Monday 5 March 2012

RCI, VISI UMNO SABAH SEMAKIN JELAS


Oleh : MUTALIB M.D

SOKONGAN padu UMNO Sabah terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) untuk menjalankan siasatan dakwaan bukan warganegara memperoleh kewarganegaraan dengan cara yang diragui di negeri ini, amat jelas dan tidak wajar dipertikaikan lagi.

Majoriti Ketua UMNO Bahagian di Sabah melainkan Datuk Shafie Apdal (tidak pernah hadir mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah) membuat keputusan sebulat suara menyokong saranan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Salleh Tun Said yang disokong oleh Ketua UMNO Ranau, Datuk Masidi Manjun.

Sehubungan itu, kata Ketua PeneranganUMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Umno Sabah tidak pernah membantah mengenai cadangan penubuhan RCI itu.

"Keputusan untuk mewujudkan RCI adalah keputusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa yang betul untuk memutusknnya ialah Kabinet Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat dan minum pagi yang dihoskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Sapawi juga memaklumkan bahawa semua anggota Parlimen dari Sabah mengundi di Parlimen untuk menerima perakuan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang diketuai Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang antara lain membuat resolusi untuk menubuhkan RCI di Sabah.

"Umno Sabah pada 2008 telah mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membuat perincian isu-isu yang perlu diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Dalam memorandum tersebut, kata Sapawi, antara lain katanya menggesa Kerajaan Pusat untuk mengambil tindakan proaktif untuk menguruskan pertambahan jumlah rakyat asing di Sabah.

"Umno Sabah telah menyuarakan tentang pendirian rasmi mengenai RCI kepada jawatankuasa berkenaan. Kita juga tiada sebarang bantahan bagi penubuhan RCI oleh Kerajaan Persekutuan," katanya sambil menambah bahawa Umno Sabah tetap bersama rakyat berhubung isu-isu penting untuk melindungi kepentingan dan kebajikan negeri ini.

Ekoran daripada itu, Sabahkini.net telah menemui Datuk Salleh Tun Said untuk bertanyakan pandangan beliau berhubung isu penubuhan RCI yang telah diputuskan secara kolektif oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah demi kepentingan dan masa hadapan Sabah dan rakyatnya.

Sebelum ini penulis telah mewawancara Salleh dan wawancara tersebut telah dimuatkan dalam buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir?; tetapi dalam wawancara berkenaan Salleh berpendapat tidak perlu ditubuhkan RCI ketika itu kerana percaya isu ini boleh diselesaikan oleh PDRM.

"Ketika itu belum ada keperluan dan kita merasakan bahawa Polis mampu mengatasi masalah ini, tetapi setelah menyedari isu ini semakin serius dan melibatkan kawalan maritim dan imigresen, maka kita merasakan tiba masanya ditubuhkan RCI," ujar Salleh yang meyakini kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah untuk mengatasi masalah PATI dan kerakyatan songsang, bukan sahaja di Sabah, malah telah merebak ke seluruh Malaysia.

Penubuhan RCI, kata Salleh, adalah hirarki terpenting tuntutan rakyat Sabah dan beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan memenuhi permintaan rakyat Sabah yang merasakan mereka semakin tersepit oleh kebanjiran warga asing dan sindiket yang memberikan kerakyatan songsang kepada PATI.

"Jangan memandang serong kepada UMNO Sabah yang telah membuat keputusan terbaik untuk survival politik Sabah dan kita menghargai pendirian Perdana Menteri yang bersetuju menubuhkan RCI," ujar Salleh yang mengesa agar isu penting ini tidak dipolitikkan.

Berikut adalah Wawancara Penuh Penulis yang dimuatkan dalam Bab 12 : Lelaki Bajau? di dalam buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir?

MUKADDIMAH

Datuk Seri Panglima Haji Salleh Tun Said Keruak, Mantan Ketua Menteri Sabah merupakan pemimpin pelapis UMNO yang versatile dan proaktif terhadap pelbagai isu bagi meneruskan kesinambungan tradisi membela rakyat UMNO.

Walaupun hanya dua tahun menjadi Ketua Menteri Sabah di bawah sistem Penggiliran Jawatan Ketua Menteri, namun beliau telah berkhidmat dengan cemerlang meletak UMNO di landasan perjuangan sebenar dan menaikkan martabat Kerajaan Sabah melalui Pejabat Terbuka Ketua Menteri dan membudayakan kegiatan turut padang.

Salleh adalah antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang agak senior. Pengalamannya yang luas di pentas politik Sabah dan disertai latar akademik, menjadikannya antara tokoh yang disegani dan dihormati. Suara dan pandangannya sentiasa diikuti ramai.

Berikut intipati temuramah saya bersama beliau mengenai isu PATI.

Mutalib: Apa persepsi Datuk berhubung kebanjiran warga asing di Sabah terutama yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Adakah ianya satu perkembangan yang sihat atau sebaliknya?

SALLEH: Umpama duri dalam daging. Itulah gambaran pedih masalah kebanjiran warga asing yang tiada dokumen di Sabah yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun tanpa noktah penyelesaian berkekalan. Ia bukan lagi isu baru di Sabah. Sudah tentu masalah ini bukan satu perkembangan yang sihat. Kedatangan mereka turut membawa pelbagai masalah, baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Mutalib: Adakah Datuk bersetuju bahawa kehadiran warga asing ini menyumbang pertumbuhan rumah setinggan di Sabah yang menjadi koloni jenayah tegar yang gagal dipantau pihak berkuasa?

SALLEH: Ya, sudah tentu demikian. Ini kerana semua warga asing ini perlu mencari tempat tinggal dan disebabkan tiada tanah sendiri, maka mereka 'menumpang' di tanah kerajaan.

Akhirnya, muncullah apa yang disebutkan sebagai setinggan. Kebanyakan rumah-rumah setinggan ini pula terletak di pinggir bandar kerana warga asing ini akan mencari peluang-peluang kerja di bandar untuk meneruskan kehidupan.

Tidak dinafikan penempatan setinggan menjadi sarang atau koloni jenayah. Ini pernah juga disebutkan oleh seorang pegawai tinggi polis Sabah sebelum ini. Dan ia bukan lagi satu rahsia. Umum mengetahuinya.

Mutalib: Semasa menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu apakah tindakan yang telah Datuk lakukan untuk memastikan setinggan dan pendatang asing tanpa izin tidak mendatangkan masalah kepada Sabah?

SALLEH: Usaha menangani masalah setinggan dan pendatang tanpa izin ini sebenarnya dilakukan secara berterusan menerusi pelbagai mekanisme yang ada, semenjak BN mengambil ahli kepimpinan negeri pada 1994. Jabatan dan agensi kerajaan menjalankan operasidari semasa ke semasa, sama ada secara solo atau bersepadu.

Banyak tindakan dan pendekatan dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan, termasuk ketika saya menerajui dahulu dan begitu juga selepas saya menjadi Ketua Menteri malah sehingga sekarang ini. Semua tindakan itu sedikit sebanyak membuahkan hasil. Mungkin tidak begitu ketara. Tetapi sudah ada perubahan berbanding keadaan sebelumnya.

Mutalib: Adakah benar dakwaan umum semasa Datuk menjadi Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk tidak melakukan sesuatu untuk memastikan UMNO bersih daripada gejala PATI yang menggunakan dokumen palsu dan kad pengenalan projek untuk menjadi ahli?

SALLEH: Keahlian parti UMNO adalah berdasarkan status seseorang. Mereka yang mempunyai dokumen sebagai rakyat Malaysia dan memenuhi kriteria menjadi ahli UMNO akan diterima menjadi ahli parti. Soal menentukan kesahihan identiti pemegang dokumen tersebut terletak di bawah bidang kuasa agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Prinsipnya jelas, jika seseorang tidak disahkan sebagai rakyat negara ini dan tidak layak menjadi ahli parti, ia tidak akan diterima. Dan jika sudah terbukti seseorang itu bukn warganegara Bumiputera, ia secara automatik akan gugur status sebagai ahli.

Mutalib: Ketika menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, apakah kejayaan peribadi Datuk dalam usaha membasmi koloni setinggan dan PATI di kawasan bandar?

SALLEH: Banyak projek perumahan dilaksanakan kerajaan termasuk semasa, sebelum dan selepas saya menerajui kementerian tersebut. Ia adalah agenda pembangunan berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Ia dirancang, kemudian dilaksana dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Apa yang dilaksanakan ketika saya menjadi menteri dahulu sebahagiannya adalah perancangan awal sebelum saya, manakala apa yang saya rancangkan pula dilaksanakan oleh orang lain selepas saya tidak lagi memegang jawatan di situ.

Ini proses berterusan dan berkesinambungan.Ia bukan soal kejayaan peribadi, tetapi sebenarnya perancangan dan kejayaan kerajaan seluruhnya.

Seseorang tidak boleh mengambil 'kredit' namanya hanya disebabkan ia dilaksana ketika orang berkenaan memegang jawatan tersebut kerana ia bukanlah usahanya seorang diri seratus peratus. Dan ia tidak akan dapat dicapai sendirian tanpa sokongan dan pengemblengan usaha bersama orang lain.

Mutalib: Kini sebagai Presiden USBO, apakah langkah atau parameter yang dilakukan untuk memastikan bahawa USBO tidak menjangkiti barah keahlian sama seperti yang dihadapi oleh UMNO dan parti politik lain di Sabah, iaitu gejala PATI?

SALLEH: Seperti yang saya sebutkan awal-awal tadi, prinsip keahlian mana-mana organisasi sekalipun termasuk USBO adalah berdasarkan statusnya. Jika seseorang itu memiliki kad pengenalan dan memenuhi kriteria untuk menjadi ahli USBO, maka kita terima menjadi ahli.

Keahlian USBO adalah terbuka kepada semua masyarakat dalam rumpun Bajau yang merangkumi tidak kurang 12 sub-etnik kecil. Dalam perlembagaan USBO tertulis dengan jelas mengenai status seseorang yang dibenarkan dan diterima menjadi ahli.

Mutalib: Apakah Datuk bersetuju bahawa kerajaan harus melakukan sesuatu untuk membasmi gejala PATI dan apakah tindakan penting yang perlu dilakukan?

SALLEH: Ya, sudah tentu bersetuju. Kerajaan harus melakukan sesuatu untuk membasmi gejala ini. Malah sebuah Jawatankuasa Khas sudah dibentuk serta dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan kita menaruh kepercayaan kepada kewibawaan kerajaan untuk menanganinya secara berkesan.

Kita akui, semua pihak memandang serius masalah ini. Pemimpin poltik termasuk kerabat BN sendiri sudah acap kali menyuarakannya. Begitu juga sentimen rakyat Sabah.

Tetapi penyelesaiannya tidaklah semudah yang disangkakan, apatah lagi masalah itu sudah berakar-umbi puluhan tahun lamanya.

Nampaknya, kerajaan telah mengambil langkah-langkah tertentu menangani masalah ini. Kerajaan sudah menyatakan dua pendekatan yang memungkinkan masalah ini dapat dirungkai.

Pertama, menerusi saluran diplomatik dan kedua berasaskan kesungguhan politik (political will) kerana apapun pendekatan yang diambil, ia tidak akan berkesan tanpa perhatian terhadap kedua-dua aspek berkenaan.

Saluran diplomatik, sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Najib, sangat penting, terutama bagi isu membabitkan PATI dari Filipina.

Ini memandangkan Manila seolah-olah tidak mengambil sikap serius terhadap cadangan menubuhkan pejabat konsulatnya di Kota Kinabalu. Tanpa pejabat konsulat, adalah sukar dilaksanakan proses penghantaran pulang PATI dari negara berkenaan kerana ketiadaan agensi untuk mengesahkan status mereka.

Ketika ini, proses dokumentasi PATI Filipina perlu dirujuk ke pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur atau jika terdapat operasi besar-besaran, ia dikendalikan oleh petugas, ia dikendalikan oleh petugas yang dihantar sementara ke Kota Kinabalu.

Berbanding Filipina, Indonesia sudah pun mempunyai pejabat konsulat di bandar raya Kota Kinabalu. Sebab itu, proses penghantaran pulang dan dokumentasi PTI dari Indonesia lebih lancar dan cepat.

Mutalib: Sebagai salah seorang bekas pemimpin utama UMNO Sabah dan AMT UMNO, apakah perasaan Datuk apabila umum mendakwa bahawa kebanyakan ahli UMNO adalah PATI?

SALLEH: Saya rasa pandangan ini hanyalah satu persepsi liar. Ia mungkin disandarkan kepada satu dua kes terpencil, atau beberapa kes yang dibawa ke mahkamah. Tetapi adalah tidak adil untuk membuat rumusan sedemikian. Misalnya dalam sebuah bas berhawa dingin yang berbau busuk, kita tidak boleh menyatakan semua penumpang bas tersebut terpijak najis.

Mutalib: Pada pandangan Datuk adakah wajar mereka ini dikeluarkan daripada rekod UMNO terutama yang kini tidak memiliki sebarang dokumen atau telah didapati bersalah di mahkamah?

SALLEH: Ya, setuju. Mereka yang telah disahkan oleh agensi kerajaan sebagai bukan rakyat negara ini dan tidak memenuhi kriteria menjadi ahli UMNO sewajarnya dikeluarkan daripada rekod parti. Ini satu prinsip yang jelas.

Mutalib: Ramai berpendapat Datuk menjenamakan semula Persatuan Kebudayaan Sabah Bersatu sebagai USBO sebagai persediaan awal untuk aktif kembali sebagai sebuah parti politik sebagaimana beberapa golongan yang cuba menghidupkan USNO?

SALLEH: Saya ingin menjelaskan bahawa USBO adalah sebuah NGO yang pro-UMNO dan konsisten memberi sokongan kepada kepimpinan negeri dan negara. Untuk menyatakan ia sebagai persediaan saya untuk aktif politik pula adalah satu soalan yang berbeza kerana sememangnya saya seorang ahli politik.

Jadi, ia perlu dibezakan antara perkhidmatan saya dalam USBO dan perjuangan saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili UMNO dan BN. Oleh kerana soalannya berkaitan USBO, saya ingin menjelaskan bahawa tidak ada yang baru dalam USBO ini. Cuma namanya saja berubah.

Dulu ia dikenali sebagai Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) dan kemudiannya Persatuan Seni Budaya Bajau di mana fokus kegiatannya lebih menjurus kepada kesenian dan kebudayaan.

Dari segi dasar, objektif dan keahlian, USBO kekal sebagaimana PSBB dulu. Cuma skopnya kini diperluaskan sedikit merangkumi banyak bidang, terutama ekonomi dan pendidikan yang diberi keutamaan sekarang ini.

Saya juga ingin menyatakan bahawa pendirian USBO adalah jelas iaitu menyokong dan mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai tulang belakang kerajaan. USBO berdiri dan bersandar pada tiang UMNO.

Menerusi USBO, kita menggerakkan aktiviti yang berorientasikan kepentingan masyarakat, misalnya dalam bidang ekonomi pendidikan. Kita sudahpun menubuhkan biro khas untuk kedua-dua biro ini, masing-masing diketuai golongan professional serta ahli ekonomi, dengan harapan ia mampu membawa perubahan kepada masyarakat kita.

Mutalib: Tidak kurang juga yang mengatakan Datuk memimpin USBO setelah tidak diterima oleh masyarakat dan mencetuskan semula isu perkauman?

SALLEH: Bagi saya, terpulang kepada masyarakat membuat penilaian. Niat saya ikhlas dan murni. Dan sebagai rumpun masyarakat yang besar, USBO berperanan kearah menyatukan semua masyarakat ini untuk menyertai arus perdana pembangunan negara.

Perkhidmatan yang saya tawarkan dalam pertubuhan ini juga adalah secara sukarela. Tidak lebih dan tidak kurang.

USBO hanyalah sebuah NGO yang menjalankan kegiatan berdasarkan objektif tertulis dalam perlembagaan. Mungkin jika melihat kepada nama pertubuhan ini, ia seperti sebuah organisasi berasaskan kaum. Tetapi USBO berjuang tidak mengambil pendekatan perkauman.

Terserah kepada orang membuat persepsi mereka, tetapi saya ingin menegaskan di sini bahawa apa yang dilaksanakan USBO adalah ikhlas dan tidak ada yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Mutalib: Dalam satu majlis rasmi Datuk berkata penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak perlu kerana yakin polis boleh mengatasi masalah PATI secara professional. Tetapi sehingga kini polis gagal membasmi isu ini secara total?

