Saudara Pengarang,
SAYA mengajar di sekolah
rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang.
Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan
bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia
hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya.
Tetapi kesabaran saya
tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya
hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali
anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih
juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya.
Kali ketiga saya terpaksa
menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya
menyerahkan punggungnya untuk dirotan. Airmatanya sahaja yang jatuh tanpa
sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya, dia masih
juga lambat dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah
dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintip ke rumahnya.
Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah
kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif.
Saya nampak murid saya itu
sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang
mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak
lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu.
Sambil berlari dia membuka
baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada
murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna
dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah
dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang
mula tergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan
memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju
tadi?"
Dia terkejut dan wajahnya
berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju
lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya
"Kenapa kamu tak
beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"
"Mak pesan, jangan
meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau
cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."
Sambil menahan airmata yang
mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......."
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat
yang mampu.
Salam Hormat,
CIKGU INSAF
I will love to help the poor boy. Email me at alief79@gmail.com. Tq.
ReplyDelete