Saturday, 7 January 2012

UMNO SABAH BAGAI CACING KEPANASAN?



Oleh : PEMERHATI POLITIK SABAH

DESAS-DESUS mengatakan bahawa Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, Timbalan Menteri Persekutuan dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort keluar dari parti BN telah mendapat sensasi yang meluas di media. Sekali lagi Lajim menggegar politik Sabah sejak penglibatannya pada tahun 1994 yang membolehkan kerajaan BN memerintah di Negeri Sabah.

Ibarat cacing kepanasan, pelbagai pihak memberi respon sama ada positif atau negatif. Sabahkini.net hampir setiap hari mensensasikan isu ini. Sebagai pemerhati politik, penulis melihatnya sebagai berkembangnya lagi demokrasi di Negeri Sabah; atau juga berkembangnya penulis-penulis upahan politik untuk memburukkan seseorang.

Walau apapun tanggapan anda mengenai Lajim yang anda gelar dengan pelbagai ‘Raja Katak’, ‘Raja Lompat’ dan sebagainya, namun setiap tindakannya tentu ada alasan yang tersendiri, terutama pada tahun 1994.

Jika tanpanya penguasaan parti majoriti Islam di Negeri Sabah, adalah satu mimpi dan tentunya rakyat Sabah tidak dapat menikmati kemajuan oleh BN sekarang. Jika PBS tidak menyertai BN apakah Maximus Ongkili akan menjadi Menteri Persekutuan?

Kita harus menerima hakikat, setiap kerajaan ada turun naiknya dalam menerajui sebuah negara. Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP) yang berkuasa selama 50 tahun pun boleh berjaya ditumbangkan walaupun sudah terbukti membawa kemajuan pesat kepada Negara Jepun.

Apakah UMNO dan BN tidak boleh menerima nasib seperti LDP Jepun ini?. Apatah lagi usia BN di Sabah baru 18 tahun berkuasa yang dipimpin oleh Datuk Musa Aman untuk membawa Jawatan Ketua Menterinya sampai mati?

Persoalannya apakah benar Lajim akan keluar UMNO/BN menjelang PRU ke 13 ini? Ura-ura beliau memimpin parti baru Sabah People Front (SPF) begitu meluas di khabarkan.

Jika ia benar, maka kedudukan kerusi parlimen dan DUN tentu akan berubah. Jika ia benar maka 1 kerusi Parlimen (Beaufort) dan dua DUN (Klias dan Kuala Penyu) sudah berada di tangannya.

Apakah Datuk Azizah Mohd Dun calon ‘Favourite’ Datuk Musa Aman untuk memecah belahkan UMNO Bahagian Beaufort boleh memenangi kerusi Dun atau Parlimen menandingi Lajim?

Bagi penulis-penulis blog dan pemimpin parti-parti politik yang menyelar Lajim Ukin, janganlah memandang rendah mengenai keupayaan beliau. Sebagai pemerhati, penulis melihat ada perkara tersirat lain yang kurang difahami oleh pihak lain.

Sikap ahli politik Sabah yang masih belum berubah ialah semangat melupakan jasa rakan dan sikap menghentam membuta tuli. Lihatlah saja bagaimana terdapat Ketua UMNO Bahagian yang baru setahun jagung dalam arena politik menghentam Lajim, seolah-oleh beliau merupakan pengkhianat.

Anehnya, batang tubuh orang yang bernama Lajim kelihatan tenang dan bertugas seperti biasa. Agaknya ahli politik ‘otai’ seperti Datuk Ghafur Salleh, Datuk Bung Muktar Radin dan yang begitu lama dalam politik hanya berdiam diri dan matang dalam politik mereka.

Mari kita kembali kepada kekuatan BN. Mari kita kembali secara realiti duduk di atas meja dan mengira kedudukan kerusi pilihan raya yang dipertandingkan pada PRU ke 13. 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi ADUN. Kemudian buatlah analisis kerusi mana yang BN menang sangat tipis, kerusi mana yang BN goyah dengan sikap wakil rakyatnya, peratus pengundi Islam/bukan Islam dan apakah isu-isu tempatan yang BN belum selesaikan.

Cuba anda perhatikan dan analisis kerusi P167: Kudat, P168: Kota Marudu, P169: Kota Belud, P170: Tuaran, P171: Sepanggar, P172: Kota Kinabalu, P174: Penampang, P175: Papar, P176: Kimanis, P177: Beaufort, P178: Sipitang, P179: Ranau, P180: Keningau, P181: Tenom, P182: Pensiangan, P183: Beluran, P184: Libaran, P185: Batu Sapi, P186: Sandakan, P187: Kinabatangan, P188: Silam, P189: Semporna, P190: Tawau dan P191: Kalabakan.

Pasti anda akan tahu apa akan berlaku pada PRU ke 13 nanti. Misalnya lihat di Sandakan, Tawau, Libaran, Kudat, Kimanis dan Pensiangan kuat sangatkah BN?

Bagi penulis, Parti Pakatan Rakyat (PR) merupakan parti pembangkang yang diimport dari semenanjung ia bukanlah isu. PR bukan parti yang boleh benar-benar boleh menggugat BN dan penulis berpendapat PR tidak akan berjaya pun mempengaruhi dan menguasai Lajim.

Jadi pada penulis, tidak ada isu Lajim akan melompat kepada parti Pakatan Rakyat yang beliau tahu adalah parti lemah di Sabah. SAPP pula jika terikut-ikut dengan rentak PKR ia akan lemas bersamanya.

No comments:

Post a Comment