SALLEH: Ketua Polis Negara, sudah menyatakan pendirian PDRM menolak cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut atas alasan mereka mampu dan mempunyai cara untuk menyiasat serta menangani masalah tersebut.

Apa yang perlu kini ialah kita menaruh sepenuhnya kepercayaan kepada polis menjalankan tugas mereka. Saya juga harap semua pihak termasuk yang mendakwa mempunyai bukti mengenai perkara itu supaya tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Penolakan Ketua Polis Negara terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya itu, adalah selaras dengan pendirian kerajaan negeri sendiri selama ini yang berusaha menyelesaikan isu berkenaan dengan serius. Pada hakikatnya, kerajaan di peringkat negeri dan Pusat tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu membabitkan soal keselamatan seperti kad pengenalan palsu dan pendatang tanpa izin (PATI).

Mutalib: Apakah pandangan Datuk beberapa NGO melancarkan referendum bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu PATI dan kad pengenalan Projek?

SALLEH: Itu tindakan mereka. Bagi saya, seperti yang sudah saya nyatakan sebelum ini bahawa saya tidak bersetuju dengan caranya. Bagi saya, ada cara dan kaedah lain yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini.

Mutalib: Ada pihak yang menuduh kononnya Datuk menang di Parlimen Kota Belud kerana sokongan pengundi hantu kerana sebelum ada pengundi hantu, Datuk tewas dalam beberapa pilihanraya. Sejauh mana benarnya isu ini?

SALLEH: Bagi saya di Kota Belud tidak berlaku hal sedemikian. Jika ada yang mendakwa mempunyai maklumat mengenainya, kemukakan bukti kerana ia penting untuk pihak berkuasa mengambil langkah susulan.

Kemenangan BN di Kota Belud itu bukanlah kemenangan saya secara peribadi, tetapi kemenangan parti yang menerima parti ii disebabkan mereka inginkan kemajuan. Kemenangan BN adalah atas kesedaran rakyat yang mahukan pembangunan, mengamalkan politik pembangunan.

Mutalib: Adakah Datuk mempunyai masalah peribadi dengan Pengerusi Yayasan Pembangunan Insan, Datuk Jeffrey Kitingan sedangkan umum tahu bahawa Datuk adalah rakan Jeffrey dalam industri perkapalan ketika krisis Yayasan Sabah?

SALLEH: Secara peribadi, saya tidak punya apa-apa masalah dengan Dr.Jeffrey. Saya dan dia saling mengenali antara satu sama lain. Kami pernah dalam satu arus perjuangan menerusi wadah Barisan Nasional.

Dr.Jeffrey saya anggap sebagai kawan baik, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah perbezaan dari segi fahaman politik dan ideologi, dia di barisan pembangkang dan saya dalam parti pemerintah.

Perdebatan antara kami menerusi media adalah perdebatan politik berdasarkan prinsip dan pendirian masing-masing. Sebagai wakil rakyat kerajaan, sudah tentu menjadi tanggung jawab saya mempertahankan kerajaan serta memperbetulkan fakta supaya rakyat tidak terkeliru.

Perdebatan kami adalah lumrah. Ini perkara biasa. Dr. Jeffrey memilih cara dia sendiri. Kita perlu membezakan antara persahabatan dengan prinsip. Dalam hal berkaitan PATI ini pun, perdebatan antara kami berdasarkan prinsip. Tidak ada personal (peribadi) dalam hal ini.

Mutalib: Datuk tidak bersetuju dengan angka yang disebutkan Jeffrey dan berbalah di akhbar. Pada pandangan Datuk, siapakah yang harus menyatakan pendirian berhubung angka sebenar PATI di Sabah, terutama yang mendapat kad pengenalan projek?

SALLEH: Soal ketepatan perangkaan ini terletak pada beberapa agensi kerajaan yang terlibat. Mereka yang memegang maklumat, fakta dan perangkaan rasmi.

