Thursday 3 February 2011

WARGA TRONGLIT BANTAH BATERI PLUMBUM


BAHAYA....Arbi terkejut melihat bateri plumbum yang digunakan SK Pulau Timbang kerana mengeluarkan gas plumbum setiap kali dicaj.

Oleh: MUTALIB M.D

LEBIH 230 penduduk Kampung Tronglit di Pulau Timbang, Sandakan membantah penggunaan bateri asid plumbum di Sekolah Kebangsaan Pulau Timbang dan tiga buah sekolah yang terletak di pulau sekitarnya kerana bimbang keracunan plumbum.

Bantahan berkenaan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tronglit, Arbi Alim ketika Krew Sabahkini.net menjalankan tinjauan ke kampung berkenaan atas permintaan mereka yang hanya dapat ditunaikan baru-baru ini.

“Kita dapat maklumat tentang bahaya bateri asid plumbum ini daripada Sabahkini.net dan kerana itu kita minta krew Sabahkini datang melawat ke kampung ini agar kami boleh menyuarakan bantahan dan sekaligus membantu kami menyuarakan masalah kami yang enggan disiarkan oleh media arus perdana,” ujar Arbi yang telah menyampaikan keluhan yang sama kepada Adun Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.

Arbi menekankan, pihaknya selama ini tidak menyedari kenapa kebanyakan anak mereka lembap dalam pelajaran dan agak terencat pembesaran sehinggalah membaca Sabahkini.net di bandar Sandakan atas syor anak saudaranya yang bekerja di Kota Kinabalu.

“Setelah menonton video yang dipaparkan Sabahkini.net (Sedutan CNN), saya terkejut dan terus menghantar email kepada Sabahkini.net agar melawat kampung kami,” ujar Arbi yang mendesak agar kerajaan tidak tunggu lama untuk menyelesaikan masalah ini.

Pesan Arbi, jangan sampai nanti, ada kanak-kanak mati atau menderita akibat keracunan plumbum barulah mahu bertindak.

“Kami harap agar Kementerian Kesihatan bertindak segera dan menjalankan ujian terhadap seluruh kanak-kanak di pulau ini dan juga orang dewasa. Kami kini tidak dapat tidur lena kerana bimbang kalau-kalau bateri berkenaan meletup seperti yang disiarkan dalam Sabahkini.net iaitu yang berlaku di SK Sumambu, Tenom,” kata Arbi yang tidak akan bertolak ansur demi keselamatan penduduk kampungnya.


DEKAT... Bilik bateri SK Pulau Timbang terletak berdekatan dengan bilik darjah sehingga wap dan gas plumbum dihidu kanak-kanak sekolah.

Tegas Arbi, Adun Sekong, Samsuddin turut memaklumkan tentang bahaya bateri asid plumbum, tetapi kata Arbi beliau tidak tahu membezakannya sehingga melawat bilik bateri SK Pulau Timbang dan membandingkannya dengan bateri solar yang digunakan di balai raya, masjid dan dewan serbaguna.

“Jangan jadikan penduduk Tronglit dan 14 kampung sekitar pulau ini sebagai makmal ujikaji pihak tertentu. Kami bukan tikus. Jadi, kami merayu agar gantikan segera bateri asid plumbum yang dipasang di sekolah kami dengan bateri mesra alam,” ujar Arbi yang memberi amaran agar kontraktor pemasangan tidak melupuskan bateri berkenaan dengan menanam di dalam tanah atau membuang ke laut kerana akan tetap membahayakan kehidupan mereka.


MESRA....Rudy melihat bateri lithium polymer yang digunapakai di Balai Raya Kampung Tronglit.

Dalam pada itu, seorang bapa, Rudy Paraji, 27, turut menyokong bantahan yang disampaikan Arbi kerana bimbangkan nyawa anak perempuannya, Nurul Izwani, 6, yang bersekolah di SK Pulau Timbang dan anak lelakinya, Mohd Ardie, 4, yang belajar di Tabika Kemas yang berdekatan.

"Kenapa kerajaan benarkan bateri ini digunakan di sekolah? Bukankah ini seperti membunuh anak-anak kami? Sekarang kami tahu membezakan antara bateri mesra alam dan bateri bertoksik," ujar Rudy yang turut menggesa agar masalah ini diselesaikan segera kerana beliau tidak teragak-agak melarang anaknya ke sekolah sehingga masalah ini diselesaikan secara tuntas.

Kata Rudy lagi, beliau terkejut kerana bilik bateri dibina terlalu dekat dengan bilik darjah sehingga membahayakan kesihatan anaknya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Timbang, Cikgu Kahar ketika dihubungi berkata pihaknya tidak sedar tentang bahaya bateri plumbum yang dipasang di sekolahnya pada 2009.

"Maka kita tidak membantah kerana pihak berwajib tidak memaklumkan kita sehingga isu ini diketengahkan Sabahkini.net," akui Cikgu Kahar secara jujur.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, bateri lithium polymer lebih tahan lama, boleh dikitar semula dan boleh menyimpan tenaga antara 85 hingga 95 peratus berbanding bateri asid plumbum yang amat berbahaya sehingga diharamkan di negara maju dan hanya mampu menyimpan 25 peratus tenaga.

No comments:

Post a Comment