DAKWA......Amir
(berketayap putih) diiringi oleh Pegawai Polis ketika keluar dari kamar
mahkamah.
Oleh : CLARICE USOP
KOTA KINABALU: Seorang
peniaga warga Pakistan berusia 40 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini
kelmarin atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang gadis berusia 16 tahun di
Kota Marudu, baru-baru ini.
Amir Ali Khan Nawatay,
berasal dari Buner, Pakistan,
bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Norikoh
Saliwa pada 25 November tahun ini, antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari,
di dalam sebuah lori yang bergerak di Kilometer 2.8, Jalan Kota Marudu-Langkon.
Atas pertuduhan itu, dia
didakwa mengikut Seskyen 304 (b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman
penjara sehingga sepuluh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, Hakim Duncan
Sikodol menetapkan pada 7 hingga 8 Febuari tahun depan sebagai tarikh pendengaran
bicara terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah tidak
menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan mengambil kira tertuduh seorang
warga asing, keseriusan pertuduhan, kepentingan awam dan keselamatan tertuduh.
Terdahulu, Amir memohon agar
dia ditawarkan ikat jamin oleh mahkamah memandangkan dia mempunyai seorang
isteri dan anak.
Namun pihak pendakwaan
membantah tertuduh ditawarkan ikat jamin kerana kes berkenaan telah menarik
perhatian orang awam dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun
Keseksaan.
Selain itu, sekiranya
tertuduh ditawarkan ikat jamin, pihak pendakwaan menyatakan terdapat
kemungkinan bahawa tertuduh akan melarikan diri sebelum perbicaraan.
Tertuduh juga bukan seorang
tempatan yang kini disisat mengikut Akta Imigresen, selain orang awam di daerah
Kota Marudu juga masih marah ekoran daripada kejadian itu.
Pihak pendakwaan juga
mencadangkan agar perbicaraan kes itu didengar di Mahkamah Kota Kinabalu,
selain memohon kes itu didengar oleh Mahkamah Sesyen.
Kini tertuduh terus direman
mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.
Tertuduh tidak diwakili
peguam, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya Raja Zaizul
Faridah Raja Zaharudin dan Luke Ressa Balang.
Kes kematian Norikoh,
berasal dari Kampung Bombong 1, Kota Marudu, yang ditemui mati terbaring di
tepi jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 Nov lepas itu
telah menggemparkan banyak
pihak termasuk pemimpin negeri dan pemimpin parti politik tempatan sehingga
menimbulkan pelbagai kontroversi. (UB)
No comments:
Post a Comment