Oleh: MAIL MATHEW
PEMIMPIN Parti Maju Sabah (SAPP) Tenom, Saul Salleh membidas tindakan kerajaan menaikkan harga minyak petrol Ron97 sepuluh sen seliter bermula jam 12.01 minit tengah malam kelmarin (Isnin) menjadikan harga baru Ron97 kepada RM2.50 seliter begitu membebankan rakyat khususnya mereka yang menggunakan kenderaan untuk urusan seharian.
Katanya, kerajaan harus menimbang pelbagai aspek yang kini masih menghantui rakyat di negara ini seperti kemurungan perniagaan berpunca daripada ketidak tentuan ekonomi yang kini masih menghantui pasaran; mencari alternatif lain sekurang-kurangnya mensubsidikan kos pasaran itu untuk menstabilkan harga tersebut kepada biasa.
“Kita semakin kebingungan kerana semua barang keperluan sudah naik secara mendadak sejak beberapa bulan lalu. Rakyat yang berpendapatan kecil menjadi sasaran, walaupun harga getah kini stabil di paras tinggi, tetapi tidak memberi impak baik jikalau harga barang keperluan sudah mengekori kenaikkannya,” tegas beliau.
Saul seterusnya berkata, kenaikan tersebut memang difahami segelintir rakyat yang mudah faham keadaan itu yang antara lain berpunca daripada pergeseran pasaran dunia, namun Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak seharusnya mengkotakan janjinya yang pernah dilafazkannya bahawa tidak akan berlaku lagi kenaikan harga minyak selepas kenaikan pada 2 November dan 1 Disember, 2010.
“Dengan jaminan Perdana Menteri itu, kita mengandaikan beliau akan berbuat sesuatu untuk membendung masalah itu agar tidak membebankan rakyat,” tegas Saul yang kesal dengan kenaikan harga tersebut.
Menurut Saul, beliau dihujani desakan rakyat di Tenom agar menyuarakan bantahan rasmi dan tidak kurang pula mereka yang menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (sms) meminta saya bertindak segera melalui saluran parti.
Tegasnya lagi, walaupun Ron97 itu dinaikkan kononnya rakyat ada pilihan lain untuk membeli Ron95 yang agak murah sedikit, tetapi alasan itu tidak menasabah kerana pengangkutan membawa keperluan hidup rakyat di pelusuk pedalaman menggunakan Ron97.
Dalam pada itu, Saul yang juga bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) semasa era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi kepenggunaan (KPDNKK) agar lebih kerap memantau harga terkini pasaran barangan runcit khususnya di Tenom menjelang perayaan TBC kerana terdapat rungutan pengguna mendakwa ada segelintir peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan yang terkawal di musim perayaan ini.
“Kita pernah dengar suatu ketika dulu, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO telah menubuhkan jawatankuasa masing-masing memantau kenaikan harga barangan runcit, tetapi sekarang ini tidak kedengaran pula setakat mana sudah tindakan mereka atau sekadar kata-kata hiasan sahaja sebagai penyeri muka,” tambah Saul lagi.
No comments:
Post a Comment