JELASKAN
... Adzhar (kanan) bersama Timbalannya, Douglas, ketika ditemui media pada
Program High Profile Policing di Labuan Walk, kelmarin.
LABUAN: Nasib lima orang
wanita warga asing yang dijanjikan bekerja sebagai pelayan restoran mendakwa
telah ditipu oleh sebuah agen pekerjaan di sini apabila mereka dipaksa
melacurkan diri di sebuah pusat hiburan.
Kes itu terbongkar apabila
salah seorang dari wanita berkenaan membuat aduan polis di Ibu Pejabat Polis
Kota Kinabalu pada 6 September lalu.
Ketua Polis Wilayah
Persekutuan Labuan, Superitendan Adzhar Othman, berkata berikutan dengan
laporan itu polis Labuan yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah,
DSP Lim Nee Kon telah membuat siasatan dan menyerbu sebuah rumah kediaman pekerja
pusat hiburan berkenaan.
“Hasil daripada pemeriksaan
itu, polis telah menemui seramai 22 orang wanita dimana lima daripada mereka
mengakui dipaksa untuk melacur sebelum diselamatkan oleh polis,” katanya dalam
satu kenyataan media di sini kelmarin.
Adzhar berkata, kelima-lima
wanita berkenaan telah dihantar ke rumah perlindungan di Kota Kinabalu,
manakala selebihnya di siasat.
Katanya, kesemua mereka
disiasat mengikut di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Manusia 2007.
Sementara itu dalam satu kes
yang berasingan, polis telah memeriksa seramai 74 lelaki dan 61 wanita di
sekitar rumah sewa di Jalan Tenaga dalam satu Operasi Cegah Jenayah di sini
pada 7 Sepotember lalu.
Katanya, operasi yang
diketuai oleh DSP Douglas Nyeging Taong bersama lapan anggota itu bermula dari
jam 3 pagi hingga 7 pagi.
Katanya, hasil daripada
pemeriksaan itu, polis telah menahan lima lelaki dan tiga wanita untuk siasatan
lanjut selepas kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Katanya, kes itu akan
disiasat mengikut Seksyen 6 (1) © Akta Imigresen 1957.
Adzhar berkata, operasi
sedemikian akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengesan pendatang
tanpa izin di Labuan.
Dalam perkembangan lain,
Adzhar berkata Polis Wilayah Persekutuan Labuan berazam untuk mendekati dan
berinteraksi secara terus dengan masyarakat sebagai usaha ke arah memberikan
keyakinan masyarakat mengenai tanggungjawab polis.
Selain itu katanya, usaha
ini juga dapat membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah di samping
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh orang ramai.
“Usaha seperti ini
membolehkan kami memberi nasihat mengenai langkah langkah keselamatan yang
sekaligus boleh mengurangkan kadar jenayah … walaupun kadar jenayah di pulau
ini masih terkawal, namun usaha pencegahan perlu diperingkat dari awal dan
secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya kepada media selepas
mengetuai program High Profile Policing peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di
Labuan Walk awal pagi kelmarin.
Hadir sama, Timbalannya, DSP
Douglas Nyeging Taoung dan beberapa pegawai kanan polis yang lain.
Adzhar yang baru saja
mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Labuan daripada Superitendan Saiman
Kasran pada awal September lalu turut menjelaskan akan mengambil pendekatan
dengan mengadakan operasi banteras jenayah lebih agresif.
Tindakan itu katanya, adalah
bertujuan bagi memastikan Labuan sebagai sebuah bandar yang selamat serta bebas
daripada semua kegiatan jenayah.
Katanya, sejak beliau
mengambil alih awal bulan ini, polis telah menjalankan pelbagai operasi
banteras jenayah termasuk yang terbaru berjaya menyelamatkan beberapa wanita
asing yang dipaksa melacurkan diri oleh sebuah agen pekerjaan yang sebelum ini
menjanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran.
Pada masa yang sama katanya,
pihaknya juga akan menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan rakan media.
Ini kerana katanya, media
memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat berguna kepada
masyarakat di samping dapat membantu pihak polis dalam mengurangkan kadar kes
jenayah.
No comments:
Post a Comment