KEMABONG: “Kami merasa
kecewa dengan jalan raya yang diperbaiki tidak seperti apa yang kami harapkan”.
Itu reaksi Pengerusi JKKK Kg. Bakuku, Ulu Tomani, Lauwas Tingkalu, 56, (gambar)
yang berasa amat kesal dengan keadaan jalan raya yang menghubungkan Kg. Ulu
Tomani sehinggalah ke Kg. Rundum.
Lauwas berkata, sebelum
pilihan raya pada tahun 2008 lagi wakil rakyat di sini ada menyatakan bahawa
akan membina jalan raya di Ulu Tomani namun sehingga pada hari ini masih juga
tidak berubah dan tidak ada tindakan.
“Jadi rakyat terutamanya
penduduk kampung di sekitar Ulu Tomani sehingga ke Kg. Rundum seperti Kg.
Tinura, Kg. Alutok, Kg. Kaang, Kg. Malutut dan Kg. Mahunsop tertanya-tanya
bilakah pelaksanaan pembinaan jalan raya dilakukan.
“Ada juga baru-baru ini
jalan raya di sini dibina melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
(KKLW) sejauh 2.9 km seperti jalan FELCRA, iaitu dengan membuang pasir dan batu
sahaja di atas jalan.
“Jalan itu dibina pada bulan
September 2011 dan siap pada Januari 2012, namun penduduk kampung hanya dapat
menggunakan jalan itu selama dua bulan sahaja kemudian jalan itu kembali rosak
teruk,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Katanya, jalan itu tidak
dapat bertahan lama terutamanya apabila musim hujan, jalan kembali menjadi
licin dan berlubang.
“Kami merasa kecewa dengan
keadaan ini kerana kami sebenarnya mengharapkan kualiti jalan yang lebih baik
dan dapat digunakan selamanya kerana untuk memudahkan penduduk kampung membawa
hasil-hasil pertanian ke pekan kecil Kemabong dan Tenom.
“Kami merayu kepada Kerajaan
Negeri dan Persekutuan supaya dapat menunaikan janji sebelum PRU-13 kerana kami
tidak mahu penduduk di sini mulai hilang kepercayaan kepada pihak kerajaan,”
ujarnya.
Tambahnya, rakyat hari ini
sudah bijak untuk menilai dan tidak akan mudah lagi mempercayai sebarang janji
sebelum janji itu dilaksanakan terlebih dahulu.
“Kami tidak mahu masalah
seperti ini akan menjadi isu yang digunakan oleh pihak pembangkang bagi meraih
undi penduduk kampung, justeru kami amat berharap pihak kerajaan dapat
mengotakan janji secepat mungkin kerana kami tahu pihak kerajaan benar-benar
memperjuangkan hak dan nasib rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment