Oleh : LESAYA LOPOG SORUDIM.
"Saya belum sedia
bersara. Banyak perkara perlu diperbetulkan. Perjuangan harus diteruskan."
Demikianlah sebahagian kandungan ucapan Ahli Parlimen Malaysia (Bebas-Tuaran) Datuk
Seri Panglima Wilfred M. Bumburing sempena hari jadi beliau yang jatuh pada
tanggal 2 Disember 2012.
Menurut beliau, sasaran
menjelajah semua kawasan KadazandusunMurut (KDM) untuk menyampaikan inti
perjuangan Angkatan Perubahan Sabah (APS) berjaya dijalankan selaras dengan
jadual yang ditetap bermula dari 29 Julai 2012, titik bersejarah ketika beliau
bersama rakan-rakan lain mengambil keputusan keluar dari BN dan menyertai
gabungan pakatan pembangkang melalui APS.
"Kebanyakan orang yang
sudah mencapai umur yang sama dengan saya hari ini akan mengambil keputusan
untuk bersara, namun melihat kepada kemelut yang dihadapi oleh setiap
masyarakat orang asal di Sabah maka saya merasa bahawa masa untuk bersara belum
tiba lagi," ujar Bumburing.
Beliau seterusnya berikrar
untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat Malaysia di Sabah melalui
gagasan pakatan pembangkang dengan matlamat membantu Pakatan Rakyat mengambil
alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Antara matlamat utama yang
digariskan oleh beliau ialah membentuk satu unit khas dalam APS untuk
menyediakan bahan-bahan bukti yang akan dikemukakan kepada RCI nanti dalam
usaha menyiasat kehadiran PATI yang jumlahnya diluar jangkaan dan seterusnya
menghalang peningkatan jumah PATI di masa akan datang.
Sehubungan dengan ini,
perjuangan juga akan ditumpukan kepada memulihkan maruah dan kedaulatan kaum
bumiputra di Sabah yang kini terancam akibat kehadiran PATI yang sebilangan
besar dipercayai telah memiliki MyKad melalui proses yang mencurigakan.
Beliau juga menjelaskan
bahawa isu berkaitan dengan hak asasi orang asal ke atas tanah adat (NCR) juga
akan diperkasakan dengan tujuan melindungi hak-hak orang asli ke atas tanah
adat yang mereka telah duduki sekian lama.
"Perjuangan kita adalah
mewujudkan satu suasana di mana permuafakatan berdasarkan kesaksamaan dan
kesetaraan di antara semua kaum dijadikan sebagai satu landasan untuk mentadbir
dan memajukan negara ini sehingga semua kaum mendapat faedah yang setara serta
menikmati kemakmran yang seimbang" kata Bumburing.
No comments:
Post a Comment