TAWAU : Isu tapak masjid di
Bandar Sri Indah, kira-kira 17 kilometer dari sini diselesaikan secara baik
apabila pihak pemaju, Hap Seng Consolidated Berhad, bersetuju menyediakan tapak
seluas 0.20 hektar (setengah ekar) sebagai tapak pembinaan masjid.
Persetujuan dicapai hasil
pertemuan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Sri Indah mewakili lebih 1,000
penduduk Islam di situ dengan pihak pengurusan pemaju menerusi usaha Pembantu
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Pengerusi jawatankuasa
pembinaan masjid berkenaan, Arbin Settah berkata penduduk di kawasan perumahan
tersebut gembira mendapat satu tapak yang sah di sisi undang-undang.
"Kami berharap dengan
adanya tapak ini, bukan sahaja dapat membina masjid tetapi juga sebuah kompleks
kecil untuk dijadikan tempat anak-anak penduduk di sini belajar fardu ain dan
mengadakan kelas agama," katanya.
Menurut Arbin, pihaknya
dengan kerjasama penduduk perumahan Fasa 1 dan Fasa 3 akan berusaha mencari
dana bagi membangunkan tapak masjid berkenaan secara bergotong royong dan
berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan.
Dalam pada itu, Tawfiq mencadangkan
pihak berkuasa tempatan supaya menguatkusakan sepenuhnya syarat penyediaan tapak
masjid bagi pelaksanaan setiap projek perumahan kos rendah dan sederhana di
Sabah.
Beliau berkata peraturan
seperti itu perlu dijadikan syarat wajib sebelum kelulusan pembinaan projek
seumpamanya diberikan kepada pemaju perumahan agensi kerajaan dan swasta bagi
memastikan penduduk beragama Islam mudah melaksanakan tanggungjawab agama
mereka.
"Perkara seperti ini
mungkin dapat diselesaikan dan tidak akan berulang lagi di Tawau malah di
seluruh Sabah sekiranya kita kenakan peraturan kepada pemaju agensi kerajaan
atau swasta untuk lebih memikirkan bahawa setiap pembinaan perumahan kos rendah
dan sederhana rendah perlu memasukkan syarat menyediakan ruang atau tapak untuk
masjid.
"Kebiasaannya perumahan
kos rendah dan sederhana rendah ini kebanyakan atau majoritinya dibeli oleh
warganegara Bumiputera dan Islam," katanya kepada pemberita selepas
mengadakan perjumpaan dengan pemaju Bandar Sri Indah Hap Seng Consolidated dan
Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Sri Indah di sini Jumaat.
Menurut Tawfiq, yang juga
anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas, walaupun syarat berkenaan sudah ada
dalam peraturan pihak berkuasa tempatan, namun ia tidak dikuatkuasakan
sepenuhnya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment