Sunday 4 March 2012

SULTAN BRUNEI RASMI FESTIVAL SANDAKAN KE-12



FESTIVAL Sandakan Edisi Ke-12 pada tahun ini mencatatkan sejarah apabila Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat merasmikan acara itu di Padang Bandaran Sandakan, Sabtu malam.

Penghormatan tersebut diberikan sempena lawatan kerja dua hari oleh baginda ke daerah ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman ketika berucap pada majlis itu berkata keberangkatan baginda ke majlis itu mencatatkan satu peristiwa yang penuh bersejarah bagi masyarakat di daerah Sandakan.

Beliau berkata lawatan baginda ke negeri itu akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia erat serta mengeratkan lagi silaturahim dan semangat persaudaraan di antara rakyat kedua-dua negara.

Mengenai Festival Sandakan itu, Musa berkata ia mula diperkenalkan pada 2000 dan telah berjaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan daerah Sandakan dan negeri Sabah.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Sandakan, kelmarin, untuk lawatan kerja selama dua hari ke daerah ini.

Ketibaan baginda bersama 17 anggota rombongan di Lapangan Terbang Sandakan dengan pesawat khas pada pukul 9.25 pagi disambut oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta beberapa menteri kabinet serta pembantu menteri.

Kelmarin, baginda melawat Pusat Penemuan Hutan Hujan di Sepilok dan pada sebelah petang berangkat menyertai perlawanan persahabatan badminton di Dewan Masyarakat Sandakan.

Pada sebelah malam, baginda berangkat ke majlis santapan bersama masyarakat Sandakan di Dewan Serbaguna Libaran, sebelum berangkat melancarkan Festival Sandakan di Padang Bandaran. Baginda dijadual berangkat pulang ke Brunei pagi ini. (BERNAMA)

5 comments:

  1. This is good to strengthen the bilateral ties.

    ReplyDelete
  2. semoga lebih banyak kerjasama yang dibuat oleh Sabah dan Brunei dalam pelbagai aspek di masa akan datang.

    ReplyDelete
  3. Diharap beliau berpuas hati dengan lawatan ke Sabah.

    ReplyDelete
  4. Hubungan baik dengan Negara jiran adalah petanda baik untuk membuktikan kerjasama itu amatlah penting.

    ReplyDelete
  5. kerajaan negeri Sabah perlu memanfaatkan hubungan baik antara Sabah-Brunei dengan memperbanyakkan lagi hubungan perdagangan/perniagaan dengan negara Brunei..

    ReplyDelete