Oleh : ALAN TING
PELANCARAN parti STAR Sabah pada Jumaat ini mungkin tidak disedari banyak pihak jika tidak kerana kenyataan yang dikeluarkan sekretariatnya pada petang Selasa.
Bagaimanapun, perkara yang paling menarik perhatian ramai ialah apabila kenyataan itu menyebut bahawa majlis pelancaran itu akan turut dihadiri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang diketahui ramai sedang giat berusaha untuk membentuk barisan pembangkang yang dianggotai parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Selain kumpulan pendesak yang beliau ketuai, dikenali UBF, setakat ini, Jeffrey telah berjaya menarik Parti Maju Sabah (SAPP) dan sebuah lagi parti yang belum didaftarkan iaitu Usno Baru, untuk menyertai gabungan itu yang dinamakan Perikatan Borneo.
Terkini, gabungan itu dikatakan akan mendapat anggota baru, Parti Pembaharuan Negeri (STAR), yang ditubuhkan di Sarawak.
Penganalisis politik dan orang dalam parti itu berkata Jeffrey, yang juga bekas naib presiden PKR, cuba mendaftarkan UBF sebagai parti politik tahun lepas tetapi tidak berhasil.
Mungkin itulah sebabnya STAR bersetuju melebarkan sayapnya ke Sabah walaupun parti itu tidak aktif sejak sekian lama.
Ada pihak berkata parti itu bersetuju menjadikan Jeffrey sebagai pemimpin utamanya di Sabah, dan selepas itu menarik parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk pakatan dikenali sebagai ‘Perikatan Borneo Bersatu (UBA)’.
Pengulas politik percaya Jeffrey menjadikan UBF sebagai alat untuk membolehkannya diterima oleh STAR dan seterusnya menjadi pemimpin parti itu.
Bagaimanapun, penganalaisis politik berkata pembentukan sebuah lagi parti gabungan pelbagai etnik di Sabah, khususnya dalam kalangan parti pembangkang, akan hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu berikutan kecenderungan penggerak utama masing-masing untuk mengubah sokongan atau menubuhkan parti baru setiap kali menjelang pilihan raya.
Mereka akan bercakaran sesama sendiri, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
"Mereka tak akan ada peluang untuk menang. Ini samalah dengan perpecahan yang berlaku dalam gabungan parti pembangkang sebelum ini. Pembangkang akan mengalami masalah besar apabila mereka berpecah," katanya.
Beliau berkata malah, banyak pihak percaya pembentukan pakatan pembangkang Borneo itu lebih merupakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan STAR-UBF memberi tumpuan untuk menarik undi masyarakat pribumi Sabah (Kadazan, Dusun dan Murut), manakala SAPP (Cina) dan Usno pula, melalui kerjasama mereka dengan SPF, berharap akan dapat meraih undi Bumiputera Islam.
Bagaimanapun, harapan itu sebenarnya tidak mudah dicapai seperti yang mereka impikan.
"Halangan terbesar ialah perbezaan yang wujud antara penduduk Sabah dan Sarawak. Daripada segi budaya, mereka mungkin ada persamaan, tapi dalam kehidupan sosial, mereka berbeza. Keadaan politik juga amat berbeza antara kedua-dua negeri itu serta rakyatnya," kata beliau.
Sebelum ini, banyak pihak membuat spekulasi bahawa Jeffrey akan mengumumkan secara rasmi rancangan politiknya pada pertengahan bulan lepas iaitu semasa berlangsungnya perhimpunan sempena ulang tahun pertama penubuhan UBF di Kota Kinabalu. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku.
Beberapa pengulas politik berkata kehadiran Presiden STAR Dr Dripin Sakoi, Timbalan Presiden SAPP Amde Sidek dan ketua sebuah kumpulan yang cuba menghidupkan kembali Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Datu Badaruddin Tun Mustapha pada perhimpunan itu, membayangkan bahawa Jeffrey sudah hampir mencapai hasratnya untuk menubuhkan UBA.
Amde dilaporkan berkata mereka belum membuat keputusan tentang siapa yang akan menerajui pakatan itu walaupun mengakui isu itu adalah antara perkara yang perlu diselesaikan.
Setakat ini, jawatan yang akan disandang Jeffrey dalam UBA sekiranya penubuhannya menjadi kenyataan masih menjadi teka-teki memandangkan beliau bukan presiden mana-mana parti politik, manakala UBF pimpinannya pula hanya merupakan sebuah badan bukan kerajaan.
Dr Bilcher Bala berpendapat penubuhan sebuah barisan pembangkang yang dianggotai parti berasal dari Sarawak dan Sabah sukar berfungsi dengn baik kerana pandangan dan objektif masing-masing memang berbeza.
"Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kewujudan tiga dunia yang tidak pernah serupa; Semenanjung, Sabah dan Sarawak," kata beliau. (BERNAMA)
Kini wujud lagi satu parti pembangkang baru, tapi bolehkah mereka ini dipercayai?
ReplyDeleteSTAR masih baru lagi dan kita belum jelas tentang parti ini, baik perhatikan dulu.
ReplyDeleteMampukah pembangkang2 di Sabah ini bersatu hati? Macam mana mahu menang kalau pecah undi?
ReplyDeletemakin banyak parti di Sabah dan masing-masing dengan ideologi mereka sendiri.
ReplyDeleteterserah kepada rakyat Sabah untuk memilih parti mana yang mereka sukai.
ReplyDeleteParti baru Jeffery telah muncul untuk membantu Sabah. Namun kita masih tidak pasti setakat mana kekuatan parti ini.
ReplyDeletePenentu untuk jawapan parti ini adalah pada PRU13 akan datang. Harap parti ini akan berdiri sendiri tanpa ada berjaung dengan PR dan SAPP di Sabah.
ReplyDeletemakin byk part muncul di Sabah, persaingan juga pasti tambah sengit.
ReplyDeletekita tgklah bagaimana perjuangan Star dan adakah ia akan mendapat sambutan di Sabah.
ReplyDeletemakin banyak pembangkang, makin sukar pembangkang menubuhkan kerajaan baru di Sabah..
ReplyDeletekemunculan banyak parti pembangkang di Sabah menunjukkan demokrasi di negara ini terus diamalkan dan tidak disekat oleh kerajaan.. semoga berjaya kepada semua parti dan berpolitiklah dengan cara yang profesional..
ReplyDeleteall the best la. Hopefully, STAR will be his last party
ReplyDeletedengar kabar, ramai juga register keahlian untuk parti baru ni.
ReplyDelete