Mutalib: Semasa Datuk menjadi Ketua Menteri, banyak projek pembangunan disalurkan ke kawasan setinggan yang merupakan koloni PATI. Apabila Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri, semua pembangunan di kawasan berkenaan telah dimusnahkan dan ramai setinggan tempatan menjadi mangsa. Ketika itu, apakah pendirian Datuk?

SALLEH: Bagi saya, apa yang dilaksanakan pada zaman saya adalah juga merupakan program kerajaan. Begitu juga selepas saya, apa yang dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah program kerajaan.

Sudah tentu, pelaksanaan sesuatu program kerajaan itu mengikut kesesuaian masa, kesesuaian tempat dan kesesuaian bajet. Jadi kemungkinan apa yang dilaksanakan pada waktu saya dahulu sesuai pada waktu itu, tetapi tidak sesuai pada waktu ini.

Dan mungkin apa yang dilaksanakan pada waktu selepas saya adalah bersesuaian pada waktu tersebut pula.

Tetapi pada hakikatnya, tidak semua setinggan ini didiami PATI. Ada juga setinggan di kalangan rakyat tempatan. Sebenarnya, apa yang dilaksanakan oleh kerajaan selepas saya termasuk ketika Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri, turut saya persetujui kerana saya sebahagian daripada anggota Kabinet negeri pada waktu itu.

Mutalib: Apakah formula yang boleh Datuk cadangkan bagi menangani isu PATI dan kad pengenalan projek?

SALLEH: Formulanya ialah kita letakkan kepercayaan kepada kepimpinan negeri dan negara untuk mengambil tindakan dan langkah penyelesaian.

Mutalib: Jika kerajaan bersetuju menarik balik dokumen asal yang telah didapati secara tidak sah oleh PATI sebagaimana yang telah dilakukan Kerajaan Persekutuan sebelum ini iaitu sejumlah 16,693 telah dibatalkan, tetapi sejumlah besar nama mereka masih terdapat di dalam daftar pemilih dan keahlian UMNO, apakah yang patut kerajaan lakukan bagi memastikan mereka tidak menjadi masalah kepada negeri ini?

SALLEH: Saya tegaskan bahawa undang-undang mesti dihormati, PATI yang tidak mempunyai apa-apa dokumen hendaklah digugurkan daripada senarai. Dan yang pasti, mereka ini tidak boleh menjadi ahli mana-mana organisasi, apatah lagi UMNO.

Mutalib: Akhir sekali, apakah harapan Datuk berhubung isu ini agar Kerajaan Barisan Nasional tidak lama lagi ditohmah sebagai dalang di sebalik semua isu ini?

SALLEH: Harapan saya ialah supaya semua pihak bekerjasama dengan pihak berkuasa agar masalah ini dapat diselesaikan hingga ke peringkat akar-umbi. Mereka yang mendakwa mempunyai bukti perlu tampil ke depan. Kerajaan BN telah dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan penyelesaian.

Sebenarnya isu ini bukanlah isu politik semata-mata, tetapi isu negara dan isu keselamatan. Dalam hal ini, kita semua perlu bekerjasama tanpa mengira pendirian politik masing-masing. Jika semua pihak ikhlas dan serius untuk melihat negeri ini bebas daripada masalah PATI, marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga secara bersepadu. Saya percaya kita boleh menjadikan Sabah sebuah negeri yang makmur dan maju. Yang penting nawaitu kita.

(PERINGATAN : Semua kenyataan yang disampaikan oleh Datuk Salleh di dalam wawancara ini adalah pandangan peribadi beliau berdasarkan pengalaman dan pemerhatian beliau. Pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pendirian UMNO, USBO atau DIPERSETUJUI penulis.)

28 comments:

  1. Ketua PeneranganUMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Umno Sabah tidak pernah membantah mengenai cadangan penubuhan RCI itu.

    Jika todak membantah, harus juga ditubuhkan secepat mungkin. Masalah ini tidak harus berlanjutan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin tunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan RCI.

      Delete
  2. Persekutuan tidak harus mengambil masa yang teramat panjang untuk menubuhkan RCI sebab masalah PATI semakin genting dan tiada tindakan yang wajar dr kerajaan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masalah Pati sangat membimbangkan di Sabah, mungkin dengan adanya RCI pasti dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

      Delete
    2. its unsure yet whether RCI will solve this pati issue but it is worth the try since most of the method that was introduce to solve this issue didn't work out as planned.

