Friday 11 February 2011

KESULTANAN AKJAN BUKTI ‘COUP-DE-TAAT’



Oleh: MUTALIB M.D

PEMASYHURAN Mantan Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Datu’ Akjan Datu Ali Muhammad membuktikan bahawa ancaman yang dinyatakan Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing melalui memorandumnya kepada Menteri Dalam Negeri adalah benar dan serius kerana sinonim dengan ‘coup-de-taat’ (Kudita) atau rampasan kuasa.

“Sebelum petualangan ini bertambah serius, Kerajaan Persekutuan wajib melakukan tindakan perlu kerana Akjan beliau merupakan RAJA PATI yang telah mendapat kad pengenalan projek dan beliau mempunyai pengikut yang ramai sehingga mampu mengancam keselamatan Negara jika dibiarkan,” ujar Bumburing ketika menghubungi Sabahkini.net sebagai mengulas tindakan Akjan yang mencabul perlembagaan Negara.

Bumburing menyifatkan memorandum yang beliau kemukakan kepada Menteri Dalam Negeri sebagai lampu kuning dan kini bertukar merah setelah lebih tiga orang rakyat ‘Malaysia’ yang mendakwa diri mereka ‘Sultan’.

Pencabulan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan, apatah lagi tindakan Akjan mengistiharkan dirinya sebagai ‘Sultan’ telah menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong dan merupakan darjah tertinggi jenayah di Negara ini.

Sehubungan itu, Bumburing menggesa agar Pesuruhjaya Polis Sabah dan pihak berkuasa di Sabah menangani isu Akjan secara saksama bagi memadam api pemberontakan warga Sulu di Sabah, terutama yang telah mendapat kerakyatan Malaysia melalui jalan songsang.

“Kita tidak boleh bertolak ansur lagi. Kita baru sahaja ada Wakil Rakyat daripada PATI, yang bernikah dengan PATI dan kini PATI sudah menjadi Sultan,” ujar Bumburing yang menyifatkan pemasyhuran Akjan bukan lakonan atau menunjukkan sikap tidak siuman, sebaliknya melakukan penderhakaan secara terbuka terhadap Yang Di Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Malaysia (SAPP-Sepanggar) Datuk Eric Majimbun ketika dihubungi Sabahkini.net turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah pencegahan dan tindakan perlu kerana dakwaan Akjan amat serius.

“Bukankah ini satu ancama yang menggugat kedaulatan Malaysia? Kerajaan Persekutuan yang memberikan arahan dan membuka pintu seluasnya agar PATI diberi kerakyatan Malaysia untuk meramaikan pengundi bagi melaksanakan agenda politik mereka?,” ujar Eric sambil mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat Skandal IC Projek dan kesan yang timbul daripada pemberian kerakyatan secara tidak sah kepada PATI.

Eric turut mengalu-alukan tindakan berani rakyat tulen Sabah untuk menukar kerajaan bagi membolehkan semua PATI yang mendapat kad pengenalan projek dihalau daripada Sabah.

Manakala Ahli Parlimen Malaysia (UPKO-Putatan), Datuk Makin @ Marcus Majigoh pula berpendapat bahawa sepatutnya Akjan membuat pengisytiharan sebagai Sultan di Negara asalnya dengan disaksikan oleh warga Sulu dan bukannya di Sabah yang telah merdeka sejak 1963.

“Akjan tidak patut lari daripada musuh asalnya dan melantik dirinya menjadi Sultan Sulu ketika dalam buangan dan mendapat suaka politik di Sabah. Hanya pengecut yang lari daripada musuhnya. Sabah bukan musuh Akjan, tetapi tindakan Akjan membuatkan rakyat Sabah memusuhinya dan beliau patut menyerahkan kerakyatan Malaysia dan meninggalkan Negara ini segera,” ujar Marcus yang bimbang riak politik akan akan membadai dan mengancam keselamatan rakyat Sabah yang gagal ditangani dengan sempurna sejak 1970-an.

Manakala seorang peguam kanan yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri Sabah Sabah, Datuk Haji Mohd. Ainal Haji Abdul Fattah ketika dihubungi menjelaskan beliau akan bercakap kepada wartawan apabila tiba masanya kerana beliau ingin mendapat komen dan keluhan rakyat Sabah terlebih dahulu.

Namun dari aspek Undang-Undang, Ainal menyifatkan tindakan Akjan tersebut sebagai jenayah serius di bawah Seksyen 121, Kanun Keseksaan kerana ‘Melancarkan perang terhadap Yang Di-pertuan Agong’ yang jika sabit kesalahan, hukumannya gantung sampai mati.

“Semua pihak yang mengugut dan menentang Duli Yang maha Mulia Yang Di Pertuan Agong juga boleh dikenakan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 121 (1B) kerana ‘merancang, mengada-ada, mereka-reka atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan raja pemerintah sebuah negeri’ yang jika sabit kesalahan, hukumannya pula adalah penjara seumur hidup,” ujar Ainal yang menjelaskan walaupun Sabah negeri tidak beraja atau bersultan, namun terletak di bawah kuasa Yang Di Pertuan Agong.

Menurut Ainal, Sabah ialah salah sebuah negeri di Malaysia dan Malaysia mempunyai kedaulatan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Hubungan biletaral antara Filipina dengan Malaysia selama ini adalah pada tahap tertinggi dan harmoni, namun tindakan Akjan melantik dirinya sebagai Sultan dijangka akan mencetus suasana curiga dan mengeruhkan kembali hubungan antara dua negara,” ujar Ainal yang kesal dengan tindakan anarkis Akjan yang tidak pernah berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment