Monday 22 October 2012

'R' TUNTUT ROYALTI 20%





     
Oleh : NAZRI ABDULLAH

KOTA KINABALU: NGO Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas atau lebih dikenali sebagai 'R' di lancarkan di peringkat negeri Sabah kelmarin.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Pengerusi Jawatan Kuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa sempena Konvensyen Politik Baharu Sabah di Star City Convention Center di sini.

Turut serta pada majlis pelancaran itu, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong, Naib Pengerusi R Malaysia Abu Samah Hassan, Setiausaha R Malaysia Hishamuddin Ghazali serta Pengerusi R Sabah Nemrone Loveh.

R Sabah merupakan sebahagian daripada lebih 80 NGO yang menyokong perjuangan menuntut royalti termasuk di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan lapan buah negeri lain di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Nemrone dalam kenyataan medianya berkata, tujuan penubuhan R Sabah adalah bagi menuntut bayaran royalti Sabah ditingkatkan dari 5 peratus kepada 20 peratus.

Katanya, jumlah 5 peratus yang dibayar oleh Petronas tidak mencukupi malah rakyat Sabah tidak merasai hasil minyak tersebut.

Perkara itu juga ujarnya disahkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan Sabah negeri paling miskin di Malaysia.

"Dengan tambahan peratusan bayaran royalti, ia akan menjadikan jumlah itu RM3.2 bilion. Maka gaji boleh ditingkatkan, pembangunan dapat dilakukan, peluang kerja makin banyak dan boleh memajukan infrastruktur di seluruh Sabah," katanya.

Beberapa lagi isu yang akan diperjuangkan R Sabah termasuklah;

- Penyerahan Blok L dan M milik Malaysia kepada Brunei yang didakwa dibuat secara tidak mengikut peruntukan Undang-undang.

- Malaysia didakwa kerugian RM320 Billion daripada tindakan tersebut.

- Isu pendaratan gas di Beufort dan duti eksais.

No comments:

Post a Comment