      Delete
  3. Dalam satu majlis rasmi Datuk berkata penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak perlu kerana yakin polis boleh mengatasi masalah PATI secara professional. Tetapi sehingga kini polis gagal membasmi isu ini secara total?

    Terbukti banyak kaedah yang digunakan sebelum ini tidak berfungsi, jadi, RCI amat diperlukan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. If none of the methods are effective enough to solve the PATI issue, then it is about time to implement RCI.

      Delete
  4. Najib akan membuat keputusan bijak untuk menubuhkan RCI. Menantikan pengumuman sah oleh beliau.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Najib pasti akan menunaikan janji beliau.

      Delete
    2. Hopefully its wouldn't take long for Najib to make the announcement.

      Delete
  5. Pihak imigresen harus menjalankan tugas dengan lebih amanah.

    ReplyDelete
  6. mejoriti pemmimpin dah bersetuju dgn penubuhan RCI, jadi amat diharap RCI akan ditubuhkan.

    ReplyDelete
  7. Penubuhan RCI sudah semestinya akan dilaksanakan secepat yang boleh oleh kerajaan Persekutuan. Namun kita tunggu saja setelah selesai perbincangan dibuat oleh pihak yang tertentu.

    ReplyDelete
  8. Jika semua pihak ikhlas dan serius untuk melihat negeri ini bebas daripada masalah PATI, marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga secara bersepadu.

    True. Cooperation from all parties, politicians, authorities, publics are highly demanded. No need to be hero. It is our responsible to protect our state.

    ReplyDelete
  9. bukan mudah menyelesaikan masalah yang telah lama bersarang di negeri ini, lebih2 lagi bila kedudukan negeri ini yang terlalu dekat dengan negara2 jiran malah dikelilingi oleh pulau2 kecil yang memudahkan lagi PATI menyusup masuk ke negeri ini..

    ReplyDelete
  10. selain mengharapkan RCI, pemimpin2 politik perlu juga mencadangkan kaedah lain yang difikirkan berkesan.. bagi saya, keutamaan perlu diberikan kepada kawalan sempadan negeri Sabah jika mahu menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang..

    ReplyDelete
  11. Head of State Tun Juhar Mahiruddin aserted that the perennial issue of illegal immigrants in Sabah must be handled in a collective manner and at the same time resolved wisely.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This issue has been taken seriously both by the State and Federal Governments and have taken integrated action to address the situation.

      Delete
    2. Therefore it is deemed crucial that all parties, including the general populous must render their cooperation to ensure the issue is resolved.

      Delete
    3. The problem must be settled together and wisely, everyone must be prepared to render firm co-operation to ensure the illegal immigrant issue would be overcome for the sake of our wellbeing and prosperity.

      Delete
    4. The illegal immigrant issue has become a focal point among the State Barisan Nasional (BN) component parties and almost all have agreed to the setting up of a Royal Commission of Inquiry (RCI) to investigate it.

      Delete
  12. Parti Bersatu Sabah (PBS) urged the Federal Government to speed up the formation of the Royal Commission of Inquiry (RCI) on illegal immigrants in Sabah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Its Information Chief, Datuk Johnny Mositun, said since Federal Minister Tan Sri Bernard Dompok had said that the setting up of the RCI had been endorsed, then PBS would like to urge the Minister-in-charge-of law who was reportedly assigned to prepare the necessary such as the Terms of Reference (TOR) and commission panel members to do so as soon as possible.

      Delete
    2. "This is to enable Sabah's cry for justice and punishment for wrongdoers and those behind the treachery can be meted out accordingly," he said here Thursday.

      Delete
    3. Mositun said PBS' call for urgency was in light of the Semporna Bumiputera Bajau Association's allegation that foreigners were also lining up to get documents during the NRD mobile registration exercise, hence its President, Mansor Santiri, calling for the exercise to be halted.

      Delete
    4. "It must be treated with urgency and not wait until the matter gets worse and beyond control.

      Delete
    5. Whoever is doing it, under whose patronage such heinous and treacherous acts are committed should be arrested and investigated and given the right punishment without delay," said Mositun.

      Delete
  13. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete