Saturday 13 October 2012

PENAHANAN AKTIVIS, KUASA KPN





Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata penjelasan mengenai arahan kepada pihak imigresen menahan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di lapangan terbang hanya boleh dilakukan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Bakri ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata segala penjelasan melibatkan polisi dan sesuatu arahan adalah di luar bidang kuasanya dan hanya KPN boleh mengeluarkan kenyataan.

“Ini luar bidang kuasa saya, hanya KPN saja boleh beri penjelasan mengenai polisi,” kata Bakri.

Baru-baru ini, kontroversi melibatkan para aktivis yang ditahan di lapangan terbang dibidas kerana ia didakwa bermotifkan politik serta bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka.

Tindakan menahan di lapangan terbang ke atas aktivis dan anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih disifatkan oleh aktivis Maria Chin Abdullah sebagai satu bentuk gangguan dan sikap kerajaan tidak menghormati hak individu seorang rakyat Malaysia untuk bebas bergerak.

Pagi ini, K Arumugam,  Pengerusi Badan Hak Asasi Manusia SUARAM  dan anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih, Toh Kin Woon dalam satu pesanan ringkasnya berkata dia ditahan ketika dalam perjalanan ke Chennai di Lapangan Terbang Kos Rendah (LCCT).

“Semasa saya melalui Autogate ia tidak buka dan kemudiaannya seorang pegawai datang meminta pasport saya untuk pengesahan.

“Dia kemudian memberitahu saya dia perlu dapatkan nasihat pegawai atasan, 10 minit kemudiaan dia datang dan tidak memberi sebarang penerangan kenapa saya tidak dapat melalui Autogate,” kata Arumugam kepada The Malaysian Insider.

Arumugam tidak menolak perkara tersebut mempunyai kaitan dengan peranannya dalam Bersih 2.0 dan SUARAM.

Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan pada Selasa lalu telah ditahan di lapangan terbang selama 10 minit ketika dalam perjalanan ke Australia dan mendakwa pegawai  imigresen yang menahannya gagal memberi jawapan atas sebab apa dia ditahan.

Minggu lalu, seorang lagi anggota Jawatankuasa Pemandu Andrew Khoo juga berhadapan situasi sama apabila ditahan ketika pergi dan balik ke Bangkok.

Dalam laporan Free Malaysia Today, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Alias Ahmad berkata tindakan tersebut diambil selepas mendapat arahan daripada pihak polis “setiap urusan semua  individu ini perlu dirujuk kepada Pegawai Cawangan Khas yang berada di lapangan terbang”.

Alias juga menerangkan prosedur yang diambil bukan untuk menangkap atau menahannya tetapi hanya menjalankan temuduga seperti arahan yang diterima oleh polis.

“Kami hanya menjalankan tugas, penjaga pintu. Ia sama dengan kes mereka yang bankrap, nama mereka akan terpapar di skrin,” kata Alias.

Dalam perkembangan berasingan, Bakri menyatakan pihaknya akan mengambil langkah mengikut prosedur standard operasi (SOP) dalam menjalankan siasatan melibatkan kes kematian dalam tahanan dan akan telus dalam siasatannya.

Bakri yang disoal oleh The Malaysia Insider mengenai satu lagi kes kematian Chandran a/l Perumal dalam lokap Balai Polis Dang Wangi mendakwa mereka akan telus dalam siasatan dan setiap inkues akan dijalankan.

“Kami akan jalan siasatan mengikut SOP dan secara telus. Kami akan siasat punca ia berlaku, jika terdapat unsur jenayah mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan,” kata Bakri lagi.

Semalam dalam satu sidang media di Parlimen, Ahli Parlimen Kapar S Manikawasagam menggesa KPN menubuhkan pasukan khas mempercepatkan siasatan kes tersebut.

Mangsa, Chandran a/l Perumal disahkan meninggal dunia 10 September 2012 yang lalu akibat tekanan darah yang tinggi semasa dalam tahanan. Namun menurut laporan polis oleh abang mangsa, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh mendiang.

Statistik antara tahun 2000 hingga Februari 2010 menunjukkan seramai 144 kes kematian dalam lokap dilaporkan melibatkan 64 orang Melayu, 30 orang Cina, 28 orang India, 8 bagi kaum-kaum lain dan 14 kes kematian bagi warga asing.

No comments:

Post a Comment