kesalahan serta jawatan kedua-dua tertuduh.
Justeru rayuan terhadap sabitan serta hukuman ditolak dan hukuman dikekalkan,”
katanya.
Abdul
Rahman dan Rosli diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan
Badrul Munir Mohd Bukhari sementara Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dan Timbalan Pendakwa
Raya Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak responden.
Abdul
Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun
mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah
dijalankan.
Tuntutan
itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi
Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat
dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum
Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan
Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
Semua
tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.
Abdul
Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21
Jan dan 12 Feb, 2008.
Bagi
setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah
1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman
penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan
atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rosli,
44, pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan
itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment