SEJUMLAH 3,011 ibu tunggal
hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan
kira-kira RM16.26 juta kerana kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji
memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya
dalam manifesto pilihan raya umum 2008.
Saman difailkan oleh Tetuan
Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini bagi pihak
ibu tunggal di Selangor yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal
Selangor Murtini Kasman.
Mereka menamakan kerajaan
negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP
sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku
Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.
Dalam saman itu, kesemua
plaintif mendakwa mereka menjadi mangsa diskriminasi kerajaan negeri apabila ia
gagal menunaikan janji untuk membayar elaun ibu tunggal sejak menubuhkan
kerajaan Mac 2008.
Mereka berkata kerajaan
negeri Selangor bersikap tidak rasional apabila tidak memberikan alasan atas
kegagalan membayar elaun tersebut.
Plaintif-plaintif menuntut
sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 3,011 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan
(1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012) menjadikan jumlah kesemua tuntutan
mencecah kira-kira RM16.26 juta daripada defendan.
Plaintif-plaintif juga
memohon suatu perintah mengkehendaki defendan pertama mewujudkan satu skim
dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor.
Mereka memohon suatu
perintah yang mengkehendaki defendan pertama melantik sebuah jabatan atau
agensi defendan pertama menguruskan skim itu.
Plaintif-plaintif memohon
deklarasi takrifan ibu tunggal ialah wanita berusia 18 tahun yang telah
bercerai, balu, wanita pencari nafkah kepada keluarga, hidup berjauhan dari
suami dan di dalam keadaan 'gantung tidak bertali'.
Sementara itu, Murtini
ketika ditemui wartawan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan
persatuannya menjadi kuda tunggangan parti politik tertentu untuk memfailkan
saman tersebut.
"Kami tidak
mengharapkan simpati tetapi mahu menuntut balik apa yang dijanjikan kepada
golongan ibu tunggal dalam manifesto pilihan raya umum 2008," katanya.
Peguam yang mewakili para
plaintif, Kamarudin Ahmad berkata kumpulan kedua ibu tunggal yang memfailkan
saman pada hari ini adalah dari 11 kawasan Parlimen iaitu Shah Alam, Tanjong
Karang, Hulu Langat, Kota Raja, Klang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan,
Subang, Selayang, Gombak dan Sabak Bernam.
Pada 22 Nov lepas, seramai
2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan tuntutan sama yang melibatkan sejumlah
RM10.9 juta. (Bernama)
No comments:
Post a Comment