Oleh : KOH JUN LIN
PERDANA Menteri Datuk Seri
Najib Razak mempersoalkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa terdapat 300,000
masyarakat India yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan kerana tidak
memiliki kad pengenalan.
Dalam ucapannya di
perhimpunan agung MIC kelmarin, Najib berkata jumlah itu diperbesar-besarkan,
namun tidak memberi anggaran sebenar jumlah anggota masyarakat India yang
mengalami masalah itu.
Katanya, semakannya
menunjukkan seramai 9,000 orang telah mendaftar dan sebanyak 4,500 kes telah
diselesaikan dan diberi kad pengenalan.
"Seramai 2,000 lagi
sedang diproses," katanya lagi.
Sementara itu, laporan
Bernama menyebut Najib mahu masyarakat India kembali menjadi "simpanan
tetap" kepada BN bagi menentukan BN mendapat kejayaan besar dalam pilihan
raya umum ke-13 nanti.
Beliau berkata ini penting
kerana hanya BN merupakan satu-satunya parti yang boleh menjamin masa depan
kaum ini menerusi pelbagai program yang sedang dan akan dijalankan termasuk
dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Najib berkata kaum India
yang terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang pada pilihan raya umum
lepas harus kembali menyokong BN kerana terbukti pembangkang telah gagal
melaksanakan semua janji mereka termasuk dalam soal Kampung Buah Pala di Pulau
Pinang dan isu merobohkan kuil termasuk yang terbaru di Bandar Baru Salak
Tinggi, Sepang.
Beliau berkata
"simpanan tetap" BN itu berpindah kepada pembangkang pada pilihan
raya umum Mac 2008 bukan kerana mereka mahukan pembangkang tetapi kerana ada
perasaan di kalangan kaum India yang ingin melihat BN berubah dan lebih peka
kepada hasrat dan aspirasi kaum itu, katanya.
"Justeru sejak empat
tahun lepas, BN sudah bayar faedah yang tinggi menerusi pelbagai program bagi
membantu masyarakat India dan kini ternyata ke mana-mana saya pergi sambutan
yang saya terima dari kaum India sangat hebat.
"Ini membuktikan bahawa
kaum India sudah bina kembali keyakinan atau nambikei kepada kerajaan dan
mereka ada keyakinan bahawa masa depan mereka lebih terbela dengan kita
(BN)," kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung
MIC ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Presiden MIC
Datuk Seri G.Palanivel, bekas presiden MIC yang juga Duta Khas Malaysia
(Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu dan
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr
Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas dan Yang
di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang turut hadir
Najib berkata sejak pilihan
raya umum lepas, banyak kemajuan dan perubahan berunsurkan 'Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan' telah dilakukan kerajaan termasuk hampir segala janji
pilihan raya di dalam manifesto ditunaikan.
"Banyak yang telah kita
buat dari segi peruntukan untuk sekolah sebanyak RM540 juta, pinjaman Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun), Amanah Iktiar, perusahaan kecil
dan sederhana (SME) dan program bagi pelajar India memasuki politeknik.
Justeru, Najib mengingatkan
masyarakat India supaya terus bersama dengan BN yang sememangnya parti yang
lebih baik bagi membela masa depan mereka dan menolak pembangkang yang hanya
tahu berbohong dan menimbulkan keadaan huru-hara.
Najib juga mengimbau jasa
kaum India di negara ini terutama peranan mereka di estet yang menjadikan
Malaysia pengeksport terbesar getah asli di dunia satu ketika dahulu di samping
peranan kaum itu dalam membina jalan raya serta landasan keretapi di negara
ini.
Katanya masyarakat India
ketika ini mahukan BN yang lebih segar dan baru berbanding pada pilhan raya
umum lepas yang mana kepimpinan kini perlu lebih peka kepada rakyat dan membela
nasib mereka.
"Kita akui banyak lagi
yang BN perlu buat dan kejayaan yang ada ketika ini belum memadai. Kita mesti
setia, jujur dengan BN. Mesti juga yakin dan percaya bahawa BN boleh buat lebih
baik lagi. Ini jaminan saya yang kita semua perlu bekerja dengan kuat sebagai
satu pasukan.
"Masyarakat India rakan
sejati BN dan kita akan pastikan semua rakyat terbela. Ia adalah satu amanah.
Jangan tipu rakyat. Hendak menang besar,
kita kena bersatu padu, dan sokong siapa sahaja calon yang dipilih,"
katanya. (MKINI)
No comments:
Post a Comment