Thursday 13 December 2012

GHAPUR DESAK SELESAIKAN MASALAH JALAN MEROTAI






TAWAU: Jabatan atau agensi yang bertanggungjawab digesa memberi penjelasan tentang jalan penyelesaian yang akan diambil berkaitan masalah Jalan Merotai yang berlubang-lubang dan diminta supaya tidak bersikap berpeluk tubuh serta mendiamkan diri.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, berkata beliau sudah berulang kali menyuarakan tentang masalah jalan terbabit, tetapi belum mendapat reaksi yang positif daripada pihak-pihak yang berkaitan.

“Saya sudah beberapa kali bersuara tentang masalah jalan raya ini. Kita mahu tahu jalan ini terletak di bawah kuasa siapa. JKR kah atau agensi-agensi lain? Dan kita juga mahu tahu apakah langkah penyelesaian yang akan diambil bagi mengatasinya,” katanya.

Menurutnya, ramai penduduk di kawasannya melahirkan kekecewaan kerana masalah jalan itu dan tidak kurang juga yang menyalahkan pemimpin termasuk beliau sendiri.

Justeru itu katanya, pihak atau jabatan yang berkaitan perlu tampil memberi penjelasan tentang langkah-langkah yang akan diambil bagi memperbaiki jalan berkenaan kerana keadaan jalan itu bukan sahaja boleh menjejaskan imej baik Kerajaan Barisan Nasional (BN), malah lebih teruk, mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.

No comments:

Post a Comment