Saudara Pengarang,
SAYA terpegun seketika apabila terbaca satu artikel yang amat menarik tersiar di Portal Sabahkini.net bertajuk ‘Batalkan Kad Pengenalan dan Kerakyatan PATI’ yang merujuk kepada usaha Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing berhubung gesaannya kepada Menteri Dalam Negeri Dato’ Hishamuddin Tun Hussin supaya diadakan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja bagi menyelesaikan masalah pemberian Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada PATI.
Bagaimanapun memorandum yang mengandungi bukti-bukti dakwaan Bumburing itu ditolak oleh menteri berkenaan tanpa alasan yang konkrit. Gelagat Menteri terbabit mengguris perasaan rakyat Sabah yang inginkan kehidupan yang selesa dan aman damai tanpa ancaman musuh dari dalam.
Tahukah Dato’ Hisham bagaimana perasaan rakyat Sabah sekarang yang sentiasa dibayangi kebimbangan sertiap hari, apatah lagi petualang petualang negara dengan berani mencabar undang-undang negara apabila ada di antaranya mengisytiharkan diri mereka sebagai pewaris Sultan Sulu dan bertindak menabalkan diri sendiri sebagai Sultan Sulu.
Kami rakyat Sabah menegaskan bahawa kehadiran PATI di bumi bertuah ini bukan atas kehendak kami mengundang mereka, tetapi ia berlaku atas musibah negara mereka dan atas belas ehsan kerajaan membenarkan mereka tinggal untuk sementara waktu sebagai peri kemanusiaan.
Malangnya kenapa mereka ini diberikan pula kerakyatan dan Kad Pengenalan semata-mata menjadikan mereka ‘perkakas’ sesebuah parti politik untuk terus memerintah negara ini tanpa mengira kesan jangka panjang rakyat jati Sabah.
Kami bukan tidak bersimpati dengan masalah kebajikan PATI, tetapi kami juga mahu kerajaan khususnya KDN lebih bersimpati dengan nasib masa depan rakyat jati Sabah dari terus tertindas dan menjadi pelarian di negeri sendiri di suatu hari nanti.
Kami amat tertekan dan kebingungan kerana sandaran kami untuk mengatasi masalah keselamatan rakyat jati Sabah tidak lain daripada Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, tetapi malangnya sandaran dan harapan kami terus hancur berkecai apabila Menteri terbabit enggan menerima dan mendengar suara hati rakyat Sabah yang disampaikan Bumburing.
Kami merayu agar suara hati kami didengar dan diambil perhatian yang serius kerana jumlah PATI yang memiliki Kad Pengenalan dan kerakyatan jumlahnya bukan sedikit, malah ratusan ribu dan mungkin dalam tempoh sedekad lagi jumlah mereka akan bertambah berlipat ganda. Jadi, dalam keadaan sebegitu sudah pastilah suara kami, rakyat jati Sabah akan terus tenggelam dan perlahan-lahan hilang di bumi Sabah.
Menafikan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja membuktikan Kerajaan Pusat takut kepada ‘badi’ yang ditinggalkan oleh ‘Petualang Negara’, Allahyarham Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub yang mendalangi semua kegiatan mengeluarkan kad pengenalan projek atas restu bersama semua pemimpin UMNO, semata-mata untuk merampas ‘Sabah’ daripada tangan Parti Bersatu Sabah ketika itu.
Sekian,
TOK JANGGUT
No comments:
Post a Comment