SETERU.....Pakatan
Rakyat tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah, objektif mereka hanya
untuk membentuk kerajaan dan akan bergaduh sesama mereka.
KOTA BELUD: Timbalan
Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan pakatan
pembangkang sebagai parti 'Touch And Go' yang tidak mempunyai dasar jelas untuk
mentadbir dan mengubah negara.
Sambil menggesa rakyat agar
tidak terpedaya dengan helah pembangkang, Salleh berkata pendekatan pembangkang
hanya mencipta dan memainkan isu dengan harapan memenangi hati dan minda
rakyat.
“Pakatan tidak tahu
bagaimana mahu menyelesaikan masalah, objektif mereka hanya untuk membentuk
kerajaan dan akan bergaduh sesama mereka.
“Ini sudah dibuktikan di
negeri yang mereka tadbir termasuk di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya
ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kampung Tamau, dekat sini hari
ini.
Salleh yang juga Speaker
Dewan Undangan Negeri Sabah percaya pakatan parti pembangkang itu tidak akan
bertahan kerana pakatan mereka berdasarkan ‘marriage of covenience’ atau
kesenangan bersama.
Memberi contoh tanda-tanda
perpecahan dalam pakatan semakin ketara dengan isu terbaharu membabitkan
cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri jika
mereka menang pilihan raya umum ke-13, Salleh berkata itu hanya peringkat
permulaan.
Saranan itu disuarakan
seorang perwakilan PAS pada muktamar tahunan parti bulan lepas, namun perkara
tersebut disanggah pemimpin pembangkang lain termasuk Lim Guan Eng, yang
dilapor berkata DAP berpegang kepada konsensus sebelum ini bahawa Datuk Seri
Anwar Ibrahim akan dilantik Perdana Menteri jika pembangkang menang pilihan
raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Salleh
berkata jelas perebutan dalaman sudah menjadi budaya pakatan pembangkang kerana
mereka 'berkawan' untuk mengaburi mata rakyat dalam usaha mahu memerintah
negara.
Semua ini berbeza dengan
Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak yang mempunyai dasar dan arah yang jelas, katanya.
“BN bersedia membuat
keputusan yang sukar demi negara. BN parti yang bertanggungjawab dan mahu maju
ke hadapan serta mengubah negara. BN mahu menghasilkan lebih banyak peluang
pekerjaan dan ekonomi untuk rakyat,” katanya.
Salleh juga menegaskan
kerajaan serius dalam memperjuangkan rakyat, justeru masyarakat terutama
penduduk Sabah harus memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada BN pada
pilihan raya umum akan datang. (Bernama)
No comments:
Post a Comment