Sunday 14 October 2012

NAJIB TIBA UNTUK LAWATAN KERJA DUA HARI DI SABAH





KOTA KINABALU : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini sempena lawatan kerja dua hari di Sabah.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki pesawat khas, tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada pukul 2.10 petang.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, timbalan-timbalan Ketua Menteri, anggota Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemimpin masyarakat.

Najib melancarkan majlis pecah tanah Bangunan Mahkamah Anak Negeri di Dewan Pagansakan dan perasmian jambatan baru di Kampung Inobong, Penampang, dekat sini.

Malam semalam, Najib akan menghadiri perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) pelbagai peringkat di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu Kundasang.

Esok, Perdana Menteri akan melepaskan peserta Kinabalu International Climbathon Kali Ke-26 yang dijangka disertai 658 peserta daripada 28 negara termasuk Malaysia di Kundasang yang terletak di kaki Gunung Kinabalu dan mengadakan tinjauan mesra di Pesta Kobis, pekan Kundasang.

Najib juga akan mengadakan tinjauan mesra di pekan Kudat sebelum merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat.

Perdana Menteri juga dijadual melawat kediaman tokoh kemerdekaan Sabah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun di daerah itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang. (Bernama)

No comments:

Post a Comment