Tuesday 8 February 2011

RAKYAT KEMABONG PERLUKAN PEMBELAAN

PRIHATIN....Sabini (kanan) meninjau atap rumah Tinus yang mengalami runtuh terkena tiupan angin kencang.

Oleh: MEDIA PBS

KEMISKINAN yang melanda penduduk luar bandar di Kemabong yang dirantai masalah infrastruktur sering menjarakkan hubungan antara rakyat dengan Kerajaan yang memerintah.

Bencana alam dan ketirisan tabung pembangunan sering menjadi punca kerajaan menerima tohmahan daripada mangsa yang bukan sahaja tidak dibantu malah langsung tidak mendapat pembelaan sekalipun mereka adalah pemilih berdaftar.

Pada 2 Februari lalu, atap rumah Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Cawangan Kampung Pamaluyan, Kemabong, Tinus Asal, telah runtuh kerana struktur rumah berkenaan terlalu uzur.

“Syukur sebab tidak ada sesiapa yang tercedera, kerana kami tidak berada di dalam rumah ketika itu,” kata Tinus yang sangat terkejut dan gementar dengan kejadian berkenaan, namun jiran berhampiran segera menghulur bantuan.

Ketua Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor yang bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi oleh isteri Tinus meluangkan masa hampir setengah jam bersama keluarga mangsa sebelum mendengar taklimat daripada Ketua Penerangan PBS Bahagian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pamaluyan, Robert Labong.

Menurut Robert, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sukimin Rukini yang sedang bercuti mengarahkan pihak keluarga mangsa bencana agar membuat laporan polis dan berpandukan kepada laporan berkenaan, satu pendekatan akan diputuskan kelak untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Saya akan merujuk kepada kemampuan kami. Saya harap saya dapat membantu keluarga Tinus. Saya sedih dengan keadaan mereka,” kata Sabini yang merayu agar kerajaan Barisan Nasional memberikan rumah percuma kepada penduduk miskin tegar dan mereka yang ditimpa bencana alam seperti Tinus.

TINJAU…. Sabini (tengah) sedang meninjau bahagian luar rumah mangsa ditemani pemilik rumah.

“Saya berharap pengagihan rumah PPRT ini diagehkan secara adil dan mengikut keutamaan. Ini penting bagi memastikan mereka yang sangat memerlukan mendapat rumah selain mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi di masa akan datang,” ujar Sabini yang meminta mangsa bersabar kerana peruntukan rumah PPRT adalah terhad dan perlu diageh ke semua kampung.

GEMBIRA….Warga tua turut gembira ketika dikunjungi Sabini.

Di kampung yang yang sama, Sabini telah mengedarkan beberapa Ang Pow kepada warga tua sebelum meninjau perkembangan pembinaan bangunan tandas Rumah Kebudayaan sumbangan peribadi beliau.

Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Naib 1 Bahagian, Anggoh Mayah; Setiausaha Bahagian, Florentius Alex dan AJK Pemuda Bahagian, Andin Ambaris.

No comments:

Post a Comment