KUALA LUMPUR: Seramai
241,740 individu diisytihar bankrap di negara ini setakat April lepas, kata
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai. Beliau berkata daripada
jumlah itu, sebanyak 52,917 kes berlaku di Selangor dan 42,843 di Wilayah
Persekutuan, manakala 70 peratus adalah lelaki dan selebihnya wanita.
“Pinjaman kenderaan
me-nunjukkan kes kebankrapan yang paling tinggi iaitu 25.21 peratus, diikuti
pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman
perniagaan 11.26 peratus dan kad kredit 4.9 peratus,” katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen semalam.
Lim berkata pengumuman
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa kerajaan akan
mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967, yang dilihat terlalu ketat dan
membebankan rakyat, adalah tepat pada masanya.
“Saya menyokong pindaan Akta
Kebankrapan ini. Saya berharap pada pindaan kali ini, bank atau institusi
kewangan hendaklah mencari peminjam dahulu dan bukannya seperti sekarang ini
yang meletakkan bebanan ke atas penjamin sehingga mereka diisytiharkan muflis,”
katanya.
Lim berkata kajian juga
perlu dibuat ke atas peningkatan kes bankrap bagi pinjaman kenderaan selain
memberi perhatian terhadap golongan muda yang diisytihar bankrap.
“Kes bankrap individu di
bawah umur 25 tahun semakin meningkat dan kita tidak mahu mereka baru dua tiga
tahun kerja sudah bankrap.
“Pelepasan dari kebankrapan
juga perlu dilonggarkan supaya orang muda yang sudah bankrap diberi peluang
kedua, terutama dalam bidang perniagaan,” katanya, (Bernama)
No comments:
Post a Comment