Sunday 14 October 2012

NAJIB SAKSI PERJANJIAN DAMAI FILIPINA-MILF





Oleh : R. RAVICHANDRAN

MANILA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan tiba Ahad untuk lawatan rasmi tiga hari ke Filipina, antara lain, bagi menyaksikan majlis menandatangani Rangka Kerja Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Isnin ini.

Ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia di sini Sabtu, Kuasa Usaha Tetap Kedutaan Besar Malaysia di Filipina Zakaria Nasir berkata Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mempunyai jadual ketat pada Isnin ini bermula dengan upacara meletakkan bunga di Taman Luneta (Taman Rizal).

Ini diikuti dengan majlis sambutan ketibaan beliau di Istana Malacanang, yang merupakan kediaman rasmi serta tempat kerja utama Presiden Filipina.

Selepas menandatangani buku tetamu di Dewan Resepsi istana itu, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat tertutup dengan Presiden Benigno S.Aquino III di Dewan Presiden, Istana Malacanang.

Selepas itu, Najib akan mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat dua hala, yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Dewan Presiden.

Mesyuarat itu akan diikuti dengan Kenyataan Akhbar Bersama.

Selepas menghadiri makan tengah hari rasmi yang dihoskan Presiden Aquino, Najib dan presiden Filipina itu akan menyaksikan majlis menandatangani Rangka Kerja Perjanjian Damai bersejarah antara kerajaan Filipina dan MILF di Dewan Rizal.

Najib juga dijadual menyampaikan ucapan, diikuti Presiden Aquino pada majlis itu.

Perjanjian damai tajaan Malaysia itu diumum serentak di Manila dan Kuala Lumpur pada 7 Okt lepas.

Rangka kerja perjanjian itu merupakan hala tuju bagi mewujudkan rantau autonomi baharu yang akan ditadbir oleh orang Islam di selatan Filipina dan bertujuan membuka jalan untuk keamanan berpanjangan selepas konflik lebih 40 tahun.

Ketika menyambut baik pengumuman itu, Najib, antara lain, berkata beliau gembira kerana menerusi perjanjian bersejarah tersebut, hak, maruah serta kemakmuran masa depan penduduk Bangsamoro akan dilindungi manakala kedaulatan dan Perlembagaan Filipina terpelihara.

Zakaria berkata Perdana Menteri juga akan menghadiri satu dialog dengan Majlis Perniagaan Filipina-Malaysia di sebuah hotel di sini.

Pada kira-kira 7.30 malam, Perdana Menteri dan isteri dijadual ke Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Hotel Mandarin Oriental, yang dijangka dihadiri kira-kira 150 pelajar Malaysia dan ahli perniagaan serta anggota keluarga mereka.

Perdana Menteri dan isteri dijadual berlepas pulang ke tanah air pada pagi Selasa.

Sementara itu, dalam atur cara berasingan, Rosmah pada Isnin akan menyampaikan ucapan di Institut Pengurusan Asia (AIM), Makati.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah adik Presiden Filipina iaitu Kris Aquino dan Presiden AIM Dr Stevan J.DeKrey.

Rosmah, yang merupakan alumni institut itu, akan turut melawat kampus AIM.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Duta Filipina J.Eduardo Malaya, dalam satu kenyataan menyebut negara itu dan rakyatnya teruja serta bersiap sedia menyambut kedatangan Najib selepas kejayaan rundingan damai antara kerajaan Filipina dan MILF. (Bernama)

No comments:

Post a Comment