Thursday 3 February 2011

PENDUDUK SUMAMBU GEMBIRA DAPAT TENAGA HIJAU


BANGGA... Ambalau bangga dengan keprihatinan Najib yang sudi mendengar keluhan mereka walaupun terperosok di kawasan hutan simpan sehingga meluluskan Skim Bekalan Elektrik Solar Tenaga Hijau.

Oleh: MUTALIB M.D

LEBIH 300 penduduk Kampung Sumambu, 112 kilometer daripada Tenom, yang tersepit di tengah-tengah Hutan Simpan yang sebelum ini menderita sejak 48 tahun lalu, kini melonjak gembira kerana mendapat bekalan elektrik solar yang menggunakan bateri mesra alam, lithium polymer.

Ketua Kampung Sumambu, Ambalau Lawi, mengesahkan bahawa kampungnya sudah mula makmur dan penduduk merasa diri mereka dihargai sekalipun masih berperang saraf dengan Jabatan Perhutanan Sabah.

“Kita gembira kerana menjadi ‘Kampung Hijau Pertama’ di dunia yang menggunakan tenaga elektrik solar yang mesra alam,” ujar Ambalau yang masih bimbang dengan tahap kesihatan penduduk Sumambu apabila bateri asid plumbum yang dipasang di SK Sumambu meletup pada 1 Oktober 2010, namun langkah pencegahan dan pembersihan radioaktif belum dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Ambalau, sekalipun majoriti penduduk Kampung Sumambu mempunyai geran tanah NT, namun sejak 48 tahun lalu, Jabatan Perhutanan Sabah telah menafikan hak mereka untuk mendapat bekalan elektrik kerana mendakwa kampung tersebut terletak di tengan Hutan Simpan Rundum.

“Kami tidak akan melupakan jasa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana telah meluluskan permohonan yang kami sampaikan kepada Ahli Parlimen kami, Datuk Raimie Unggi untuk mendapatkan nikmat bekalan elektrik,” ujar Ambalau yang bangga dengan keprihatinan Najib mengatasi masalah yang meranjau kehidupan mereka selama ini.


PROTES.... Ambalau dua dari kiri mengadakan demonstrasi secara aman bersama penduduk kampung bersama geran tanah masing-masing.

Selepas ini, kata Ambalau, apa juga projek yang ingin dilaksanakan di kampung ini sewajarnya tidak dihalang oleh Jabatan Perhutanan Sabah kerana Kampung Sumambu adalah kampung tradisi yang dibentuk dengan tanah bergeran dan bukannya kawasan hutan simpan.

“Bekalan elaktrik solar, sekalipun ala kadar tetapi telah merubah 360 darjah kehidupan kami yang telah bergelap selama 48 tahun. Sekilas cahaya di waktu malam sudah mencukupi buat kampi apatah lagi kini dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam tanpa perlu membayar bil,” ujar Ambalau yang semakin bersemangat memajukan Kampung Sumambu dengan kerjasama erat penduduk kampung pelbagai projek kecil ekoran terdapatnya bekalan elektrik.

GEMBIRA... Penduduk ini terlalu gembira sehingga tidak terkata kerana mendapat bekalan elektrik yang sebelum ini hanya menjadi janji yang diperbaharui setiap kali pilihanraya.

Kata Ambalau, tidak ada nikmat yang lebih bermakna bagi kami selama ini selain mendapat bekalan elektrik kerana anak kami dapat belajar dengan selesa di waktu malam dan masa hadapan mereka akan lebih terjamin berbanding dahulu,” ujar Ambalau yang menaruh harapan yang tinggi agar gereja dan balai budaya kampung mereka turut dilengkapi dengan teknologi hijau.

“Buat masa ini kesemua 41 buah rumah di kampung ini mendapat bekalan elektrik. Tidak ada yang tertinggal. Keadaan ini membuktikan kami mendapat layanan bukan sahaja sama rata dengan penduduk bandar, malah lebih hebat kerana bekalan elektrik kami tidak akan dipotong oleh SESB dan mendapat elektrik percuma sepanjang hayat,” ujar Ambalau dalam nada tegas tetapi separa berseloroh.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin memberi jaminan akan menjalankan kajian segera berhubung tahap kesihatan penduduk kampung Sumambu ekoran letupan berpuluh bateri asid plumbum pada 1 Oktober 2010 kerana bimbang kejadian 111 kanak-kanak Nigeria (Afrika) meninggal dunia akibat keracunan plumbum berulang di sini.

No comments:

Post a Comment