Sunday 6 February 2011

PAJUDDIN MEMANG LAYAK SERTAI UMNO!



Oleh: MAIL MATHEW

BEBERAPA pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pedalaman menjelaskan bahawa mereka tidak terkejut, malah tidak gusar dengan tindakan Pengerusi Perhubungan Negeri (PPN) PKR Sabah yang baru dilantik kira-kira sebulan lepas Ustaz Pajuddin Nordin Tajawi yang bertindak meletakkan jawatan dan menyertai UMNO petang kelmarin dengan mendakwa kononnya perjuangan PKR sudah tidak relevan lagi di Sabah.

Malahan mereka menyifatkan tindakan Pajuddin sebagai tergesa-gesa dan terdorong oleh emosi yang meluap-luap tanpa memikirkan secara rasional dan masa depan politiknya yang masih jauh diterokainya, lebih-lebih lagi beliau kini seorang pemimpin yang masih muda.

Mereka menyatakan demikian ketika menghubungi Sabahkini.net sebagai mengulas kenyataan Pajuddin yang mendakwa lebih ramai ahli dan pemimpin PKR akar umbi akan mengikut jejak beliau selepas ini.

Difahamkan bahawa perletakkan jawatan Pajuddin ekoran kegagalan beliau mendapat sokongan majoriti Ketua Cabang (KC) dalam satu mesyuarat baru-baru ini yang dihadiri Naib Presiden PKR Pusat, Fuziah Salleh kerana daripada sejumlah 24 KC di Sabah, hanya enam cabang yang menyokong Pajuddin, manakala selebihnya 18 cabang menentang kepimpinan beliau.

Timbalan Pengerusi Panatua PKR Negeri Sabah, Robert Linggi menyedari tindakan Ustaz Pajuddin adalah kurang bijak namun beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut dan hanya akan berbuat demikian selepas mesyuarat PKR negeri yang turut dihadiri Presiden PKR Dr Wan Azizah hari ini (Ahad).

Timbalan KC PKR Pensiangan Affendi Hasbollah @ Lokan Angindih menolak dakwaan Pajuddin bahawa akan ada ahli dan pemimpin akar umbi mengikut jejak langkahnya keluar PKR dan menyertai UMNO khususnya di kawasan Pensiangan.

“Kenyataan itu sekadar syok sendiri, tetapi tidak pastilah kalau kawasannya di Tuaran. Dia memang layak sertai UMNO. Kalau mahu keluar parti pun keluar sahajalah, jangan babitkan orang lain. Kami pun ada pendirian sendiri tidak perlu diajak,” tegas Affendy.

Affendy menegaskan bahawa dakwaan Pajuddin kononnya perjuangan PKR sudah tidak relevan lagi yang mendorong beliau keluar parti dan menyertai UMNO adalah tidak logik kerana beliau yang menyertai PKR sejak tahun 1999 tidak mungkin baru sekarang beliau menyedari kepincangan PKR sehingga dilabelnya ‘tidak relevan’.

“Pajuddin pernah duduk sebagai ahli jawatankuasa Pemuda Pusat (jadi) kenapa kepincangan PKR di Sabah sehingga dilabelnya tidak relevan tidak dikemukakan di situ untuk perbincangan? Kalau sekarang ini baru mahu cakap, tidak masuk akallah?” kata beliau.

Manakala Timbalan KC PKR Tenom, Lampag Kurias selain menolak dakwaan Pajuddin itu beliau menyifatkannya sebagai suatu suara lahir selepas kekecewaan berlaku ke atas dirinya walaupun beliau masih ada ruang untuk menempatkan dirinya dan memperbaiki kelemahan dan kepincangan PKR seperti yang didakwanya.

No comments:

Post a Comment