Oleh: MUTALIB M.D
WALAUPUN tidak ada pihak yang memaklumkannya, namun Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raimie Unggi mempunyai deria keenam untuk mengesan kejadian malang yang menimpa seorang ahli politik veteran, Linus Pawi Mantakad, 80, yang kini terlantar di Kampung Pamilaan, Tenom.
Linus tidak pernah termimpi akan dikunjungi Raimie kerana tidak ada sesiapa yang mengetahui beliau sakit terlantar sejak tiga tahun lalu setelah mendapat serangan angin ahmar, melainkan keluarga terdekatnya.
“Terima kasih YB. Terima kasih kerana mau tingu.. (tengok) saya…huh hu hu,” ujar Linus dalam nada sebak sebelum menjuraikan titisan air mata tua yang melimpahi kelopak mata sehingga tidak mampu lagi menuturkan perkataan selepas itu kerana sebak akibat terbius dengan kunjungan mengejut Raimie.
Sebagai pemimpin yang memahami keperluan rakyatnya, Raimie tidak datang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa sebuah kerusi roda bagi membolehkan Linus bergerak di dalam rumah papan usang setelah terlantar berbaring sejak tiga tahun lalu.
Lebih mendukacitakan, bantuan kebajikan Linus lambat diterima sejak enam bulan lalu akibat pertukaran skim yang mengambil masa agak lama sebelum bantuan baru dapat disalurkan ke akaun banknya.
Dalam pada itu, Raimie ketika ditemui selepas menyerahkan kerusi roda berkenaan berkata, adalah menjadi tugas beliau untuk membantu meringankan beban rakyatnya yang terlantar sakit sekalipun mereka tidak pernah meminta bantuan kerana sudah menerima bantuan kebajikan.
“Tugas wakil rakyat bukan sekadar melihatkan rakyat mendapat hak mereka, malah memastikan rakyat sentiasa ceria dan berpeluang untuk bergerak secara bebas seperti Pak Cik Linus,” kata Raimie yang meyakini dengan bantuan kerusi roda tersebut, pesakit tidak akan mengalami stress berpanjangan, malah berpeluang untuk sembuh dengan cepat.
Kata Raimie, beliau tidak mengadakan majlis penyampaian kerusi roda berkenaan kerana menghargai semua rakyat yang telah memilihnya sebagai ahli parlimen sekalipun beliau tidak sempat menemui semua pengundi, terutama Linus setelah terlantar sejak sekian lama dan setelah menjalankan siasatan sendiri, mengunjungi Linus secara mengejut.
“Apalah ertinya kerusi roda ini berbanding dengan sokongan keluarga Linus terhadap saya,” ujar Raimie yang turut merayu agar bantuan kebajikan yang tertangguh segera dihulurkan kepada mangsa yang terlantar sakit menderita.
No comments:
Post a Comment