MENTERI
di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran menafikan dakwaan pemimpin
pembangkang Sabah bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan
sekitar 40,000 sijil kelahiran bagi kanak-kanak warga asing di Semporna.
Sijil
kelahiran itu dikatakan dikeluarkan semasa operasi bergerak JPN yang diadakan
di bahagian pantai timur Sabah itu.
Nasir
berkata dakwaan itu tidak benar dan hanya bertujuan untuk memesongkan pemikiran
rakyat Sabah bagi pembangkang meraih sokongan menjelang pilihan raya umum.
"Ini
tidak betul kerana angka 40,000 orang ini hanya anggaran JPN untuk keseluruhan
negeri Sabah dan bukan Semporna sahaja.
"Apa
yang dibuat oleh JPN semasa pendaftaran bergerak (untuk sijil kelahiran) di
kawasan itu, lima atau lebih bulan yang lepas, hanya melibatkan sekitar 1,000
orang sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis
Penangguhan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Sabah di Kota
Kinabalu hari ini.
Pada
8 Dis lepas, pengerusi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) Datuk Seri Lajim Ukin
dipetik sebagai mendakwa terdapat 40,000 sijil kelahiran dikeluarkan untuk
anak-anak pendatang tanpa izin di Semporna dan meminta pihak yang berwajib
menangani masalah itu.
Dengan
penjelasan itu, Nasir berharap isu berkenaan tidak lagi dipolitikkan
seolah-olah "kerajaan tidak begitu berhati-hati atau teliti dalam proses
pendokumentasian".
"Kalau
pun kita mahu menyatakan sesuatu biarlah mempunyai fakta yang kukuh. Jangan
semudah itu membuat andaian atau tuduhan. Jangan buat isu untuk mengelirukan
rakyat," katanya.
Mengenai
isu kad pengenalan merah di Sabah, Nasir berkata Malaysia mempunyai
undang-undang yang perlu dipatuhi sebelum memberikan taraf warganegara kepada
pemilik kad pengenalan merah.
"Kerajaan
tidak akan memberikannya (taraf warganegara) dengan sewenang-wenangnya. Kita
mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi dan harus dilaksanakan mengikut
undang-undang," katanya.
Ditanya
sama ada kerajaan Sabah bersedia memberi pandangan semasa sesi pendengaran
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa
izin di Sabah yang dijangka dimulakan pada Januari tahun depan, Nasir berkata
kerajaan negeri sedia memberi kerjasama yang diperlukan.
"Isu
PTI kini dibawah RCI yang sedang menjalankan siasatan, dan kita serahkan kepada
anggota panel RCI membuat apa-apa penyiasatan atau tindakan yang sewajarnya
untuk kebaikan semua," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment