EPISOD I
Oleh : MUTALIB M.D
RAMAI pemimpin BN terpukau dengan kuntau Kerajaan Persekutuan, termasuk Menteri Pembangunan Luar Sabah, Datuk Ewon Ebin dengan mengatakan bahawa Kabinet Negeri Sabah dan Kerajaan Barisan Nasional telah menyatakan pendirian membantah cadangan pemberian taraf PR berkenaan.
“Dakwaan pembangkang hanya merupakan dakyah politik yang sengaja dibesar-besarkan semata-mata menarik perhatian rakyat agar membenci kerajaan yang memerintah, apa lagi pada saat-saat menjelang pilihan raya,” ujar Ewon dalam satu sidang akhbar dan meminta rakyat Sabah tidak risau terhadap bahan kempen pembangkang yang mengatakan kononnya pemberian taraf PR kepada pemegang IMM13 disokong oleh Kerajaan Negeri.
Kata Ewon lagi, jika Kerajaan Sabah menentang pemberian PR kepada pelarian, maka apa lagi yang perlu dirisaukan kerana kerajaanlah yang berhak dan perlu didengar untuk menangani masalah tersebut.
KELIRU.....Ewon mungkin keliru dengan permainan politik Kuala Lumpur.
Namun reaksi spontan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz amat mengejutkan rakyat Sabah apabila secara selamba berkata; “atas permintaan Kerajaan Sabah, maka Kerajaan Persekutuan luluskan. Saya rasa ini bukan isu dan kerajaan Persekutuan hanya memenuhi hasrat Kerajaan Negeri.”
Tegas Nazri lagi, jika Kerajaan Negeri Sabah sekarang menentang pemberian PR kepada pemegang IMM13, mereka boleh melakukan yang serupa iaitu membatalkan keputusan Kabinet Osu Sukam dan Kerajaan Persekutuan hanya melaksanakan apa yang dikehendaki undang-undang.
“Setakat ini, itulah keputusan kita iaitu beri PR kepada pemegang IMM13 yang layak atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah setelah menimbangkan isu ini dengan teliti,” ujar Nazri dalam satu wawancara khas dengan media.
Menurut Nazri, pelarian politik yang memegang dokumen IMM13 akan terus tinggal di negara ini dan diberi layanan baik oleh kerajaan selagi negara asal mereka masih belum aman.
Pemegang dokumen itu berbeza dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka diklasifikasikan sebagai pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Nazri berkata, sebagai negara anggota PBB, menjadi tanggungjawab Malaysia untuk memastikan layanan baik terus diberikan kepada mereka.
Menurut Nazri, mengikut sumber rasmi yang diperolehinya, sehingga kini terdapat sejumlah 61,314 orang pemegang dokumen IMM13 di Malaysia.
Tegas Nazri lagi, Malaysia bukanlah negara tunggal di dunia yang dibelenggu dengan isu tersebut, sebaliknya turut dikongsi bersama oleh negara-negara lain seperti Syria dan Mesir yang telah menerima pelarian Palestin sejak lebih 40 tahun lepas.
“Walaupun mereka diberi layanan baik oleh kerajaan, tetapi masih tertakluk kepada undang-undang di negara ini. Jika pemegang dokumen IMM13 melakukan kesalahan jenayah, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” ujar Nazri lagi.
Pada hemat saya, Nazri mungkin terlupa terdapat lebih 350,000 anak pelarian perang Filipina yang hidup ‘Secara Bebas’ tanpa dokumen di Sabah, namun 'DIPELIHARA' dengan baik oleh Kerajaan dan pemimpin politik kerana boleh direkrut sebagai 'PENGUNDI HANTU' atau 'PENGUNDI UNTUK DISEWA' pada bila-bila masa.
Saya kemukakan satu contoh yang jelas yang mendapat pembelaan daripada Jabatan Imigresen sekalipun hanya memegang sekeping kertas yang mencampakkan Perlembagaan Persekutuan yang kita banggakan ke 'TONG SAMPAH!'
Seorang wanita Filipina yang bernama Norhapsa Amil Hamja mendakwa bahawa beliau adalah anak salah seorang Pelarian Perang yang kini sudah berusia lebih 30-an.
Dia memohon pas lawatan IMM13. Namun oleh sebab IMM13 dibekukan, maka dia menghirup udara Sabah dengan dua keping surat ini. Norhapsa mendakwa pas lawatan sosial IMM13 bernombor H071843 telah tamat tempoh pada 30 Jun 2001.
Namun Jabatan Imigresen mengguna kuasa ‘KEPALA AGONG’ untuk memberikan Special Pass dan Surat Akuan Penerimaan bernombor 14683 sementara menunggu kelulusan permohonan lanjutan pas lawatan sosial yang sudah tamat 5 tahun lalu iaitu PHL IP-12071-4398!
Sehingga kini Norhapsa masih mengusung dua keping kertas tersebut untuk bekerja dan hidup di Sabah secara bebas kerana dibela dan dipelihara berbanding penduduk pendalaman yang masih memegang sijil lahir namun diburu bagaikan 'PENJENAYAH!'
PTS.... Pusat Tahanan Sementara yang menjadi Pusat Penternakan Pengundi.
Dengan pilihan raya semakin membahang dan tugas Pasukan Petugas Khas Persekutuan Bagi Sabah dan Labuan (PPKPSL) semakin mencabar kerana parti pembangkang mendakwa warga pelarian yang tidak diiktiraf ini dapat dikerah untuk turun mengundi sebagaimana perubahan yang berlaku dalam lanskap politik Sabah sejak 1994 lagi.
Rumah Merah atau Pusat Tahanan Sementara yang wujud secara tidak sah telah dihalalkan kerana tidak ada sebarang pihak mencabar locus-standi PPKPSL dan Rumah Merah yang sinonim dengan ‘Pusat Menternak Pengundi.’
Walaupun kedengaran janggal dan berunsur fitnah, namun di dalam sebuah negara authoritarian seperti Malaysia dan dilunakkan dengan panggilan ‘Demokrasi Berperlembagaan’, seorang pendatang asing tanpa izin boleh dikerah mengundi bukanlah satu cerita kosong.
BUKTI… Buku ini mendedahkan kejalangan SPR dan jentera kerajaan yang digunakan untuk memastikan BN menang sebelum pilihan raya.
Pendedahan menyeluruh dan berasas ini telah didedahkan di dalam ‘Pengundi Untuk Disewa’ yang tidak pernah dicabar kebenarannya oleh mana-mana pihak sejak 1999.
Pihak berkuasa telah diarah memastikan BN memenangi pilihan raya dengan menghalalkan cara termasuk penipuan, pembelitan dan pengundi hantu.
Saya turut dihubungi Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah (KeAdilan), Zainuddin Hassan @ Simon dan memberitahu saya bahawa beliau ke Kudat untuk menemui seorang nelayan, Bestari yang mempunyai bukti wujudnya sindiket IMM13 palsu di Sabah.
Menurut Zainuddin, IMM13 palsu ini mengancam kedaulatan negara dan membahayakan keselamatan para nelayan di Kudat terutama dengan kebanjiran nelayan asing Filipina yang kini bermastautin di Sabah hanya menggunakan IMM13 yang disahkan palsu oleh Jabatan Imigresen.
“Saya telah bawa beberapa dokumen seperti ini untuk mendapatkan pengesahan di Jabatan Imigresen Kota Kinabalu dan ia disahkan palsu dan dirampas. Bakinya inilah yang saya tunjukkan sebagai bukti,” ujar Zainuddin yang kesal kerana rasuah telah menyuburkan kegiatan haram ini.
Mengikut maklumat diterima, lebih 12,000 pas seumpama ini dikeluarkan kepada warga Filipina di seluruh Sabah, terutama berbangsa Visaya sedangkan pas ini khas untuk pelarian perang Filipina yang beragama Islam.
Zainuddin telah melakukan tinjauan rambang dan menemui lebih 200 nelayan tempatan dan asing di Kudat dan mendapati isu berkenaan amat serius kerana nelayan asing berkenaan menangkap ikan di perairan negara ini dengan menggunakan IMM13 palsu setelah pintu Imigresen bolos.
“Mereka merompak kekayaan hasil laut kita dan menjual di negara dunia ketiga atau ke negara asal mereka. Nelayan kita yang rata-ratanya miskin tidak mampu membeli trawler, namun taukey Cina daripada Sarawak dan Semenanjung Malaysialah yang mengupah mereka,” tegas Zainuddin yang kesal kerana Jabatan Perikanan tidak melakukan sebarang pemantauan sekalipun trawler atau bot pukat tunda berkenaan tidak berdaftar.
Kata Zainuddin lagi, bot hantu ini turut melakukan beberapa kesalahan lain termasuk menggunakan pukat harimau yang diharamkan dan peralatan menangkap ikan yang menyalahi undang-undang terutama bom ikan dan ‘cynide’.
Zainuddin turut mencadangkan agar Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) mengadakan operasi khas untuk memburu bot hantu dan pendatang asing yang diambil bekerja sebagai nelayan.
“Sindiket ini diketuai Ah Cai dengan kerjasama beberapa pegawai Imigresen dan dijual dengan harga RM1,200 hingga RM2,000 atau bayaran ansuran sebanyak RM250 sebulan,” ujar Zainuddin yang menunjukkan resit bayaran RM90 palsu.
Adalah lebih berhemat kata Zainuddin, jika seorang Pegawai Imigresen Tinggi yang bernama Rosman Rayman tampil membuat laporan polis kerana semua IMM13 berkenaan ditandatangani beliau dengan tulisan jawi.
.....Bersambung ke Episod III
Kerajaan negeri mungkin perlu mengeluarkan statement mengenai hal tu.
ReplyDeletesiasatan harus dilakukan...
ReplyDeleteberkenaan dengan status PR kepada IMM13, pemegang IMM13 memang tidak patut diberikan status tersebut..
ReplyDeletedokumen IMM13 tidak harus dikeluarkan lagi.
ReplyDeleteBetul tu, dokumen IMM13 tidak harus di keluarkan lagi.
DeleteMungkin masalah IMM13 ini dapat dijelaskan. Kerajaan Negeri dan Kerajaan pusat perlu bersatu dan sepakat.
ReplyDeleteKalau benar mahu menyelesaikan perkara ini. Kita mahukan kerajaan persekutuan menubuhkan RCI secepat yang mungkin. Kalau benar kerajaan persekutuan mendengar apa yang kerajaan Negeri mahukan. Seperti apa yang Nazri buat.
ReplyDelete“atas permintaan Kerajaan Sabah, maka Kerajaan Persekutuan luluskan. Saya rasa ini bukan isu dan kerajaan Persekutuan hanya memenuhi hasrat Kerajaan Negeri.”
Jadi penuhi hasrat kerajaan Negeri yang mahukan RCI.
jika pemimpin2 pembangkang dan NGO benar2 perihatin terhadap masalah ini, baik mereka sahaja yang berunding atau berbincang dengan kerajaan Filipina untuk menubuhkan konsulat mereka di negeri ini atau membawa terus warga mereka balik ke negara asal..
ReplyDelete