Wednesday 2 February 2011

POLIS DALANG SELUDUP MANUSIA KE SABAH?



BEBAS….Hj Masmin menunjukkan Sungai Kalabakan yang digunakan oleh PATI untuk menyeberangi Indonesia dan Filipina untuk ke Sabah; selain menjadi pusat penyeludupan dadah, rokok haram dan aktiviti pelacuran kerana tidak dikawal pihak berkuasa.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

DENGAN membayar antara RM350 sehingga RM1,000; seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh memasuki Sabah dengan selamat kerana wujud perkhidmatan penyeludupan manusia yang didalangi pegawai kanan polis.

Presiden Persatuan Keluarga Karanaan Liwan Sabah [SAKAG] Sabah, Haji Masmin Kadad, mendedahkan demikian ketika menghubungi Sabahkini.net sewaktu melakukan lawatan bersama ke Kalabakan baru-baru ini.

“Saya mendapat laporan daripada orang awam yang mengadu kepada saya bahawa PATI dari Pulau Sebatik dihantar oleh anggota keselamatan ke Kalabakan dengan membayar pihak anggota keselamatan sebanyak RM 350 untuk menjamin mereka masuk dengan selamat ke Sabah,” ujar Haji Masmin yang mengakui turut menerima ugutan melalui telefon agar tidak mendedahkan isu tersebut kepada media.

Tegas Haji Masmin, senario penyeludupan PATI bukan sahaja berlaku di Tawau, malau amat berleluasa di Tungku, Lahad Datu kerana PATI ini dihantar oleh pegawai kanan polis ke Pedalaman, khasnya Keningau dengan syarat sanggup membayar RM 1,000 kepada sindiket yang didalangi oleh pegawai kanan polis tersebut.

“PATI ini sanggup membayarnya kerana khuatir akan ditangkap oleh pihak yang berkuasa. Pegawai kanan polis yang terlibat boleh mendapat untung beratus ribu ringgit sebulan daripada aktiviti haram ini berdasarkan jumlah PATI yang masuk ke Sabah melalui Kalabakan dan Lahad Datu seramai antara 500 sehingga 1,000 orang sebulan,” dedah Haji Masmin yang sudah lama menjalankan pemerhatian.

Menurut Haji Masmin lagi, apabila PATI mendarat, akan ada orang yang mengatur mereka untuk bekerja di ladang kelapa sawit, pembalakan, kontraktor dan juga pembantu rumah atau bekerja di kedai-kedai dengan gaji RM 6.00 sehari dan selepas 3 bulan kemudian mereka boleh bekerja sendiri.

Perkara seperti ini, kata Haji Masmin, telah berlaku sejak 1980-an hingga sekarang dan ada pihak yang membantu mereka mendapatkan kad pengenalan atau Mykad dengan harga antara RM 2,500 hingga RM 5,000 seorang.

“Beginilah cara PATI masuk ke Sabah dan begitu mudah mendapat warganegara Malaysia khususnya dari PATI yang mendapat taraf bumiputera kelas pertama,” kata Haji Masmin yang menjelaskan pada 2003, mengikut data tidak rasmi, terdapat lebih 1.7 juta PATI yang telah mendapat Mykad dan menjadi rakyat Malaysia untuk membantu parti kerajaan mengundi parti kerajaan dalam pilihanraya umum 2004.

Haji Masmin menolak dakwaan Pegawai Kanan Imigresen Sabah yang mengatakan masalah pendatang asing ini berlaku di seluruh negara dan bukan hanya di Sabah dengan alasan Sarawak dan Brunei boleh mengawal kebanjiran PATI, namun senarionya 100 peratus berbeza di Sabah.

“Jalan terbaik, kembalikan kuasa mutlak Jabatan Imigresen kepada Sabah kerana telah terbukti sejak Sabah merdeka dan bersama membentuk Negara Malaysia sepanjang 47 tahun, jumlah penduduknya pada tahun 1967 iaitu semasa pilihan raya kali pertama hanyalah lebih kurang 900,000 orang sahaja; 450,000 sahaja menjadi pemilih berdaftar,” ujar haji Masmin yang terkejut dengan pertambahan penduduk Sabah kepada 3.5 juta orang pada 2010.

Persoalannya, kata Haji Masmin, adakah isu PATI ini dibiarkan begitu sahaja oleh Kerajaan Persekutuan atas agenda tersembunyi kerana beliau bimbang jika isu pengangguran begitu tinggi, PATI ini boleh mengancam keselamatan Sabah dan ketika itu rakyat Sabah terpaksa berputih mata kerana tidak ada yang berani berputih tulang.

No comments:

Post a Comment