Friday 7 December 2012

PROJEK TOP-UP RM23 JUTA, MUTU JALAN KERBAU?





Oleh: JACKSON LU

KEMABONG: Walaupun Projek  menaiktaraf Jalan Kemabong-Marrais, Tenom, HQ 115/2011 (F) bernilai RM 23,119,461.40 namun mutunya seperti 'Jalan Kerbau' menyebabkan penduduk mendesak Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disaran agar turun padang sendiri memantau projek jalan sejauh 6 kilometer yang dijalankan secara 'cincai' dan tidak berkualiti.

Disebabkan itu, selepas disiapkan oleh kontraktor yang dilantik, beberapa bulan kemudian terdapat 7 lokasi yang mengalami kerosakan serius yang bermula daripada keretakkan tanah sehinggalah sebahagian daripada permukaan jalanraya telah runtuh.

Jurucakap penduduk Thomas Salam, 53, sebagai yang mewakili kira-kira seratus pemilik tanah di kawasan itu berkata demikian ketika memberitahu media pada Khamis.

Beliau berkata, mereka bimbang keadaan di situ (tanah runtuh) akan berlaku lebih serius lagi jika masalah itu tidak ditangani dengan secepat mungkin berdasarkan fenomena cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun kerana kekerapan hujan sering berlaku.

“Kami telah pun melaporkan perkara ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi nampaknya mereka dilihat seakan-akan tidak serius untuk mengambil berat berhubung laporan kami.





“Apa akan terjadi jika pelalu lalang khususnya kenderaan yang tidak sempat terjaga melalui kawasan yang mengalami runtuhan dan terbabas ke dalam gaung lalu mengalami kemalangan jiwa (jadi), siapakah harus dipersalahkan? Tuding menuding jari selepas itu sudah tidak bererti lagi,” tegas Thomas.

Menurut Thomas, beliau sangsi bahawa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja tersebut tidak mengikut piawaian sepertimana yang dikehendaki seperti meletakkan cerucuk di kawasan kawasan tanah mudah mendap sebelum kerja-kerja pengaspalan dilakukan.


“Itulah sebabnya kebanyakan runtuhan berlaku kerana tanah mendap tambahan pula tebingan tidak dibina 'retainning wall'. Itu sebabnya ia mudah runtuh dan terus runtuh,” tegasnya.


Projek menaiktaraf jalanraya diantara Pekan Kecil Kemabong ke Marrais sejauh 6 kilometer dibawah peruntukkan kerajaan Persekutuan KKLW telah mula dibina pada 27 Ogos 2011 dan siap lebih awal setahun sebelum tarikh tempoh siap sebenar pada 26 Ogos 2013.

No comments:

Post a Comment