KOTA KINABALU: Belia di
Sabah yang menganggur diingatkan supaya tidak terpengaruh sepenuhnya dengan
berita mengenai kesusahan yang dihadapi oleh rakan mereka yang merantau bekerja
di negeri lain.
Ingatan diberikan oleh Ketua
Pegawai Eksekutif Akademi Ascot, Abdul Razak Egoh, yang berkata akibat pengaruh
tersebut ramai belia negeri ini dengan cepat menolak tawaran peluang pekerjaan
di Semenanjung.
Beliau berkata, laporan
media sebelum ini menyatakan bahawa belia yang keluar bekerja di negeri lain
menempuh pengalaman yang sukar kerana ketiadaan tempat tinggal yang sempurna
manakala majikan pula dikatakan memotong gaji mereka.
“Disebabkan oleh satu atau
dua kes yang terbabit, belia kita terlepas peluang untuk memperbaiki kehidupan
kepada keadaan yang lebih baik.
“Para belia mesti tahu
bertanya tentang faedah yang mereka boleh dapat jika menerima sesuatu tawaran
pekerjaan. Sebenarnya banyak kekosongan jawatan yang menarik dan berguna di
luar Sabah,” kata Abdul Razak kepada pemberita selepas penyampaian sijil kepada
peserta kursus 1Azam di sini semalam.
Akademi Ascot adalah
pengendali kursus tersebut di bidang asas kemahiran keusahawanan pelancongan
dan hospitaliti.
Abdul Razak berkata walaupun
Akademi Ascot berusaha mencarikan kerja untuk pelajarnya di Sabah, beliau tidak
menafikan bahawa permintaan bagi pekerja mahir di Semenanjung adalah lebih
besar.
Katanya, akademi itu memberi
lebih perhatian bagi menempatkan pelajarnya di luar negeri ini selain mengambil
langkah perlu memastikan suasana pekerjaan dan keadaan tempat tinggal mereka
selamat dan memuaskan.
Terdahulu, Menteri Belia dan
Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dalam teks ucapannya berkata belia
daripada keluarga yang berpendapatan rendah hendaklah merebut peluang menyertai
program 1Azam.
Dalam ucapan yang dibacakan
oleh Setiausaha Tetap kementerian itu, Datuk Suzannah Liaw, Pang berkata
kerajaan serius menghapuskan kemiskinan dan tidak akan berhenti berusaha
memperbaiki taraf ekonomi rakyat.
Di majlis tersebut, seramai
47 daripada 57 peserta program menerima sijil mereka dan komputer riba manakala
10 yang lain menerima sijil dan komputer mereka sebelum ini serta berlepas ke
Kuala Lumpur semalam untuk bekerja di sebuah hotel di Putrajaya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment