KUALA LUMPUR - Telekom
Malaysia (TM) menawarkan RM1,000 kepada orang ramai yang melaporkan sebarang
kes kecurian kabel dalam usahanya mencegah kejadian tersebut sehingga
mengakibatkan kerugian beribu ringgit kepada syarikat itu.
Pengurus Besar TM Kuala
Lumpur R. Manivannan berkata, tawaran tersebut juga terbuka kepada anggota
polis, individu dan kumpulan yang dapat menahan suspek terbabit sehingga kes
itu dibuktikan bersalah di mahkamah.
"Sehingga Oktober tahun
ini, di Kuala Lumpur sahaja, TM menanggung kerugian sehingga RM891,110
melibatkan 63 kes curi kabel.
"Sebanyak RM471,927.79
pula terpaksa ditanggung syarikat kami yang melibatkan 30 kes pada tahun
lepas," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Pencegahan
Kecurian Kabel TMKL bersama Polis KL di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua
Pusat Media Polis Kuala Lumpur ACP Rasdi Ramli.
Manivannan berkata, TM
sebelum ini menggunakan sistem penggera I-Watch yang akan mengesan sebarang kes
kecurian kabel, namun ia kurang berhasil.
"I-Watch ini macam
'alarm' system. Bila ada orang potong kabel tu, kita tahulah di mana lokasi dia
potong kabel tu... walaupun sistem ini beroperasi dengan baik, namun masih
berlaku kes kecurian kabel," katanya sambil menambah satu meter kabel yang
dicuri, dijual sehingga RM300 di pasaran gelap.
Sementara itu, Rasdi berkata
program hari ini akan memberi taklimat, ceramah dan penerangan terperinci
kepada peserta termasuk anggota polis mengenai jenis kabel dan bagaimana
kecurian dilakukan.
"Pihak TM juga akan
memberi penerangan bagaimana untuk mengenal pasti seseorang yang berada di
sesebuah kawasan itu, sama ada dia adalah kontraktor TM atau sebaliknya.
"Seseorang
yang berada di sesebuah kawasan, yang melibatkan kerja-kerja melibatkan kabel
ini, perlu menunjuk atau mempamerkan dokumen yang dibekalkan kepada mereka.
Jika tidak, pihak polis boleh mengambil tindakan ke atas mereka," katanya.
(Bernama)
No comments:
Post a Comment