Saturday 12 February 2011

KAMPUNG BAMBANGAN BEGITU DAIF



TERUK….Jalan becak dan jambatan ini perlu diselenggara segera untuk kemudahan penduduk kampung.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

KEROSAKAN jalan penghubung antara Seguntur dengan Kampung Bambangan sejauh 2 kilometer perlu diperbaiki segera kerana menyulitkan penduduk kampung dan 18 orang guru yang mengajar di sekolah berhampiran.

Punca kerosakan teruk jalan yang dimaksudkan itu ekoran daripada bencana alam semasa musim hujan yang berpanjangan melanda kampung tersebut baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bambangan Shamsudin Chino (gambar) yang membawa sendiri Wartawan Kanan Sabahkini.Net meninjau ke kampung tersebut menjelaskan bahawa keadaan jalanraya tersebut memang menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk kampung.

Sehubungan itu, Shamsudin yang mewakili penduduk kampung berkenaan dan kampung-kampung yang berhampiran merayu dan memohon jasa baik kepada Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin supaya mengeluarkan peruntukan kilat untuk melaksanakan kerja-kerja membaiki kerosakan jalan tersebut.

Selain kerosakan jalanraya yang menjadi punca masalah kepada penduduk kampung terbabit, kata Shamsudin, beberapa buah jambatan kayu yang melibat 5 lorong sepanjang 2,000 kaki lebar 10 kaki lebar perlu dibaiki segera kerana 80 peratus papan, termasuk gelagar dan berutinya sudah reput dan berbahaya untuk dilalui.

Kata Shamsuddin lagi, sejak kemenangan Linda dalam pilihanraya kecil Parlimen yang lalu sehingga hari ini, beliau belum pernah membuat lawatan kerjanya khususnya ke kawasan kampung Bambangan dan kampung-kampung berhampiran lainnya bagi menemui pengundi-pengundinya.

“Lawatan Linda ke kampung kami adalah satu rahmat dan memang telah dinanti-nantikan kehadirannya oleh masyarakat kampung supaya beliau dapat melihat sendiri bagai mana kehidupan masyarakat kampung ini yang sebenarnya,” ujar Shamsudin yang merayu agar Linda meneruskan kesinambungan tugas mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong Ket Wah yang giat membangunkan kampung di kawasan Batu Sapi.

No comments:

Post a Comment